Jangan hairan jika dunia kepenyairan kita sejak 10-20 tahun lalu masih duduk diam di tempat lama tidak bergerak-gerak kerana ia telah terperap dalam kokun kebiasaan yang telah menyejukkan idealisme dan rasa nubari seniman sehingga untuk menghangatkan diri sendiri pun tidak mampu, inikan pula untuk menghembus bara kesedaran kepada orang lain. Maka jadilah dunia susastera kita lompong dan kosong ibarat raga tanpa jiwa dan yang datang mengisinya ialah roh-roh bertaraf rendah yang menjinjing tema-tema cinta murahan, pemujaan melampau terhadap wanita, putus kasih sehingga membawa mati, “aku mahu kamu” dan sebagainya.
“Hari ini dada kami dibakar!” oleh Usman dan “Sekali berarti, sudah itu mati” oleh Chairil mungkin tidak akan kita jumpa lagi kerana Usman dan Chairil sudah mati.
Dan kita berada di dalam kokun.


No comments:
Post a Comment