Judul: Salarom
Pengarang:
Emin Madi
Penerbit:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2008
Bilangan halaman: 347 muka surat
Harga: RM 25
Bilangan halaman: 347 muka surat
Harga: RM 25
Melihat kulitnya, saya teringat seperti pernah
membaca ulasan buku ini di mana-mana blog. Salarom, karya Emin Madi, penulis
kelahiran Keningau, Sabah ini saya beli kerana terpengaruh dengan ulasan tersebut
selain kulitnya yang cantik. Salarom punya idea yang jarang ada dalam
novel-novel tempatan. Ia mengisahkan seorang wartawan yang membuat keputusan
untuk tinggal di atas pokok di dalam hutan setelah lelah dengan rutin kerja
seharian yang ruwet di kota. Di sana, dia beroleh pengalaman baru yang mahal
yang tidak dapat ditukar dengan mata benda. Pengalamannya berkembang apabila
dia menemui sebuah kampung di dalam hutan bernama Salarom yang sangat indah dan
terpisah jauh dari kecemaran yang ada di kota. Siapa tahu rupa-rupanya Salarom juga
ada masalahnya sendiri apabila warganya diancam pengusiran secara terhormat
oleh kerajaan negeri atas alasan pembangunan. Hezwin, sang wartawan penghuni
pokok secara tidak sengaja terlibat pula dengan “pertembungan” penduduk Salarom
dengan kerajaan, dan suspens mula terbina perlahan-lahan apabila lawatan dua
orang pegawai kerajaan ke Salarom pada satu hari bertukar misteri apabila
mereka mendapati kesemua penduduk kampung Salarom telah hilang.
Kedatangan pelawat dari Jepun, Nakamura, yang
sebenarnya punya rencana besar di Salarom, telaga air masin yang menjadi sumber
garam asli penduduk di sana, ikhtiar membina rumah lansaran, iaitu rumah
tradisi kaum Murut yang telah lama dilupakan menjadi antara rencah rasa dalam
Salarom. Ia diselang-selikan dengan nilai-nilai murni yang tidak lupa
diselitkan dengan cukup berseni sehingga melayakkannya memenangi Hadiah Ketiga
Sayembara Mengarang Novel Sempena 50 Tahun Merdeka. Hakikat bahawa novel ini
diinspirasikan daripada kisah sebenar yang berlaku di kampung Salarom yang
betul-betul wujud, menjadikan ia semakin menarik untuk dibaca dan dihabiskan
segera.
Novel ini mengubah pandangan sinis dan
skeptikal saya terhadap penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bahawa
rupa-rupanya masih ada novel bermutu tinggi yang lari dari idea konvensional
seperti Salarom. Cuma penghujung dan pengakhiran novel ini agak sedikit
mengecewakan terutamanya setelah mood dibina dengan cukup baik.
Walaubagaimanapun, syabas saya ucapkan kepada DBP dan Emin Madi atas kelahiran
novel yang bagus ini. Novel sebegini perlu diperbanyakkan bagi menyaingi
novel-novel picisan anti-moral yang berlambak di gerai-gerai seperti Karangkraf,
Kaki Novel dan lain-lain, yang akan dengan cepat diangkat menjadi drama bersiri
di kaca TV.

No comments:
Post a Comment