Wednesday, April 29, 2015

Ulasan Buku: Pascasejarah



Judul: Kumpulan Cerpen Pascasejarah
Pengarang: Fahd Razy
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad
Tahun: 2015
Bilangan halaman: 174 muka surat
Harga: RM 35 (diperolehi secara tukar suka sama suka dengan buku sendiri)


Fahd Razy barangkali lebih dikenali sebagai penyair. Namun, kelahiran Pascasejarah yang berhasil memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH ini meletakkan dirinya sebagai cerpenis berwibawa dan perlu diperhatikan. Kumpulan Cerpen ini disusun dalam satu kesatuan dari cerita pertama hingga cerita kedua belas, mempunyai kronologinya sendiri; langsung menimbulkan pertanyaan mengapa ia tidak dipanggil novel, seperti yang diniatkan oleh pengarangnya sendiri? SN Dr. Anwar Ridhwan telah merintis idea "cerita dalam cerita" lewat Naratif Ogonshoto di mana ia boleh sahaja dibaca sebagai sebuah novel atau himpunan cerita-cerita pendek yang mampu berdiri sendiri. Idea ini kemudiannya ditiru oleh Dr. Irwan Abu Bakar dalam novel Cinta Berbalas di Meja 17 yang merupakan sebuah kumpulan cerpen pada asalnya tetapi dijenamakan sebagai sebuah "novel antiplot".

Apa pun bentuk dan konsep buku tersebut, Pascasejarah tetap sebuah karya yang menarik dibaca. Seperti kata Roslan Jomel, naratifnya tangkas. Idea kehidupan masyarakat pascasejarah yang apocalyptic, yang diangkat penulis enak dibaca. Ceritanya dijalin dengan bahasa yang lancar dan sering mempunyai rima di hujung ayat. Tidak diketahui sama ada ia disengajakan atau pengaruh dari lenggok bahasa puisi yang begitu kuat dalam diri Fahd sebagai penyair. (Namun, kadangkala persamaan rima juga agak mengganggu kerana ia sering mengingatkan Fahd sebagai seorang penyair walhal yang mahu dibaca sekarang ialah cerpen Fahd, tapi itu mungkin hanya masalah saya seorang).

Pascasejarah adalah batu tanda dalam perjalanan seni Fahd Razy selepas mengesahkan statusnya sebagai penyair. Selepas Pascasejarah dan kumpulan-kumpulan cerpen Fahd seterusnya, saya harap novel beliau akan muncul selepas itu. Tidak perlu tergesa-gesa, Fahd! 


(kredit gambar: Goodreads)

No comments: