Musim hujan hujung tahun yang ditandai kehadiran angin monsun dari arah timur laut ini dulunya hanya merisaukan warga pantai timur terutamanya Kelantan dan Terengganu. Namun kini penduduk negeri pantai barat termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor turut merasai suasana ‘pesta air’ saban hujung tahun itu.
Kerisauan juga ‘pesta’ dari pantai timur ke pantai barat itu bergerak seperti gelombang. Seperti kehadiran musim, ia tidak dapat dihalang. Di Melaka pada ketika ini, hujan saban petang barangkali mula menukarkan keresahan seorang pekerja pejabat yang terperangkap kesesakan jalan raya sehingga sampai lewat ke rumah, kepada satu kebiasaan dan norma.
Seorang ibu yang risau kasut dan baju sekolah anaknya tidak sempat kering di jemuran juga mungkin kian terbiasa dan mula memikirkan cara lain menyediakan persalinan lengkap anaknya keesokan hari.
Uniknya sekarang, bukan gelombang ini sahaja yang ada di sini. Serentak, fenomena El Nino yang muncul awal November memanaskan bumi Melaka ketika hujan tidak turun. Seawal jam 9 pagi lagi hangatnya sudah terasa mencucuk kulit sehingga anda berasa tidak mahu keluar. Namun bagi wartawan seperti kami, hujan atau panas tidak boleh jadi alasan tidak keluar mencari berita. Kempen pilihan raya negeri (PRN) tetap berjalan tanpa menunggu cuaca cerah atau redup.
Cuma yang kadangkala jadi kerisauan kita bukanlah cuaca. Atau musim; tak kiralah El Nino atau monsun timur laut. Yang jadi perhatian ialah perubahan sikap dan kecenderungan ahli politik yang lebih sukar dijangka daripada rawaknya pertukaran hujan dan panas.
Di Melaka, seperti juga di Negeri Sembilan sebelum ini, perubahan ini berlaku seperti selang-seli hujan-panas yang digilirkan monsun timur laut dan El Nino. Panas sebelah pagi, hujan sebelah petang.
Melaka selepas PRN 2021 adalah kerajaan BN yang punya majoriti lebih dua pertiga, malah 21 daripada 28 kerusi DUN pecahan terkecilnya adalah tiga perempat. Buat seketika PH mengetuai blok pembangkang sebelum Adly Zahari dan empat ADUN PH lain menerima undangan BN menyertai kerajaan atas semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cukup indah pujangga Melayu tidak bernama ratusan tahun dulu menggambarkan situasi sosial dengan alam. Sekira-kira ini yang berlaku kepada PH Melaka selepas tidak lagi diperlukan BN sebagai rakan kerjasama dalam kempen PRN 2026.
Pas hadir ke Melaka seperti monsun timur laut yang lama mengesankan negeri pantai timur. Apabila ia tiba, gelombangnya tidak boleh dihalang. Sepanas-panas El Nino yang merekahkan tanah, apabila hujan lebat tiba, bumi tetap basah sebelum kadangkala banjir.
Kombinasi BN-Pas seperti El Nino dengan monsun timur laut di Melaka. Satu, panas dan menggigit kulit. Satu lagi basah dingin namun berisiko banjir.
Dan apabila keduanya hadir serentak, gelombangnya membadai. Namun seperti musim-musim yang lain, ia juga akan berakhir.

No comments:
Post a Comment