Tuesday, February 22, 2022

Adakah Muda akan diterima pengundi muda?

 Oleh HAIZIR OTHMAN

 

Ada kedengaran sedikit nada gusar dalam ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad minggu lalu yang meminta terma ‘pengundi muda’ tidak digunakan sebaliknya meluaskan penggunaan terma ‘pengundi baru’.

Ia jelasnya, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai terutamanya para pengundi akan perkaitan antara  ‘pengundi muda’ dengan pengundi parti Muda, atau Ikatan Demokratik Malaysia yang menurut penyandang Menteri Besar Johor itu, tidak pun mewakili orang muda.

Ucapan beliau di Iskandar Puteri itu merujuk konteks pertambahan bilangan pengundi di seluruh negara susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

Johor yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan akan jadi negeri pertama berdepan situasi ini selepas dua PRN sebelum ini di Melaka dan Sarawak tidak berpeluang ‘menyambut’ kehadiran pengundi-pengundi baru ini yang berjumlah jutaan orang.

Di Johor sahaja, ada lebih 700,000 pengundi baru akan berpeluang keluar mengundi buat pertama kali - tidak kiralah sama ada mereka akan keluar mengundi atau tidak.

Pertambahan bilangan pengundi baru ini menyumbang kira-kira 30 peratus kepada keseluruhan pengundi di negeri selatan tanah air itu - peratusan yang menurut sesetengah pandangan, akan memberi kesan cukup signifikan kepada keputusan PRN di sana.

Justeru, tidak hairan wacana ‘pengundi baru’ atau ‘pengundi muda’ ini mengambil ruang yang cukup banyak dalam kempen PRN Johor yang bakal dijalankan kurang tiga minggu dari sekarang.

700 ribu pengundi baru

Muda, yang baru sahaja lulus pendaftarannya tahun lalu selepas beberapa bulan ‘bergelut’ di mahkamah tidak mengambil masa lama untuk ‘berpencak’ di gelanggang politik negara apabila membuat keputusan bertanding dalam PRN Johor.

Parti itu pada Isnin mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, dan Bukit Pasir lewat Lim Wei Jiet, Afiqah Zulkifli, dan Mohd Azrul Rahani selepas mengumumkan calon pertama mereka, Amira Aisya di DUN Puteri Wangsa minggu lalu.

Muda, menerusi permuafakatan dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dilaporkan akan bertanding di enam kerusi. Selain kerusi-kerusi yang telah diumumkan calon-calonnya, mereka juga akan bertanding di DUN Parit Raja, dan DUN Machap.

Selesai urusan penamaan calon nanti, persoalan seterusnya yang timbul adalah: adakah parti Muda yang secara harfiahnya juga masih muda ini, akan dapat menarik sokongan para pengundi muda yang membentuk peratusan besar dalam PRN Johor nanti?

Kemunculan parti yang sinonim dengan orang muda ini pada masa lebih 700,000 pengundi baru (yang peratusan besarnya adalah pengundi muda) barangkali bukan sesuatu yang direncana parti tersebut, walaupun usaha ini secara aktif digerakkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sejak beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan dalam tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lewat usaha Undi18.

Undi18 dan penubuhan Muda adalah sebahagian daripada liku-liku perjalanan dalam karier politik Syed Saddiq yang mencatat rekod apabila menjawat jawatan menteri kabinet pada usia seawal 25 tahun pada 2018, namun adakah usaha-usaha tersebut dapat menyentuh hati orang muda, atau ia sama sekali tidak dipedulikan golongan tersebut?

Kesedaran pengundi muda adalah wacana seterusnya yang perlu dibincangkan selepas selesai urusan mendaftarkan mereka secara automatik sebagai pengundi.

Pernah ubah kerajaan

Dari keseluruhan kira-kira 2.6 juta pengundi di Johor, kira-kira 700,000 pengundi berada dalam lingkungan usia 18 hingga 30 tahun, membentuk peratusan sekitar 28 peratus.

Jika julat ini ditambah sedikit kepada lingkungan usia 18 hingga 40 tahun yang masih dalam julat usia belia, peratusannya akan jadi kira-kira 50 peratus, atau separuh daripada keseluruhan pengundi.

Namun, ada dua soalan yang boleh diterbitkan dari kenyataan di atas iaitu yang pertama, adakah mereka semua akan turun mengundi pada 12 Mac nanti?

Dan soalan kedua, jika mereka turun mengundi, adakah mereka akan mengundi Muda?

Soalan pertama menyentuh kesedaran politik anak muda untuk keluar menjalankan tanggungjawab sekaligus menunaikan hak mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini

Menyorot sedikit ke belakang, golongan muda jadi faktor utama perubahan apabila dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, undi-undi dari peti undi yang diisi mereka telah menghantar Barisan Nasional (BN) ke blok pembangkang buat kali pertama dalam sejarah negara.

BN bukan sahaja tewas di peringkat persekutuan, mereka juga kehilangan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah dan Sabah kepada Pakatan Harapan (PH) selain terus gagal di Selangor dan Pulau Pinang.

BN juga gagal merebut kembali Kelantan dan Terengganu dari tangan Pas meninggalkan hanya dua negeri iaitu Perlis dan Pahang untuk mereka kuasai.

Benci ahli politik

Gelombang anak muda membuat perubahan dapat dilihat dengan jelas pada ketika itu lewat gerakan-gerakan seperti #UndiRabu, #PulangMengundi dan #CarpoolGE14 yang digerakkan anak muda pelbagai kaum dan beroperasi kebanyakannya secara dalam talian.

Suasana sebegitu walau bagaimanapun mungkin tidak lagi dirasai pada ketika ini khususnya menjelang PRN Johor yang berbaki kurang tiga minggu dari sekarang.

Selepas Langkah Sheraton yang ditandai ‘lompatan’ beramai-ramai ahli politik sehingga menumbangkan kerajaan PH yang dipilih rakyat, gelombang perubahan politik anak muda barangkali kian mengendur.

Ketidak upayaan PH mengurus perubahan selepas merebut tampuk pemerintahan, pergolakan dalaman antara parti-parti komponennya, sentimen kaum dan agama keterlaluan yang dimainkan parti berteraskan bangsa dan agama, selain sifat oportunistik pemimpin tertentu tidak merapatkan jurang antara anak muda dengan politik sebaliknya hanya melebarkannya sehingga ke tahap mereka membenci ahli politik dan politik itu sendiri.

Oleh sebab itu, mengharapkan anak muda untuk membuat perubahan sekali lagi di peti undi dalam PRN Johor kali ini seperti agak keterlaluan - ia seperti mengharapkan seorang kekasih untuk terus setia selepas dikhianati.

Justeru, isu ini adalah halangan pertama yang perlu diselesaikan bukan sahaja Muda malah semua parti yang bertanding PRN Johor.

Hanya sahaja jika isu ini dapat dijawab, maka kita boleh beralih kepada soalan seterusnya iaitu siapakah yang akan jadi pilihan mereka?

 

Disiarkan di PRU Sinar Harian pada 22 Februari 2022

Friday, November 12, 2021

Melaka ‘pusara’ Muafakat Nasional?


TIMBUL persoalan tentang status Muafakat Nasional (MN) susulan pertembungan dua parti anggotanya, UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 pada 20 November ini.

Satu pandangan mengatakan MN sudah pun berkubur. Melaka hanyalah paku terakhir di keranda gabungan berusia dua tahun itu susulan ketidak sepakatan kedua-dua parti di dalamnya yang menganggotai dua gabungan berbeza, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Antara yang mendukung pandangan ini ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis yang berkata MN bukanlah satu kerjasama politik yang terjalin untuk jangka masa panjang.

Katanya, apabila Pas menolak tawaran UMNO untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu dengan menggunakan lambang sendiri berbanding menggunakan lambang PN dalam satu lagi gabungan, ia merupakan perkara yang menarik untuk diperhatikan.

Pertembungan kedua-dua parti itu yang merupakan parti-parti yang mendukung kerajaan di peringkat persekutuan juga amat menarik perhatian kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Selain penganalisis tersebut, pandangan yang mengatakan MN sudah mati juga diangkat tokoh veteran UMNO penuh kontroversi, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.

Beliau malah tanpa berselindung menyatakan MN telah sama ada berkubur atau sudah lama mati tak ada kubur apabila menyatakan tiada keikhlasan antara penyokong mereka di peringkat bawahan.

Satu lagi pandangan walau bagaimanapun kekal menyatakan betapa gabungan yang dimeterai dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada September 2019 itu masih bernyawa.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Tan Sri Annuar Musa punya pandangan berbeza dengan mentor politiknya, Tengku Razaleigh apabila berpandangan MN masih wujud terutamanya di peringkat persekutuan.

Jelasnya, persaingan di peringkat negeri bukanlah sesuatu yang pelik bagi parti-parti yang bersama di peringkat pusat kerana ia turut berlaku di negara lain.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata persaingan antara kedua parti itu juga tidak bermakna hubungan mereka terputus.

Rakannya dalam Kabinet, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad senada dengan beliau apabila berkata perlawanan antara UMNO dengan Pas di Melaka hanyalah perlawanan ‘persahabatan’.

Timbalan Presiden Pas itu mempertahankan hubungan kedua-dua parti itu tidak terjejas dalam MN malah partinya masih mahu jadi pendamai dalam kalangan mereka.

Memandangkan masih tiada pengumuman rasmi berhubung status MN pada ketika ini, kita hanya boleh menebak apakah akan jadi kepada gabungan ini selepas PRN Melaka nanti.

PRN Melaka mungkin menyaksikan bahawa selepas ini gabungan parti politik akan dibuat berdasarkan situasi setempat dan semasa, berbanding penyeragaman menyeluruh dari persekutuan ke negeri-negeri seperti sebelum ini.

Sebagai contoh di Selangor, MN barangkali masih relevan memandangkan UMNO dan Pas kelihatan seperti tidak ada pilihan lain untuk tidak bekerjasama demi mencabar Pakatan Harapan (PH) yang punya bilangan kerusi yang agak terlalu jauh untuk mereka kejar jika bergerak sendirian.

Namun bagi negeri-negeri yang memperlihatkan kekuatan seimbang antara kedua parti tersebut terutamanya di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, situasinya barangkali berbeza.

Maka sifir berbeza antara negeri-negeri dan persekutuan melibatkan gabungan parti adalah antara kemungkinan yang boleh kita lihat selepas ini berlaku dalam politik negara kita.

Malah tidak mustahil persepakatan boleh dibuat merentas parti melibatkan tiga gabungan besar; BN, PN, dan PH, terutamanya selepas pilihan raya.

Dinamika politik kita sudah berubah jauh, maka jika berlaku yang lebih pelik daripada ini selepas ini, jangan terkejut!



*Disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 12 November 2021, dan dalam talian di: https://www.sinarharian.com.my/article/171882/suara-sinar/analisis-sinar/melaka-lsquopusararsquo-muafakat-nasional


Wednesday, March 11, 2020

Ramah dan marah Nasir Jani - "Dia ingat duit bapak dia!"


 Oleh Haizir Othman

Temerloh. 1980-an. Nasir Jani sedang dalam petualangannya mencari satu kepuasan dalam hidup sebelum dia ditemukan dengan seorang tua yang aneh. Lelaki berusia lanjut itu punyai apa yang dicari-cari Nasir. Tapi sebelum apa-apa, dia mahu Nasir membaca sebuah buku.

"Nasir, ada satu buku ni, aku nak kau baca. Aku tak bagi kau pinjam, tapi kau baca," kata lelaki itu kepada Nasir Jani.

Nasir pada waktu itu, anak muda yang penuh dalam dada dengan pertanyaan-pertanyaan. Tambahan, pengarah di belakang kamera sepertinya tidak akan melepaskan sebarang cetusan idea besar yang fikirnya ada pada buku tersebut dan lelaki tua yang baru dikenalinya itu.

Minggu-minggu berikutnya diluangkan Nasir bersama-sama lelaki itu. Dia dibawa ke rumahnya untuk sesi-sesi sembang yang panjang.

Pada masa itulah Nasir mengambil masa menekuni karya itu yang dinukil seorang warga Scotland, William Guy Carr - lelaki kelahiran England yang kemudian dicop sebagai penyebar teori konspirasi dan anti-Semitik.

Buku yang dibaca Nasir adalah Pawns In The Game. Ia diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh satu penerbitan di Terengganu dengan judul Bidak-bidak Di Papan Catur Iblis.


"Tengah-tengah baca buku inilah, aku teringat peristiwa Memali, kes Umno pecah dua, lain-lain semua."

"Aku pun tengah buat filem masa 'tu. Aku masukkanlah ideanya," kata Nasir.

Filem yang dimaksudkannya itu adalah Kembara Seniman Jalanan (1986), filem sulungnya yang bertaraf legenda. Untuk menyebut ia sarat dengan kritik sosial pun barangkali satu 'understatement' kerana kritik yang dibawanya melarat dari dalam sehinggalah ke luar filem.


Anti-Mahathir

Nasir Jani adalah watak penting dalam sejarah kepengarahan filem tanah air. Bagi khalayak umum yang mengikuti perkembangan filem negara, beliau mungkin akan sering dikenali sebagai tokoh pengarah yang suka memberontak, 'anti-establishment', malah jiwa kacau.

Tapi bagi mereka yang secara peribadinya rapat dengan anak kelahiran negeri Hang Jebat ini, beliau akan didapati sebagai seorang yang mesra lewat tutur katanya yang ramah dan ketawanya yang mudah pecah itu.

Perjumpaan kami petang itu di Damansara Damai sepatutnya berkisar perjalanan kisah hidupnya sebagai pengarah filem atau sekurang-kurangnya sebagai penggiat seni secara umum tetapi ia berubah menjadi sembang politik dengan begitu cepat - terima kasih kepada para politikus negara yang bergerak agak terlalu 'aktif' sejak kebelakangan ini.

Sebagai orang yang dikenali dengan gelar kaki lawan, rebel sejak Kembara Seniman Jalanan lagi, atau mungkin lebih awal daripada itu, tidak lama masa yang beliau ambil untuk menyatakan ketidak setujuannya kepada pemimpin negara; termasuklah (atau terutamanya kepada) bekas perdana menteri (PM), Dr Mahathir Mohamad.


"Sebenarnya, Pakatan (Harapan) boleh menang (Pilihan Raya Umum Ke-14, PRU-14) hari tu tanpa Mahathir!" katanya, tegas, tidak lama selepas kami melabuhkan punggung di kerusi meja makan tempat berlangsung wawancara.

Sebentar kemudian, menantunya datang menghidangkan secawan minuman buat menghapus dahaga. Ya, wawancara baru bermula. Tapi hangatnya sudah terasa!

Imej anti-Mahathir malah tidak pelik pada Nasir Jani. Jika anda ada membaca dua buah bukunya, Brader, Kita Mesti Terus Hidup! (2016) dan Pemberontak Filem (2019), anda akan segera faham. Bahawa pendekatan perdana menteri keempat dan ketujuh itu tidak cocok dengan Nasir. Sama sekali.

Beliau yang pernah aktif menyokong Pakatan Rakyat sebelum ini menjelaskan banyak perkara tentang pertentangannya dengan Mahathir, tapi antara yang paling memberi kesan kepada perkembangan filem, seni, budaya malah jati diri rakyat negara ini adalah: pelantikan Mohamed Rahmat sebagai Menteri Penerangan.

"Dua kali dia jadi Menteri Penerangan pada zaman Mahathir!" kata Nasir.

Untuk rekod, Mohamed Rahmat dilantik sebagai Menteri Penerangan pada 1978-1982 (era PM ketiga, Tun Hussein Onn dan PM keempat, Dr Mahathir) dan pada 1987-1999 (era Dr Mahathir sepenuhnya).


Kegagalan Menteri Penerangan

Nasir Jani mungkin ada pengalaman tidak menarik dengan Mohamed Rahmat (yang juga digelar Tok Mat Bulat dalam buku beliau). Paling tidak boleh diterimanya adalah satu peristiwa pada tahun 1992 apabila Tok Mat memotong rambut panjang anggota kumpulan rock Search dan Wings dan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Alasan Tok Mat dan kementerian adalah isu moral, tapi bagi Nasir, itu cuma taktik bagi menutup isu monopoli rancangan televisyen oleh syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Tok Mat.

Namun, walau bagaimanapun ia bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi kebencian pengarah yang rapat dengan kumpulan-kumpulan rock tanah air itu. Kesan lebih besar akibat pelantikan Tok Mat ialah bagaimana kegagalan individu ini memimpin antara kementerian paling penting dalam membentuk jati diri bangsa dan mencorak masa depan negara yang lebih gemilang.


Kementerian Penerangan, jelasnya memegang kunci kepada pintu kesedaran rakyat yang boleh membawa bangsa ini keluar daripada kepompong kejumudan dan lemah semangat yang diwarisi sejak zaman penjajahan selama ratusan tahun.

Meletakkan orang yang silap di posisi ini adalah kesilapan fatal yang boleh 'membunuh' bangsa. Apatah lagi meletakkan orang tersebut dua kali.

Menteri Penerangan yang baik akan mendedahkan rakyat dengan filem-filem juga lagu-lagu bermutu tinggi dengan pemikiran-pemikiran hebat dari luar negeri. Walhal tahun-tahun 1970-an dan 1980-an merupakan era kegemilangan muzik dan filem termasuk dari Barat yang antaranya kuat dipengaruhi suasana Perang Dingin melibatkan Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet.

Tetapi ia tidak berlaku, seolah-olah takut kebijakan yang diperolehi darinya akan memandaikan rakyat sebelum mendatangkan ancaman kepada pemerintah pada kemudian hari.

Menyorotinya dari lampu sejarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ditubuhkan pada pertengahan tahun 1980, kira-kira setahun sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Sebagai perbandingan, Akademi Filem Korea (Korean Academy of Film Arts) ditubuh sedikit lebih lewat, kira-kira empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1984.

Namun, kurang empat puluh tahun selepas itu, dari tangan akademi ini lahir filem terbaik yang berjaya mengungguli hadiah filem paling berprestij, Anugerah Oscar di Hollywood lewat Parasite arahan Bong Joon-ho.

Jelas Nasir, Parasite tidak lahir dalam keadaan vakum. Sebaliknya, suasananya dibina cukup kondusif sejak sekian lama lewat penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan ahli politik negara itu yang ikhlas mahu mengangkat martabat bangsa mereka setanding dengan bangsa-bangsa besar di seluruh dunia.


Pelabur 'gila babi'

Di negara ini, jelasnya, kekangan terbesar bagi penggiat filem adalah dana, dan sumber dana tersebut datangnya dari FINAS.

"Hanya sesekali sahaja berlaku kalau ada pelabur yang 'gila babi' nak buat filem, kita tak perlu dana FINAS," katanya.

Malangnya, dakwa Nasir, di sana banyak berlaku 'hanky-panky' termasuklah melibatkan pembikin filem sendiri yang menggunakan sebilangan peruntukan FINAS yang sepatutnya sepenuhnya untuk pembikinan filem, untuk tujuan peribadi.

Selainnya adalah masalah birokrasi apabila penyaluran dana dari badan tersebut memerlukan 'syarat-syarat tambahan' seolah-olah kata Nasir, "duit itu bapak dia punya", yang menyukarkan para karyawan untuk berkarya.

Jelasnya, mentaliti sebegini jauh berbeza dengan negara kuasa besar seperti China yang melaburkan jumlah wang yang banyak untuk mengembangkan ideologi dan pemikiran mereka melalui filem.


"Abang pun pernah ditawar untuk mengarah filem dia. Berapa juta
you 'nak, dia tanya," dedah Nasir, menceritakan pengalamannya berdepan tawaran luar yang pastinya ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

Seterusnya, kata lulusan Komunikasi Massa, Institut Teknologi Mara, ITM (kini Universiti Teknologi Mara, UiTM) itu, kekangan penggiat filem adalah promosi. Memang kita 'out', katanya.

Namun jelasnya, di sebalik semua itu, apa yang lebih penting adalah jati diri. Menyebut urusan ini, beliau memetik beberapa nama pengarah muda termasuk Namron, Razaisyam Rashid, dan Shanjhey Kumar Perumal (pengarah Jagat) selain nama besar seperti Mamat Khalid.

Dan jati diri ini, katanya, tidak boleh dibuat-buat atau dicuba-cuba. "It's either you have it, or you don't!" Kali ini Nasir berbahasa Inggeris. Nampaknya dia marah!

Wednesday, December 18, 2019

Kelahiran 'selebriti agamawan' lebih bawa mudarat?


Oleh HAIZIR OTHMAN


Sejak 2010 apabila rancangan realiti Imam Muda musim pertama disiarkan Astro bagi mencari tokoh-tokoh pendakwah seluruh negara, syarikat-syarikat penyiaran lain mula mengambil langkah serupa - memadukan hiburan dengan elemen agama dan dakwah.

Bentuk rancangan sebegini adalah produk baru hiburan selepas rancangan realiti mencari penyanyi seperti Akademi Fantasia, AF (yang dimulakan sejak 2003), Mentor, One In A Million, dan lain-lain boleh dikatakan telah mencapai tahap 'tepu' dalam memenuhi selera penonton kontemporari.

Maka, sebagai syarikat berorientasi perniagaan, pendekatan baru dan segar perlu dicari bagi mencari segmen baru penonton. Imam Muda adalah idea bernas dalam mengatasi isu 'tepu' tersebut dan nyata percubaan mereka menjadi.

Satu strategi yang menimbulkan kesan adalah apabila produksi memakaikan gelaran Imam Muda (atau singkatannya, IM) di pangkal nama semua peserta. Jika para peserta rancangan realiti sebelum ini dikenali dengan dibubuh nama rancangan di hujung namanya, sebagai contoh Ali AF; Imam Muda menggunakan strategi berbeza.


Ada yang tak kena

Sebagai contoh, Imam Muda Ali, atau singkatannya, IM Ali. Apabila disebut begitu, kesannya jauh lebih kuat berbanding jika kita memanggil Ali dengan gelaran Ali Imam Muda, atau Ali IM. Kesan linguistik lewat Hukum D-M (Diterangkan-Menerangkan) ada peranan dalam hal ini.

Strategi meletak nama rancangan di pangkal nama berbanding di hujung ini membawa implikasi besar. Ia seolah-olah satu penganugerahan gelaran seperti lazim dilakukan Sultan dan Yang Dipertuan Agung kepada rakyat yang berjasa dengan pangkat Datuk, Tan Sri dan sebagainya.

Sistem penganugerahan gelaran di pangkal nama juga berlaku dalam dunia akademik lewat gelaran Dr. bagi pemegang ijazah doktor falsafah, juga anugerah-anugerah lain seperti Profesor, Profesor Madya, atau lewat pencapaian juga keahlian tertentu lewat gelar seperti Ir. (Insinyur), Ar. (Arkitek) dan lain-lain.

Disiplin tertentu diperlukan bagi memperolehi gelaran-gelaran di atas selain pelaburan masa, wang ringgit, tenaga dan lain-lain berbanding gelaran IM yang hanya mengambil masa beberapa minggu sebagai peserta rancangan tersebut. Tempohnya jadi lebih singkat bagi peserta yang tersingkir seawal minggu pertama.

Kejayaan rancangan ini dari segi jumlah bilangan penonton dan rating membolehkan ia diteruskan untuk beberapa musim lagi sebelum digantikan dengan rancangan baru bernama Pencetus Ummah. Mengambil kaedah yang sama, para pesertanya dianugerahkan gelaran PU, singkatan nama rancangan itu.

Lebih menarik, saluran televisyen lain tidak mahu ketinggalan dalam merebut pasaran baru bertaraf lautan biru ini. Maka muncullah Da'i (TV3), Ustazah Pilihan (juga produk Astro), Solehah (TV al-Hijrah), dan lain-lain sebelum muncul versi kanak-kanak pula seperti Ceria I-Star (Astro).

Apabila Ustaz Hasrizal Jamil menulis tentang hal ini pada tahun 2013 di blognya, beliau hanya menyebut "ada sesuatu yang tidak kena" dengan kemunculan fenomena ini. Apa yang mungkin tidak disangkanya adalah, sesuatu yang "tidak kena" itu berkembang menjadi gawat tahun demi tahun sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada kelahiran program-program sebegini.


Televangelis Muslim

Tulisannya pada 2014 yang tular semula baru-baru ini menyentuh kelahiran 'selebriti agamawan', antaranya dari program-program realiti televisyen. Beliau menegur para pelajar Pengajian Islam agar menjauhi dunia selebriti sebaliknya menyibukkan diri dengan pengajian.

Pada 2013 beliau menulis tentang kelahiran televangelis Muslim. Televangelis, berasal dari Barat, merujuk kepada penceramah Kristian yang sering muncul di televisyen juga media sosial bagi mengembangkan ajaran mereka selain merayu dana.

"Antara kritikan yang banyak dikemukakan adalah pada elemen komersil, populariti, mengidolakan diri yang kesemuanya itu mengkaburkan realiti sebenar bahawa yang bercakap itu sebenarnya bukan seorang yang berkelayakan, atau dalam bahasa mudahnya jahil yang petah berbicara," jelasnya yang merupakan anggota Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara.

Senada dengan beliau adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nurin Aina Abdullah yang melahirkan kebimbangannya apabila golongan selebriti agamawan ini kerap dinilai berdasarkan populariti, bukannya hujah dan ilmu. 

Katanya, adakalanya kesilapan selebriti agamawan dipertahankan para peminat. Lebih bahaya, katanya jika ia melibatkan pelanggaran hukum syarak.

Jelas Ahli Parlimen Merbok itu, agamawan dilihat masyarakat sebagai membawa imej agama Islam. Apabila agamawan menjadi selebriti, perkembangan setiap inci kehidupan mereka akan diikuti ribuan peminat.

Beliau yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN berkata, populariti, dan budaya tular yang melingkungi golongan ini adalah ujian, dan ia boleh membinasakan.


Caj RM40,000

"Dewasa ini, dengan pelbagai pendekatan atas nama membumikan dakwah kepada masyarakat melalui rancangan-rancangan realiti televisyen turut melahirkan ramai selebriti agamawan."

"(Namun) prinsip seorang agamawan (adalah) menyampaikan dakwah secara hikmah kepada semua dalam apa jua keadaan serta tidak menjauhi matlamat asal," katanya kepada Suara Keadilan.

Kemunculan golongan selebriti agamawan dari rancangan realiti TV yang pada asalnya memenuhi 'demand' penonton yang dahagakan program keagamaan kemudiannya beralih kepada dimensi materialistik apabila wujud tuntutan melampau caj dikenakan bagi slot ceramah mereka.

Berbekal populariti dan kekerapan muncul di kaca TV, sebahagiannya mengenakan bayaran tinggi bagi mengisi majlis ilmu. Media melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan berhubung caj sehingga RM40,000 diletakkan penceramah selebriti untuk program agama.

Manakala sebahagiannya mengenakan caj tidak kurang daripada RM3,000 bagi slot bertempoh kira-kira satu jam.


Tidak cukup dengan isu caj tinggi bagi sesi ceramah sehingga mengundang kecaman "penunggang agama" oleh sebahagian khalayak, golongan selebriti agamawan berdepan pandangan negatif seterusnya lewat isu rumah tangga segelintir mereka. 

Sifat "toksik" dalam budaya populis ini, seperti disebut Ustaz Hasrizal antara lain disebut dalam kajian Jonathan P. Berkey tentang sejarah umat Islam zaman silam yang ditimpa pelbagai fitnah dalam beragama ekoran kegiatan dakwah populis sebegini.


Cerai isteri, nikahi janda

"Paling musibah adalah implikasinya kepada kaum wanita umat ini," tulisnya lewat media sosial baru-baru ini.

Walaupun tidak menyatakan rujukan kepada mana-mana situasi, dipercayai statusnya bertarikh 4 Disember itu ada kaitan dengan kes tular seorang pendakwah selebriti baru-baru ini yang menceraikan isterinya yang hamil selepas menikahi seorang janda yang juga pemilik perniagaan.

Peristiwa melibatkan bekas peserta Da'i ini berlaku kira-kira lapan bulan selepas peristiwa serupa melibatkan bekas peserta Pencetus Ummah April lalu apabila beliau turut menceraikan isteri yang sarat mengandung dan mengahwini seorang ibu tunggal.

Dua peristiwa ini sekurang-kurangnya, harus menimbulkan pertanyaan tentang kewajaran membiarkan stesyen televisyen sewenang-wenang melahirkan golongan selebriti agama sebagai 'feeder' kepada program-program keagamaan longgar mereka yang diproduksikan semata-mata atas tujuan komersil.

Pada masa sama, masyarakat harus disedarkan bahawa ilmu agama harus dipelajari secara intensif dan bersistematik melalui guru-guru yang mursyid. Adapun yang sering disiar di kaca TV adalah motivasi ringan bersifat runcit-runcitan, tidak terlepas daripada kesilapan, dan boleh disalahfahami lewat pelbagai konteks dan cara.


*Disiarkan di Suara Keadilan 432


Hadiah Sastera Selangor 'langkaui' sempadan negeri



Oleh HAIZIR OTHMAN

Sejak beberapa bulan lalu, beberapa negeri selesai menganjurkan anugerah sastera masing-masing, antaranya Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Johor.

Di peringkat kebangsaan, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) kekal acara sastera paling berprestij sejak diperkenalkan pada 1971 dengan nama Hadiah Karya Sastera (HKS). Manakala Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dianjurkan awal tahun ini sebelum syarikat Utusan Melayu Berhad menutup operasinya Oktober lalu.

Kerelevanan anugerah sastera tidak dipersoalkan selagi karya-karyanya terus lahir dan dinikmati masyarakat. Pada zaman teknologi baru terbit hampir setiap hari, sastera kekal diperlukan dan punya khalayak peminat tersendiri.

Cuma dalam wajah dan bentuk penyampaian yang tidak lagi sama, isinya barangkali tidak jauh berbeza dari dulu hingga kini. Pengkarya generasi kini tetap membawa hasrat serupa dengan para penulis dari angkatan Asas 50 misalnya, yang berkarya sebelum merdeka, walau medium penyampaiannya barangkali sudah jauh berubah.

MB cetus ruangan Seni

Pada hari ini, teknologi digital menguasai dunia dalam segenap keadaan, dunia persuratan tidak terkecuali. Dari dunia kesusasteraan lisan kepada tulisan, bidang ini mengalami lonjakan saujana seterusnya apabila teknologi maklumat lewat revolusi industri ketiga mula berkembang pesat.

Dari menulis di atas daun lontar dan papan batu, kertas dan papan hitam, kini medium penulisan tidak lagi fizikal apabila peranti-peranti teknologi berupaya menyimpan tulisan dalam bentuk memori, bersifat elektronik dan maya.

Namun datanglah teknologi apa pun, ia tetap medium semata-mata. Manifestasi lahiriah insani akan menggunakan apa jua cara untuk dizahirkan sebelum menemui para pembacanya untuk dinikmati.

Apabila akhbar SelangorKini milik kerajaan negeri membuka ruangan Seni pada Disember 2014, ia dengan pantas menarik minat sekelompok generasi muda untuk menghantar karya mereka ke sana.

Lebih awal berkarya di laman maya lewat pelbagai platform, kemunculan medium baru ini umpama "bantal disorong" kepada mereka yang "mengantuk". Ruangan ini mendapat sambutan baik.



Ia tidak mengambil masa lama untuk berkembang apabila pada tahun berikutnya, akhbar ini berupaya menganjurkan Hadiah Sastera SelangorKini 2015 dengan menilai karya-karya yang disiarkan lewat tiga genre; puisi, cerpen dan rencana.

Terima kasih kepada Menteri Besar, Amirudin Shari yang pada ketika itu menjadi exco kebudayaan yang mencetuskan hasrat penerbitan ruangan Seni walau berdepan kata-kata kurang manis dari pihak yang mahu memadatkan akhbar negeri dengan maklumat penerangan dan propaganda semata-mata.

Jangan batas kreativiti

Antaranya pada 2015 di Dewan Negeri Selangor, Ahli Dewan Negeri sendiri yang meminta ruangan Seni ditutup dan digantikan dengan halaman sukan.

Namun, ruangan Seni akhbar ini bertahan malah Hadiah Sastera SelangorKini berkembang menjadi Hadiah Sastera Selangor (HSS) kemudiannya.

Isnin lalu di Shah Alam, penganjuran acara sastera ini masuk kali keempat. Lebih matang berbanding 2015, apa yang menarik dalam HSS adalah; ia tidak meletakkan syarat untuk menghantar karya, penulisnya mestilah berasal dari Selangor atau menetap di negeri ini untuk tempoh tertentu.

Berbanding negeri-negeri lain yang meletakkan terma sedemikian sebagai syarat pertama, Selangor berani keluar dari kebiasaan itu, bersifat terbuka dan berpendekatan ala meritokrasi.

Ketika ditanya soal keterbukaan ini kepada Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan yang berasal dari Selangor, beliau berkata ia sesuatu yang baik; sesuai dengan status Selangor sebagai antara negeri paling maju di Malaysia.

Beliau yang ditemui selepas acara berkata, dengan bersifat terbuka, karya kita akan jadi lebih besar. Menurutnya, kreativiti tidak harus dibataskan hanya untuk orang Selangor.

Beliau yang bersetuju bahawa penilaian karya harus dinilai berdasarkan kreativiti, dan bukan sempadan geografi turut mahu amalan ini dicontohi negeri-negeri lain.

"Sepatutnya (dicontohi negeri-negeri lain). Jangan ada sifat kenegerian ini kerana apabila kita lebih terbuka, ia lebih kuat untuk sastera kita," katanya ketika ditemui.

Selangor representasi Malaysia

Baru-baru ini timbul polemik susulan rencana tulisan Wan Nor Azriq yang respon kepada tulisan Dr Ghazali Din; berkisar antara kewajaran kerajaan negeri membantu kegiatan sastera dengan keupayaan penulis sendiri untuk melahirkan kata-kata baru.

Di Selangor, isu ini walau bagaimanapun tidak berbangkit apabila dengan sifat kosmopolitannya menerima karya dari semua penulis di Malaysia selain keinginan kerajaan negeri sendiri merancakkan wacana sastera dengan menyalurkan dana sewajarnya.

Amirudin Shari menjelaskan keadaan ini sebagai sifat Selangor yang membawa representasi Malaysia sejak sekian lama, maka penganjuran anugerah sasteranya juga mirip penganjuran nasional.

"Sebagai satu bukti keterbukaan, memang kita meraikan semua pandangan kerana kita kekurangan wadah itu di Malaysia."

"Kita akan kekalkan tradisi ini kerana sejak sekian lama Selangor adalah representasi Malaysia. Kita mahu kekalkan reputasi ini," katanya ketika ditemui.

Tuesday, December 17, 2019

Terima kasih, Rafizi!


Oleh HAIZIR OTHMAN


Keputusan Rafizi Ramli mengundurkan diri dari politik seperti yang diumumkannya minggu lalu sememangnya mengejutkan. Terutamanya kepada rakan-rakan rapat dan penyokongnya, keputusan tersebut ditanggapi dengan perasaan sedih dan kehilangan. 

Rafizi Ramli - Naib Presiden KEADILAN, bekas Ahli Parlimen Pandan, pengasas firma analitik data INVOKE Malaysia. Lebih daripada itu semua, anak muda berusia 42 tahun ini adalah "otak" di sebalik kemenangan bergaya Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei tahun lalu.

Pada ketika masih ramai curiga sama ada Umno-BN mampu ditumbangkan selepas memerintah negara selama lebih 60 tahun, Rafizi dengan berani meramalkan HARAPAN akan membentuk majoriti dengan memenangi 111 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

Keyakinan inilah yang memandu, mengemudi perjalanan kempen termasuk kepada sesetengah yang pesimis akan kejayaan HARAPAN. 

Ramalan yang dibantu dengan kaedah persampelan data ini terbukti apabila HARAPAN, bersama-sama Parti Warisan Sabah (Warisan) mencipta sejarah memenangi PRU-14 dengan meraih 121 kerusi parlimen di seluruh negara.

Kerja kerasnya menjelajah negeri-negeri (Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyifatkan kerja keras Rafizi tiga kali ganda daripadanya) sepanjang tempoh kempen menjadi kunci kepada kejayaan tersebut, walaupun beliau sendiri tidak menjadi calon pilihan raya atas alasan perundangan.


Ucapan pimpinan KEADILAN


"Rafizi Ramli personaliti luarbiasa, 'public intellectual'. Amat besar sumbangannya terhadap pengukuhan HARAPAN ketika separuh pimpinan berpegang kepada "tanpa Pas, dan pertembungan 3 penjuru, kita kalah". Rafizi tangkas menjelajah seluruh negara, meletak sasaran menang kawasan 'marginal' atau tewas tipis adalah formula menawan Putrajaya. 

HARAPAN menang antara lain disebabkan pengorbanan beliau, sewaktu yang dulunya pesimis, kini menikmati hasilnya. Satu perkhabaran mendukacitakan dengan pengumuman Rafizi, namun berharap masih ada ruang kembali pada masa hadapan. Rakyat Malaysia memerlukan Rafizi Ramli!"


Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN
Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal-Ehwal Pengguna



"Sebagai seorang ahli politik yang matang, saya yakin Sdr Rafizi tidak akan berehat terlalu lama daripada politik. Sementara parti menghormati keputusan beliau, namun tentunya, Pakatan Harapan dan rakyat terhutang budi dengan pengorbanan yang telah beliau curahkan dalam memastikan perubahan politik negara berlaku. 

Saya yakin beliau akan kembali berpencak di pentas politik negara, dengan idea yang lebih bernas untuk membina Malaysia dan rakyat yang lebih gemilang."



Shamsul Iskandar Md Akin
Ketua Penerangan KEADILAN
Timbalan Menteri Industri Utama


"Sdr Rafizi banyak berjasa kepada rakyat, parti dan negara. Kesungguhan beliau membongkar kebobrokan dan salah laku membuka mata rakyat kepada ketidakadilan. Strategi beliau serta pasukan membuahkan hasil, membuktikan kehandalan beliau.

Sdr Rafizi bagai lilin membakar diri memberi cahaya buat semua. Harapan saya dan rakyat ialah Sdr Rafizi kembali berkhidmat dalam politik pada masa hadapan."


Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Ahli Parlimen Lembah Pantai


"Rafizi pemimpin yang amat pintar. Bersedia berkongsi ilmu pengetahuan dan bekerja amat kuat. Penuh disiplin dan tidak bertolak ansur dengan rasuah dan pencuri harta rakyat. 
Saya berdoa beliau akan kembali ke pentas politik tanah air tanah air dan memimpin negara."


Johari Abdul
Ketua Whip Pakatan Harapan
Ahli Parlimen Sungai Petani




"Rafizi akan sentiasa jadi sebahagian daripada gerakan reformasi Malaysia."



Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Permatang Pauh


"Antara penyumbang terbesar kemenangan HARAPAN dalam PRU-14 lalu, dengan kesungguhan menyampaikan mesej perubahan. Penubuhan Invoke menjadikan perubahan sebagai gerakan rakyat, bukan semata-mata parti politik. Ia beri kesan besar, terutama bagi kerusi-kerusi marjinal. 

Sumbangan Sdr Rafizi meletak keutamaan kepada rakyat, memungkinkan banyak perkara sukar boleh diatasi, seperti Muafakat HARAPAN, agihan kerusi, calon PM dan TPM, serta Manifesto. Persaraan beliau satu kehilangan namun saya hormati dan berharap beliau terus menyumbang kepada negara dalam bentuk lain. 

Sudah tiba masanya ramai lagi pimpinan tampil, meniti liku perjuangan yang dilalui beliau. Terima kasih, Rafizi! Moga jasa anda diganjari sewajarnya."


Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi MPN Johor
Ahli Parlimen Ledang


"Parti dan negara kehilangan bakat besar susulan pengunduran Rafizi dari politik. Dunia perniagaan Malaysia walau bagaimanapun, beroleh seorang bakat baru. Rafizi telah memberi impak besar kepada politik Malaysia. 

Beliau telah memainkan peranan signifikan dalam merencana kempen PRU-14. Beliau juga membayar harga yang mahal dengan berdepan banyak kes undang-undang dan tuduhan jenayah kerana mendedahkan penyelewengan. Saya doakan kejayaan dalam bidang baru yang beliau ceburi."



William Leong
Ahli Parlimen Selayang


"Berbanyak terima kasih kepada Sdr Rafizi yang membantu saya dalam kempen PRU-14 lalu sehingga memenangi Parlimen Pasir Gudang dengan majoriti besar. Beliau menolong bukan sahaja melalui Invoke tapi secara peribadi datang berkempen bukan sahaja di Pasir Gudang tetapi di seluruh Johor, kami terhutang budi. 

Saya dengan ikhlas memohon beliau terus berjuang di arena politik Malaysia, dan janganlah mengundurkan diri. Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin ikhlas dan berdedikasi seperti beliau."


Ahli Parlimen Pasir Gudang
Hassan Karim


*Disiarkan di Suara Keadilan 432

Wednesday, December 04, 2019

Pengecilan operasi ITBM: Antara salah urus, mainan persepsi dan politik salahkan kerajaan



Ramai pemain industri buku termasuk golongan penulis menyatakan rasa tidak senang dengan keputusan mengembalikan peranan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kepada hanya menterjemah, berbanding menerbitkan sendiri karya asli seperti yang dijalankannya sekarang.

Keputusan ini bermaksud ITBM perlu mengecilkan operasinya. Selain kesan langsungnya akan dirasai kira-kira separuh daripada 116 pekerja syarikat itu yang bakal kehilangan pekerjaan, kesan lebih besar seperti didakwa sebilangan khalayak ialah terjejasnya penerbitan buku di negara ini.

ITBM menerbitkan kira-kira 360 judul baru buku setahun, manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kira-kira 400-500 judul setahun untuk karya asli. Sebagai perspektif, negara menerbitkan kira-kira 18,000 judul baru buku pada 2014.

Secara perbandingan, jumlah terbitan dari dua pemain utama industri buku negara ini masih jauh dari sasaran 32,000 judul baru setahun bagi mencapai penanda aras negara maju seperti ditetapkan UNESCO.

Dapat RM5 juta, rugi RM6 juta

Berasal dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), badan ini ditubuhkan pada 1993 dengan modal RM29 juta. Ia menjalankan perniagaan dengan beberapa sektor, antaranya lewat penjualan buku kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah-sekolah.

Pada 2011, bagi membolehkannya menerbitkan karya asli, badan ini mendapat dana kerajaan berjumlah RM5 juta. Namanya turut ditukar kepada ITBM dengan logo baru.

Selepas lapan tahun beroperasi di bawah nama ITBM, ia akhirnya berdepan pengecilan operasi seperti yang diakui pengarah urusannya sendiri, Sakri Abdullah, lewat media.

Namun, ia tidaklah berlaku semalaman. Desas-desus tentang masalah yang melingkari syarikat berkaitan kerajaan ini (termasuk ura-ura akan ditutup) telah berlegar sekurang-kurangnya sejak tiga atau empat tahun lalu, terutama selepas berita hutangnya berjumlah RM6 juta dilaporkan.

Menurut sumber yang dekat dengan ITBM, masalah ITBM berpunca daripada kesilapan pengurusan syarikat itu dalam meletakkan keutamaan, terutamanya dalam keputusan-keputusan yang melibatkan perbelanjaan wang syarikat.

Antara contoh paling ketara jelasnya, apabila ia menerbitkan buku biografi bekas Menteri Pelajaran, Mahdzir Khalid berjudul "Semua Kita Serupa" awal tahun lalu, dengan judulnya dalam bahasa Inggeris, "We Are All The Same".



"Buku Mahdzir Khalid dicetak sehingga 10,000 naskhah, dan (ITBM) masih berhutang dengan pencetak," katanya sebelum menyambung, "Siapalah yang mahu beli buku itu?"

Terbit buku "kawan-kawan"

Hasil semakan mendapati buku biografi naib presiden Umno dan ahli parlimen Padang Terap itu dijual dengan harga RM50.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM55.00 (Sabah dan Sarawak).

Tahun 2018 bukanlah tahun terbaik bagi kewangan ITBM, malah mungkin terburuk. Maka keputusan mencetak buku dengan jumlah sebesar itu boleh dipertikaikan. Sebagai satu lagi perspektif, 2018 juga adalah tahun berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bulan Mei.

Menyentuh pilihan dalam penerbitan karya, pada satu ketika dulu heboh diperkatakan di media sosial tentang tindakan ITBM yang didakwa gemar menerbitkan buku penulis dalam kalangan yang rapat dengan pengurusan mereka sahaja, tanpa mengira ia benar-benar layak diterbitkan atau tidak.

Penyanyi dan penggubah lagu, Meor Aziddin Yusof atau dikenali sebagai Meor Pesta Jiwa yang bersetuju dengan kenyataan ini mempersoalkan peranan sebenar ITBM, selain mengakui buku "kawan-kawan" itu juga tidak begitu mendapat sambutan.

"Begitu juga dengan ITBM, berapa banyak buku yang diterjemahkan? Berapa banyak buku kawan-kawan yang diterbitkan? Yang jadi tukang urusnya kawan baik, yang jadi penulisnya kawan baik. Jadi ia hanya berlegar di sekitar kawan-kawan."

"Pernah saya tanya, ingat buku baru saya nak minta diorang (mereka) terbitkan, awal-awal lagi dah cakap "tak cukup budget", sebab setakat kenal tak cukup, kena betul-betul kenal."

"Masalahnya buku kawan-kawan yang diterbitkan tak jual sangat pun. Lebih kepada meraikan kawan-kawan saja," jelasnya lewat media sosial baru-baru ini.

Tak carum KWSP?

Masalah pengurusan ITBM walau bagaimanapun tidak berakhir di situ. Sumber mendakwa pekerja institut itu tidak dicarum dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak dua tahun lalu. Dakwanya, pekerja tidak diberitahu akan hal ini dan sebilangan mereka hanya menyedarinya apabila mahu membuat pinjaman bank.

Suara Keadilan menghubungi pengarah urusan ITBM lewat sistem pesanan WhatsApp bagi mengesahkan dakwaan ini namun sehingga rencana ini ditulis, beliau tidak memberi respon.

Seterusnya dakwa sumber, pengaliran wang keluar dalam satu pesta buku antarabangsa di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu juga tidak diperhatikan sehingga melebihi kadar sewajarnya.

"Terutamanya sejak tiga-empat tahun kebelakangan. Contohnya jika jualan sekitar RM200,000, perbelanjaannya jauh lebih besar."

"Pembaziran berlaku apabila penulis diberi layanan berlebih-lebihan. Contohnya apabila ada sesi tanda tangan buku penulis (book signing), penulis tersebut diberi hotel, dilayan sangat mewah."

"(Belanja) minum, rokok sahaja sudah sampai RM100 lebih dan macam-macam lagi," jelasnya.

Sepanjang sepuluh hari pesta buku tersebut berlangsung juga dakwanya, seorang bekas "orang besar" ITBM menyewa hotel mewah berhampiran lokasi hanya untuk menukar pakaian.

Dilawat SPRM

Pada masa sama, staf terpaksa datang awal dan balik lewat, berulang-alik dari rumah ke lokasi tanpa diberi kemudahan serupa atas alasan mahu menjimatkan kos. Jelasnya, walaupun ada disediakan inap desa, ia tidak mencukupi untuk menampung kesemua staf terlibat.

Pemilihan syarikat percetakan, malah stor penyimpanan turut menimbulkan tanda tanya apabila kadar sewa stor baru didapati lebih mahal sehingga dikatakan mencecah RM30,000 sebulan.

Ketika ditanya jika tidak berlaku audit dalam organisasi ini, beliau mendedahkan satu rekod kewangan atau perbelanjaan syarikat pada tahun tertentu pernah dihapuskan pihak pengurusan.

Lebih jauh dakwanya, premis syarikat ini pernah dikunjungi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan penyiasatan namun tiada sebarang bukti dijumpai. Latar belakang undang-undang yang dimiliki bekas "orang besar" ITBM itu menyulitkan sebarang usaha pendedahan dibuat.

Ia juga didakwa menjadi sebab staf organisasi ini tidak berani tampil mendedahkan apa-apa. Menutup pertemuan pada hari itu, sumber berharap pengecilan operasi ITBM tidak dipolitikkan dengan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang melihat isu ini dari perspektif untung-rugi.

Sebaliknya, pengembalian peranan ITBM kepada kerja menterjemah sepenuhnya harus disambut dengan hasrat menyemarakkan bidang penterjemahan ilmu bagi membawa masuk ilmu dan kebijakan luar bagi manfaat rakyat dan negara.


*Disiar di Suara Keadilan 431

Islam, Confucianism galak hidup bermasyarakat – Anwar



Seperti agama Islam yang mengajar nilai-nilai mulia, ajaran Confucianism turut punya galakan serupa – antaranya mengajak manusia menjadi kurang mementingkan diri sendiri sebaliknya hidup bermasyarakat.

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran buku Islam and Confucianism: A Civilizational Dialogue di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, kedua-dua sistem ini mahukan pembentukan masyarakat bertimbang-rasa.

“Islam dan Confucianism menggalakkan manusia hidup bersama-sama secara aman dalam masyarakat berbilang kaum.

“Pada hari ini, kita bukannya membentuk persefahaman, tapi perseteruan.

“Penerbitan buku ini amat tepat pada masanya bersempena persidangan minggu ini di Pulau Pinang bagi menggalakkan persefahaman dan sifat saling hormat-menghormati,” katanya.

Buku Islam and Confucianism edisi baru merupakan kumpulan esei dari beberapa sarjana, disunting Syaikh Kulliyyah ISTAC, Profesor Dr Osman Bakar.

Anwar menulis prakata panjang dalam buku tersebut, sehingga disifatkan Dr Osman sebagai satu bab sendiri dalam buku itu.

Anwar juga menyentuh kepentingan buku tersebut dalam masyarakat negara ini yang dibentuk majoritinya oleh penganut agama Islam dan ajaran falsafah Confucianism.

Susulan pelancaran buku ini, satu dialog bertajuk Islam-Confucianism Civilizational Dialogue diadakan di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 30 November dan 1 Disember lalu.

Dialog antara agama atasi ekstremisme

Sementara itu, Shaykh al-Kulliyyah, ISTAC, Prof Dr Osman Bakar ketika ditemui berkata penerbitan semula buku Islam and Confucianism: A Civilizational Dialogue edisi baru itu bertujuan mengajak penganut agama Islam dan pengikut ajaran Confucianism supaya kembali kepada nilai-nilai yang dibawa sistem kepercayaan masing-masing.

Menurut Penyandang Kursi Al-Ghazzali Dalam Pemikiran Islam ISTAC itu, buku tersebut memuatkan mesej tentang ajaran kesederhanaan yang punya banyak persamaan nilai antara Islam dan Confucianism.

"Kita dapati ada banyak persamaan antara ajaran agama Islam dengan Confucianism tentang kesederhanaan."

"Jadi kalau kaum Cina menghayati nilai-nilai yang terdapat dalam Confucianism dan orang Islam menghayati ajaran wasathiyyah yang terdapat dalam al-Quran, negara kita akan kukuh, padu, dan aman," katanya kepada Suara Keadilan.



Dr Osman menyifatkan cabaran dalam hubungan antara kaum dan agama di Malaysia pada hari ini jauh lebih tegang berbanding dulu, maka wacana jalan pertengahan harus mengambil tempat dalam arus perdana.

"Tetapi dalam ketegangan itu kita tidak nampak siapakah yang bercakap tentang keharmonian, perlunya kesepakatan dan hubungan yang lebih baik dan bagaimana caranya."

"Suara-suara ekstrem itu sentiasa ada. Isunya bagaimana kita mahu meminggirkan suara-suara itu melalui ajaran positif. Di sinilah peranan ISTAC untuk menyuburkan budaya dialog antara agama dan budaya," katanya yang mahu buku tersebut diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan Mandarin agar capaiannya lebih luas.


Elak terjerumus kancah perkauman

Titik persefahaman antara kaum harus dicapai bagi melawan arus perkauman sempit yang sering dimainkan segelintir pihak, kata Anwar Ibrahim

Oleh itu, tegasnya program dialog antara agama bagi merintis perkenalan antara dua pihak amat penting bagi mengelak pertembungan seperti yang dialami tamadun Barat.

"Saya tekankan prinsip “li ta’arafu” yang telah diperintahkan oleh Allah sebagai anjuran buat umat Islam saling mengenal antara satu sama lain, dan bukan terjerumus ke dalam kancah perkauman dan fasisme sebagaimana yang dialami oleh Barat,"

"Saya turut tegaskan pentingnya idealisme keadilan dan akhlak yang dijulang dalam kedua-dua tradisi, dengan menukil kisah harimau, yang menurut Kung Fu Tze, kurang berbahaya berbanding penguasa yang zalim dan terhakis akhlaknya," katanya lewat media sosial.

Anwar menyampaikan ucaptama dalam program Dialog Peradaban Islam-Confucianism di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang Sabtu lalu. Program tersebut turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin, dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.


*Disiar di Suara Keadilan 431

Kertas Putih Pertahanan tanda kesiapsiagaan negara menuju masa depan



Kurang dua tahun Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui tampuk pentadbiran negara, ia telah pun melakukan perkara yang tidak dilaksanakan pemerintahan lalu dalam tempoh 61 tahun.

Pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Dewan Rakyat Isnin lalu merupakan detik penting dalam sejarah negara ini apabila buat pertama kali sejak merdeka, kerajaan secara terbuka berkongsi hasrat dan matlamat pertahanan negara kepada rakyat.

Menyifatkan KPP sebagai milik rakyat, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata ia kerana penghasilannya melibatkan semua pihak termasuk pembuat dasar, anggota awam, pakar akademik, dan semua kementerian.

Mohamad Sabu yang membentangkan KPP bertajuk 'Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur' mengakui kenyataan tersebut dengan mengatakan penghasilan dokumen itu membabitkan beberapa bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selangkah ke depan

Bekas Panglima ATM berkenaan ialah, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor; Jeneral Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth; Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Yunus Tasi; Laksamana Madya (B) Tan Sri Abdul Wahab Nawi; Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz; Marsyal Muda Udara (B) Tan Sri Sulaiman Sujak dan Jeneral (B) Tan Sri Panglima Abdul Rahman Abdul Hamid.

KPP mengandungi lapan bab iaitu pengenalan, perspektif strategik, strategi pertahanan, angkatan masa hadapan, warga pertahanan, hubungan pertahanan antarabangsa, sains, teknologi & industri pertahanan, dan reformasi, tadbir urus dan pembiayaan.

Kelapan-lapan bab dalam KPP ini merangkumi visi, strategi dan pelaksanaan. Visi digariskan KPP adalah mengekalkan Malaysia sebagai negara selamat, berdaulat, dan makmur, memposisikan Malaysia sebagai negara maritim dengan susur galur kebenuaan, dan memaksimumkan potensi Malaysia sebagai penjalin Lautan Pasifik dan Hindi.

Penganalisis pertahanan, Dr Ruhanie Ahmad menyifatkan penerbitan KPP membolehkan industri pertahanan melangkah satu tapak lagi ke hadapan.

Beliau yang turut terlibat dalam penghasilan dokumen tersebut berkata, ia merangkumi ciri-ciri maju dalam pengurusan pertahanan seperti dimiliki negara-negara lain.

"Setiap kertas putih diterbitkan untuk memberi satu langkah ke depan dalam pengurusan pertahanan, ketenteraan, persenjataan dan ciri-ciri warga pertahanan pada masa akan datang."

"Kalau kita kaji kertas putih negara lain, saya rasa kertas putih kita merangkumkan ciri "moving forward" dalam pengurusan pertahanan negara, soal pembelian senjata, dan ilmu yang perlu dimiliki tentera pada masa akan datang," katanya dalam satu rancangan bual bicara.

Tentera pintar

Jelasnya, pembangunan tentera pintar seperti yang dicadangkan dalam KPP perlu dipandang serius melihat kepada ancaman hari ini di seluruh dunia seperti keganasan siber, perang elektromagnetik dan sebagainya.

Untuk itu, beliau menyambut baik langkah kementerian untuk memperkasakan pengembangan "k-force" atau tentera yang mempunyai "knowledge" (pengetahuan) dalam teknologi sebagai persediaan kepada zaman yang semakin mencabar.

Tentera pintar disebut Mohamad Sabu sebagai bahagian penting dalam pembangunan Angkatan Masa Hadapan melibatkan pelaburan jangka panjang Kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ATM dengan penyediaan aset dan kelengkapan, serta keupayaan tenaga kerja berasaskan pengetahuan dan kemahiran.



Ia merupakan sebahagian daripada pelan dalam KPP 2021-2030 yang antaranya termasuklah memperkasa teknologi pesawat udara tanpa pemandu dan dron.

Berkembang lebih jauh, pembangunan sains dan teknologi dalam industri pertahanan bakal membuka ruang baru dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan berkaitan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Kuik Cheng Chwee berkata KPP bakal merangka objektif strategik jangka panjang negara lewat idea memposisikan Malaysia sebagai negara maritim.

Katanya, KPP boleh menarik perhatian rakyat dan memperkasa pertahanan negara berbanding mengambil kira keperluan agensi-agensi ketenteraan dan bukan ketenteraan.

60 tahun BN buat apa?

"KPP dihasilkan dengan mengambil kira pandangan bukan hanya agensi kerajaan tapi juga tokoh akademik dalam membekalkan asas-asas keperluan KPP membabitkan pertahanan negara," katanya, memetik media.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengucapkan syabas kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan pasukan tentera atas kejayaan membentangkan Kertas Putih Pertahanan di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Jelasnya, ini merupakan julung-julung kali pembentangan seumpama ini dilakukan dan ia seharusnya mencerminkan era baru dalam ketelusan kerajaan.

"Kertas tersebut mempunyai lapan bab; antaranya penilaian kepada situasi AS-China, tumpuan kepada isu-isu maritim, ikrar ketelusan dan lain-lain," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya itu walau bagaimanapun melahirkan rasa hairannya kepada sebahagian ahli parlimen BN yang mengecam kertas tersebut sebagai tidak telus.

"Ironinya, sebahagian ahli parlimen BN mengatakan ia tidak cukup telus, walaupun dalam tempoh 60 tahun, BN tidak pernah membentangkan kertas seumpama ini."

Jelas Wong Chen, apa jua kelemahan yang ada dalam kertas putih tersebut, ia tetap satu permulaan yang baik.


*Disiar di Suara Keadilan 431

#MalaysiaKerja pendekatan holistik atasi pengangguran


Disusun oleh HAIZIR OTHMAN


Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) selepas mendapat sokongan majoriti anggota parlimen melalui undian suara. 

Keputusannya diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof kira-kira jam 6.40 petang selepas dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan disokong Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Lim Guan Eng pada 11 Oktober lalu memperuntukkan RM297 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion. RM241 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Selepas mengambil-alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, Belanjawan 2020 merupakan belanjawan kedua Pakatan Harapan. Bertemakan "Kemakmuran Bersama", satu elemen menarik dalam belanjawan kali ini adalah inisiatif #MalaysiaKerja yang diperkenalkan kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara.


Kos penggajian lebih rendah

Apakah sebenarnya program #MalaysiaKerja ini? Dibahagikan kepada empat program iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja dan #PerantisKerja, program ini dijangka mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat negara ini dalam tempoh lima tahun.

Ia juga bakal mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing sebanyak 130,000 pekerja.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion bagi menjayakan inisiatif yang akan diuruskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu. 

Lewat inisiatif #GraduanKerja, kerajaan menggalakkan majikan mengambil graduan menganggur melebihi 12 bulan dengan memberi insentif RM500 kepada pekerja yang diambil, dan RM300 kepada majikan.


Insentif ini disalurkan dalam bentuk caruman wajib KWSP pekerja dan majikan. Kelebihan yang diperolehi di pihak pekerja ialah; gaji bersih mereka lebih besar kerana sebahagian caruman (atau kesemuanya, bergantung kepada jumlah gaji) ditanggung oleh kerajaan lewat inisiatif ini.

Manakala di pihak majikan pula, kelebihan mereka ialah kos mengambil pekerja jadi lebih rendah kerana sebahagiannya kini ditanggung kerajaan.

Jika ada lebihan dari jumlah tersebut, ia akan dimasukkan ke Akaun 3 pekerja yang akan diwujudkan KWSP, dan ia boleh dikeluarkan pekerja pada bila-bila masa. 


Tiada negara lain buat

Bercakap kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias menjelaskan apa yang menarik dalam program ini ialah penglibatan pihak majikan selaku pihak yang menawarkan pekerjaan.

"Kerana kita dapati kita perlu melibatkan majikan dalam penyelesaian ini. Kerana pada akhirnya, merekalah yang mencipta pekerjaan." 

"Jika kita abaikan mereka, mereka akan bertanya kenapa mereka perlu jadi sebahagian daripada program ini?" katanya.

Tunku Alizakri turut menyifatkan inisiatif ini sebagai satu idea yang inovatif dan merupakan satu bentuk penyelesaian holistik.


"Berita baiknya ialah, para graduan baru dan kelompok sasaran lain mempunyai lebih persediaan untuk masa depan (dengan tabungan yang lebih). Mereka juga bakal beroleh gaji bersih yang lebih besar."

"Berita baik kedua ialah lebihan dari insentif tersebut boleh sama ada disimpan atau dikeluarkan oleh pekerja pada bila-bila masa," katanya.

Menyifatkan tiada negara lain di dunia yang menjalankan idea seperti ini, beliau walau bagaimanapun menjelaskan program dengan tempoh dua tahun ini bukanlah tentang menghasilkan pekerjaan, sebaliknya menyediakan peluang untuk bekerja bagi penganggur dan kelompok sasaran.

Menggunakan kaedah yang sama, inisiatif #WanitaKerja mensasarkan golongan wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 55 tahun untuk kembali bekerja selepas meninggalkan alam pekerjaan atas pelbagai sebab, antaranya memberi tumpuan kepada rumah tangga.


Elak jadi Hong Kong

Lewat inisiatif #WatanKerja pula yang bermatlamat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan akan menyalurkan sejumlah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing, dan RM250 sebulan kepada majikan terbabit.

Untuk program terakhir, #PerantisKerja menyaksikan penyaluran elaun tambahan sebanyak RM100 kepada pelajar TVET selain potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai program.

Melihat dari perspektif lebih luas, isu pekerjaan terutama dalam kalangan generasi muda amat kritikal kerana jika tidak diurus dengan baik, kesannya bukan sahaja kepada kehidupan mereka bahkan kepada keselamatan negara.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan berkaitan program ini mengambil contoh tempat-tempat seperti Hong Kong, Beirut dan Santiago di mana anak muda mereka tiada pekerjaan mengakibatkan timbul keresahan sehingga menjerumuskan negara ke kancah konflik.

Jelasnya, inisiatif #MalaysiaKerja merupakan jawapan Malaysia kepada cabaran 

"Semua pihak punya peranan dalam mendepani cabaran disebabkan oleh pengangguran kerana jika dibiarkan, ia akan membarah dan menjejaskan setiap lapisan masyarakat."

"Dan ia memerlukan penyelesaian Malaysia, dan pasukan Malaysia untuk menyelesaikan masalah Malaysia ini," katanya.


*Disiarkan di Suara Keadilan 431

XTVT dibangun anak tempatan, mampu saingi produk asing



Mahu acara besar seperti Tahun Melawat Malaysia 2020 dimanfaatkan sepenuhnya rakyat negara ini, Bakhtiar meluahkan rasa bangganya dengan kelahiran aplikasi XTVT yang dibangunkan sepenuhnya anak tempatan.

XTVT merupakan aplikasi pelancongan bagi memudahkan pelancong mencari aktiviti-aktiviti menarik dan kawasan-kawasan tumpuan dalam negara.

Dibangunkan sekumpulan anak muda diketuai Abdul Muizz Mohammad Khuzaini yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CiEdge Adventure, aplikasi ini jelas Bakhtiar memenuhi hasrat kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan di negara ini, dan pada masa sama memberi peluang kepada anak tempatan beroleh manfaat daripadanya.

Menurutnya lagi, ia juga mampu jadi alternatif kepada kebanjiran produk-produk pelancongan asing seperti TripAdvisor, Trivago, Klook dan sebagainya yang hanya memanfaatkan syarikat pemiliknya yang beroperasi di luar negara.

"Kalau kita cukup kreatif dan ada keghairahan, kita boleh bangunkan produk kita sendiri," katanya, mengambil contoh Matahari Cycle Tours & Travel Sdn Bhd milik dua anak tempatan yang memanfaatkan minat berbasikal mereka untuk membangunkan produk berbasikal sambil bersiar-siar di sekitar Balik Pulau, Pulau Pinang.


*Disiarkan di Suara Keadilan 431


Negara tanpa budaya adalah negara yang kosong jiwanya - Bakhtiar


Oleh HAIZIR OTHMAN

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) kurang dua bulan dari sekarang, kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya punya tugas besar memastikan sasaran 30 juta pelancong asing tercapai. Namun apa yang lebih penting daripada itu adalah bagaimana acara besar ini dapat memberi manfaat kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia dari sudut pulangan ekonomi dan pembinaan imej negara yang baik di mata dunia. Bercakap kepada Suara Keadilan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menceritakan harapannya dengan penganjuran TMM2020 tahun depan. Ikuti wawancara eksklusif beliau dengan sub-editor, Haizir Othman dan jurugambar, Yuisriah Yusuf dengan Ahli Parlimen Balik Pulau ini di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

SK: Bagaimana persiapan TMM2020? Apa manfaat bakal rakyat perolehi daripada penganjurannya?

Bakhtiar: Pada bulan Julai lalu kita lancarkan logo, dan lancarkan lagu bulan selepas itu. Kita sasarkan seramai 30 juta orang pelancong asing dan RM100 bilion pendapatan pelancongan. Walaupun kita bermula agak lambat, tapi Tourism Malaysia sudah memulakan kempen sejak awal 2018 lagi, dengan mengadakan pameran di luar negara seperti di Arab Travel Mart, Berlin, World Travel Mart dan lain-lain. Kita bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta seperti Sharp yang berikan TV LED di pasar raya Harvey Norman untuk siarkan logo dan tempat-tempat menarik di Malaysia.

Dari segi persiapan rakyat, kita bukan sahaja untuk TMM2020. Kita perlu tunjuk keramahan kita terutama bagi mereka yang bekerja di sektor pelancongan seperti pemandu bas, pemandu pelancong, pekerja hotel dan mereka yang berinteraksi - front liner dengan senyum, ceria, eye contact dan sebagainya. Ini yang kita tawarkan latihan kepada pemain industri ini.

Kedua, akan ada banyak peluang dengan penganjuran acara-acara besar akan terpencar ke kawasan luar bandar. Penduduk boleh dapat manfaat daripada penyewaan inap-inap desa, perkhidmatan pemandu pelancong dan lain-lain. 

Sekarang kita ada platform, XTVT untuk mempromosi tempat-tempat "hidden gem" ini yang orang kurang tahu. Contohnya, jika kita mahu "caving" (jelajah gua) atau "diving" (menyelam dasar laut), aplikasi seperti TripAdvisor atau Klook cuma tunjuk dua-tiga tempat, tapi XTVT mampu tunjuk lebih banyak tempat menarik.

Yang menariknya, ia dibangunkan anak tempatan. Walau bagaimanapun kita masih mahu mereka bekerjasama dengan platform seperti TripAdvisor dan Klook yang lebih awal dalam pemasaran digital ini. Kita mahu mereka promosikan tempat-tempat menarik, makanan, gastronomi dan lain-lain.

Kita fokus kepada pelancongan budaya dan eko-pelancongan kali ini kerana kedua-duanya boleh beri manfaat kepada penduduk tempatan, berbanding promosikan tempat seperti KLCC, pasar raya, Pavillion dan sebagainya. Malah dalam kawasan bandar pun kita boleh tayangkan pertunjukan kebudayaan seperti dikir barat, boria, zapin dan lain-lain kerana inilah yang ingin dilihat oleh pelancong asing.

Perdana Menteri sebut TMM2020 sebagai misi nasional. Maka ia libatkan semua kementerian, agensi, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, termasuklah rakyat, harus main peranan. Bukan hanya terletak di bahu Tourism Malaysia.


SK: Kedatangan pelancong ke Malaysia catat peningkatan tapi walaupun begitu, industri perhotelan catat penurunan akibat terpaksa bersaing dengan AirBnb. Bagaimana kerajaan kawal fenomena baru ekonomi gig ini bagi memastikan nasib pekerja hotel tidak terjejas?

Bakhtiar: Dari data terakhir kita, ada kira-kira 55,000 pengusaha AirBnb. Syarikat ini tidak terletak di Malaysia (beroperasi di Amerika Syarikat - editor). Orang Malaysia yang guna perkhidmatan ini di Malaysia pun perlu bayar komisen kepada AirBnb. Dia untunglah dan tidak bayar cukai pelancongan kepada kita. 

Tapi, AirBnb ada berjumpa dengan kita beberapa kali. Kita ada MPC (Malaysia Productivity Corporation) dan Nexus Group yang objektif mereka adalah untuk kuatkuasa undang-undang "home-sharing economy". Pada masa sama kita perlu bekerjasama dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan PBT (pihak berkuasa tempatan). Sebenarnya kami hanya daftarkan hotel, tapi lesen dikeluarkan PBT. Tujuan pendaftaran hanya untuk penarafan bintang.

Kita perlu satu mekanisme bagaimana PBT mahu keluarkan lesen kepada pengusaha "home-sharing economy" ini dengan syarat-syarat tertentu kerana kediaman ini berkonsepkan komuniti. Fenomena AirBnb mengubah konsep ini apabila dalam satu komuniti, tiba-tiba ada satu-dua penghuni "asing", rupa-rupanya dia pengguna AirBnb. Jadi PBT perlu kuatkuasa undang-undang untuk mengawal.


Sesetengah PBT cukup proaktif, mereka tak benarkan AirBnb beroperasi. Sesetengah pula ambil tindakan jika ada aduan. Kita perlu tahu ada pembahagian zon iaitu zon kediaman dan zon komersil. Jika di zon komersil, apartmen-apartmen boleh menjalankan AirBnb tapi kalau di zon kediaman, tak boleh, kerana ia menyalahi Akta Pembangunan Bandar dan Desa, kadar bayaran cukai taksirannya pun lain.

Tapi sedikit masa lagi, kita akan kawal selia AirBnb melalui peruntukan undang-undang. Awal tahun depan kita harap dapat satu mekanisme. Bahagian Dasar Pelancongan dengan KPKT dan beberapa kementerian dalam Nexus Group akan laksanakannya.


SK: Bagaimana menyaingi AirBnb dan platform asing selain penguatkuasaan undang-undang?

Bakhtiar: Sekarang kita ada 4,300 pengusaha inap desa yang berdaftar dan berpengalaman, dengan 5,500 unit. Beza inap desa kami ialah mereka kena ada hos (tuan rumah) bukan biar kosong tak berjaga. Kita pergi ke kampung-kampung dan minta XTVT bantu promosikan inap desa ini, jadi kita tak perlukan platform asing lagi. Ini dapat elak pengaliran wang ke luar negara seperti yang berlaku jika pelancong guna AirBnb, atau TripAdvisor dan sebagainya.

Jadi, selain langkah penguatkuasaan, kita ada alternatif walaupun tidaklah secanggih platform asing, tapi kita perlu bersaing. XTVT ini walaupun baru dalam dua-tiga bulan, sudah ada 25,000 download (muat turun). Kita mahu kalau boleh, kita "kahwinkan" ia dengan AirBnb, Klook lewat kerjasama. 

Apa yang perlu dibuat XTVT ialah dapatkan lesen "ticketing" (proses permintaan) agar ia terus dapat komisen apabila pelancong memilih satu-satu lokasi. Kita sudah dapatkan hotel-hotel untuk bekerjasama dengan mereka, contohnya Hotel Impiana, penerbangan FireFlyz, dan lain-lain. Ini produk tempatan, kita masih mencuba tapi perlu ada alternatif. 

Pada masa sama, kita perlu ikut trend semasa juga. Misalnya, begini. Di Singapura, AirBnb tidak dibenarkan beroperasi walaupun syarikat itu bertapak di sana. Oleh itu kita kena cari jalan agar platform-platform pelancongan ini bertapak di Malaysia. Agoda bertapak di Bangkok, Traveloka di Indonesia, Booking.com juga di luar. Mungkin kita perlu satu insentif untuk tarik syarikat-syarikat ini datang ke Malaysia dan kita dapat keuntungan, dan kurangkan kadar pengeluaran wang negara.

Trend (resam) penempahan sekarang ini, 50 peratus dibuat atas platform digital. Pelancong asing, (FIT) "free independent traveler" yang datang ke Malaysia rata-rata belum buat keputusan mahu pergi ke mana. Hanya apabila tiba ke sini, baru buat keputusan. Sebab itu di lapangan terbang, di pintu masuk negara, kita letak platform pemasaran pelancongan ini. Di sinilah letaknya kepentingan platform seperti XTVT ini. Dari sini juga kita boleh dapat "big data" (data raya) kecenderungan pelancong dari negara tertentu untuk ke destinasi tertentu.

Data raya ini amat penting bagi melihat trend dan merancang pembangunan kawasan tertentu. "Profiling" (pemprofilan) pelancong dapat dibina melalui teknologi "facial recognition" (pengecaman wajah) malah di negara tertentu teknologi ini digunakan untuk mengesan kehadiran pengganas di lapangan terbang mereka. 


SK: Wujudkah konflik antara pelancongan dan seni budaya kerana kadangkala dalam menarik pelancong, warisan seni dan budaya penduduk tempatan dikorbankan. Contohnya, Jonker Street di Melaka yang dipenuhi elemen komersil sehingga menenggelamkan bangunan lama warisan. Komen YB?


Bakhtiar: Sebenarnya pelancongan dan seni budaya saling lengkap-melengkapi. Kerana pelancongan adalah promosi manakala seni budaya adalah produknya. Kalau kita cuma bangunkan pelancongan, mana produknya? Di sinilah pentingnya seni budaya. 

Dalam pelancongan ada "tourism dollar". Kalau ada permintaan untuk tonton dikir barat, atau mak yong misalnya, maka pelancongan boleh lestarikannya dengan beri pendapatan kepada para aktivis seni. 

Melaka dan Georgetown secara bersama diiktiraf Unesco sebagai "World Heritage Site" (Tapak Warisan Dunia) kerana memiliki nilai "outstanding universal value" (OUV) dengan kriteria tertentu seperti aktiviti, bangunan dan sebagainya yang dipelihara. 


"Facade" (muka bangunan) pun kita perlu pelihara termasuk pemilihan warna cat, cara bangun binaan baru dan sebagainya. 

Selagi OUV dipelihara kita tidak risau, tapi aktiviti kita tak boleh kawal sangat kerana ia berubah mengikut peredaran zaman. Di Georgetown, kita ada longkang yang tak boleh ditutup demi patuhi OUV Unesco. Begitu juga bangunan tidak boleh dibina melebihi 18 meter dalam zon Unesco dan zon penampan. 


SK: Apa kesan jika OUV ini dilanggar?

Bakhtiar: Jika ini dilanggar, Unesco boleh tarik balik status tersebut. Sebab itu ada negara seperti Singapura tak mahu ada status ini kerana mereka tak boleh buat apa-apa (pembangunan). Kita ada empat tapak Unesco; Georgetown, Melaka, Taman Kinabalu, Gua Mulu Sarawak, dan Lenggong.  

Unesco World Heritage Site ini duduki ranking paling tinggi. Selepas itu di bawahnya kita ada Unesco Geopark, seperti Langkawi. Selepas itu kita ada "Intangible Cultural Heritage" iaitu dondang sayang, dan makyong. Kemudian Disember ini kita tunggu keputusan untuk pantun. 

Sebenarnya banyak lagi seperti dikir barat, boria dan lain-lain. Ini semua bergantung kepada kuasa pengaruh dan lobi di peringkat antarabangsa. Sebab itu Singapura bawa "street food" mereka untuk dicalonkan ke Intangible Cultural Heritage bagi kategori Humanity. Walhal, kita barangkali lebih kaya dengan kepelbagaian makanan jalanan daripada mereka.

Kenapa kita kaya dengan budaya dan warisan? Sebab kita ada "diversity" (kepelbagaian) yang kaya dengan bangsa Melayu, Cina, India, Orang Asli Mah Meri, Sakai, Negrito. Di Sabah, Sarawak sahaja ada lebih 40 etnik dengan cara hidup, muzik, tarian, adat resam berbeza. 

Sebenarnya TMM ini bukan hanya untuk pelancong asing. Sepatutnya kita guna untuk orang tempatan bercuti di Malaysia berbanding melancong ke luar. Sekarang pelancongan bukan hanya "sight-seeing" (melihat-lihat) tapi memperolehi pengalaman. 


SK: Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 akan digantikan dengan Dasar Kebudayaan Negara tahun depan. Adakah perubahan ini akan jadikan kebudayaan sebagai peneraju kemajuan negara seperti dilakukan Korea?

Bakhtiar: Kenapa Korea berjaya ialah mereka bukan sahaja bangunkan teknologi tetapi juga kebudayaan mereka. Walaupun budaya mereka homogenous, berbanding kita yang rencam. Inilah cabaran kepada kita untuk bangunkan satu budaya dan jati diri atas nama Bangsa Malaysia. 

Dalam Dasar Kebudayaan Negara, salah satu objektif utama adalah bagaimana mengangkat isu ini. Bagaimana membina satu kebudayaan tinggi dalam jati diri Bangsa Malaysia. 

Dulu dalam DKK 1971, kita banyak tumpu kepada budaya Melayu. Tapi sekarang kita mahu lebih inklusif. Saya berjumpa para pemain industri di Sarawak, di mana mereka kata mereka sering dilupakan. 

Dalam Dasar Kebudayaan Negara, kita ada kerangka besar untuk kita bangunkan kebudayaan kita. Tapi secara realistiknya, kebudayaan selalu diletak nombor dua dalam kementerian sebab pelancongan dulu. Bajet pun sikit

Bagi saya kita kena bangunkan budaya kita walaupun ambil masa kerana tanpanya kita tiada jiwa. Ada sebuah sekolah di England, pelajarnya tidak berdisiplin sebelum mereka perkenalkan muzik sebagai salah satu mata pelajaran dan ko-kurikulum. 

Diringkaskan cerita, kadar ponteng sekolah menurun dan disiplin meningkat kerana ada pengisian jiwa. Jadi kalau negara yang tak ada seni budaya, itu adalah negara yang kosong jiwanya.

Ini yang penting dimasukkan dalam DKN. Juga perantisan. Bagi menangani hegemoni budaya asing. Sekarang skim perantisan dikendalikan JKKN di sekolah-sekolah seperti dengan pertandingan teater, seni tari, koir, muzik tradisional dan lain-lain bagi memastikan budaya kita tidak dilupakan sebaliknya diwarisi. Penggerak-penggerak seni kena pastikan generasi muda tahu budaya kita dengan pendekatan menarik dan berbeza.

Contohnya, di Pulau Pinang sudah ada gendang Cina dan tarian naga yang dimainkan orang Melayu dan India. Begitu juga ada Cina dan India yang menari zapin dan joget. Kita mahu asimilasikan benda ini. Penyatuan rakyat Malaysia boleh berlaku melalui seni dan budaya, seperti juga sukan. 

Sebab itu kita selalu perjuangkan untuk dapat peruntukan kewangan. Baru-baru ini, Kementerian Kewangan setuju menaikkan pengecualian cukai dari RM 700,000 kepada RM 1 juta bagi mana-mana syarikat yang ingin menaja program seni, budaya dan warisan.



*Disiarkan di Suara Keadilan 431