
Dalam roda kehidupan yang berputar-putar itu, aku kini barangkali berada di atas. Cukup tinggi, selamat, selesa dan tidak tersagat oleh jalan dan tersadung oleh tanah. Walaupun beberapa ketika sebelum itu aku berada di bawah, sangat sakit dan pedih, sehingga aku berasa seperti tidak boleh bangun lagi, kini aku telah bangun kembali dengan penuh lega, lapang dan gembira. Ya, keadaan antara dua peristiwa yang berlaku itu cukup kontradik, dan cukup rapat jarak masanya.
Segala puji bagi Allah Ta’ala yang telah mengurniai aku dengan seorang isteri yang sangat baik. Subhanallah! Hanya Allah yang tahu bagaimana gembiranya aku dengan anugerah yang sangat besar ini.
Makcik, ibu-ibu saudara dan kakak-kakakku kulihat hampir semua menangis seusai aku berjaya melafazkan akad nikah di depan imam. Pada mulanya aku tidak tahu. Semasa aku bersalam-salaman dengan semua orang, baru aku sedar yang Along turut menangis. Aku pasti semuanya teringatkan arwah ayah pada ketika itu, yang pergi mengadap Ilahi sebelum sempat melihat anak bongsunya bernikah. Benar, kegembiraanku petang itu juga sebenarnya bercampur-baur dengan kesedihan lantaran kehilangan ayahanda tercinta pada saat aku ingin sekali mencium tangannya yang kurus dan sejuk, memeluk bahunya yang kecil dan mengucup dahinya yang kasar. Aku benar-benar berasa kehilangan, walaupun pada hari itu aku memperoleh satu pemberian.
Satu perkara yang jelas terkandung dalam perkahwinanku ialah jasa dan budi yang ditabur oleh semua orang, yang sangat-sangat aku hargai dan tidak dapat aku balas. Semoga jasa kalian diganjari dengan pahala dan kebaikan oleh Allah Ta’ala hendaknya.
(Bersambung..)
No comments:
Post a Comment