Isteri saya memberitahu lewat henfon malam tadi bahawa ada beberapa orang guru di sekolahnya yang diarahkan menghadiri taklimat pilihanraya pada waktu persekolahan. Mereka yang terpilih ini akan bertugas sebagai petugas Suruhanjaya Pilihanraya, SPR pada Pilihanraya Umum, PRU yang akan diadakan entah tidak berapa lama lagi. Taklimat itu dijalankan bukan di tempat yang berdekatan dengan sekolah menyebabkan guru-guru tersebut tidak akan dapat menjalankan tugas mengajarnya pada hari itu. Maka terkorbanlah masa P&P (pengajaran dan pemelajaran) murid-murid yang terlibat pada hari itu untuk memberi laluan kepada guru-guru mereka ditaklimatkan oleh pihak SPR. Diberitahu kepada saya, guru-guru ini akan mendapat imbuhan RM 200.00 atas tugas-tugas yang akan mereka jalankan pada hari pilihanraya nanti.
Saya tertanya-tanya apakah kelebihan yang SPR perolehi sehingga ia berhak mengarahkan guru-guru Kementerian Pendidikan menjadi petugasnya juga mencuri waktu P&P murid-murid sekolah? SPR di bawah kementerian apa agaknya, ya? Dan mengapa guru sahaja yang sering dilibatkan (sebenarnya dipaksa) untuk tugasan-tugasan sebegini?
Di sudut lain, Kementerian Pendidikan sering sahaja digunakan (sebenarnya disalahgunakan) oleh pihak-pihak berkuasa tertentu untuk menjalankan agenda mereka dengan sewenang-wenang. Kita sudah terlalu kerap mendengar dewan sekolah dijadikan tempat mesyuarat sayap-sayap parti politik tertentu, murid-murid dan guru-guru dipaksa menghadiri program parti tertentu (kalau program kerajaan, saya tidak marah sangat, walaupun kadang-kadang marah juga), murid-murid ditaja untuk menjadi ahli Putera dan Puteri parti tertentu, padang sekolah digunakan untuk perlawanan bola sepak anjuran parti tertentu (malah bendera parti tertentu itu digantung megah di kawasan sekolah) dan pelbagai lagi salah guna yang berleluasa. Perkembangan ini sememangnya sangat tidak sihat tetapi masalahnya pihak tertentu itu langsung tidak berasa malu membuat perangai tidak sihat ini walaupun orang ramai sudah terlalu benci dan meluat dengan perangai “huduh” (sebenarnya “hodoh”, kesilapan itu disengajakan) mereka itu.
Maka, sempena PRU yang akan diadakan tidak lama lagi ini, saya mengajak anda semua tidak kiralah sama ada anda dibayar RM 200 untuk menjadi petugas apa-apa atau tidak, marilah kita sama-sama membuat perubahan dengan memilih “menggunakan pengangkutan awam daripada berkenderaan seorang diri” (sebenarnya ayat ini lain, tetapi sengaja diubah untuk menjadikan entri ini lebih mesra) demi masa depan negara yang lebih cerah.
2 comments:
walaupun saya sudah mendaftar pemilih, tapi masih belum tersenarai.
yapada SPR...
Cuba awak daftar putri. Mesti cepat je masuk senarai. Hi hi..
Post a Comment