Thursday, August 16, 2007

Sya'ban


Masuklah bulan Sya’ban pada hari semalam. Saya teringat ceramah ustaz Abdul Ghani Abd Rahman yang menyatakan setiap bulan dalam Islam itu terkandung di dalamnya peristiwa guna menjadi pengajaran dari Tuhan kepada manusia. Jika dalam bulan Rejab yang lalu kita dihidangkan dengan pengajaran lewat peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang cukup hebat; mengisahkan keagungan Allah Ta’ala Yang Maha Suci memperjalankan hamba-Nya, Baginda Rasulullah (selawat ke atasnya) dalam satu malam dari Masjidil Haram di kota Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, peristiwa yang menjadi titik kritikal dan pembeza antara orang-orang yang percaya dan beriman kepada Nabi dengan orang-orang yang mendustakan Baginda.

Sya’ban pula ialah bulan yang datang sebelum bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya difardhukan umat Islam berpuasa, juga bulan turunnya wahyu agung, Al-Quran. Melalui hadith-hadith antaranya yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah, kita dapat memahami bahawa Nabi Muhammad lebih banyak berpuasa sunat pada bulan Sya'ban ini berbanding bulan-bulan yang lain.

Tetapi, dengan perkembangan ilmu pengetahuan yang pesat melalui pelbagai saluran, yang menyebabkan lahirnya pelbagai sekolah pemikiran, yang rancu, kadang-kala kita akan menjadi keliru antara sunnah dengan bid’ah, menjadi takut-takut untuk beramal.

Perkembangan ini agak menggusarkan.



No comments: