Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru

Sekitar tahun 80-an dulu RTM ada menayangkan drama tentang kumpulan ajaran sesat yang dipimpin seorang ketuanya yang dipanggil Guru Yahya. Ratib “Guru Yahya, Guru Yahya..” menjadi popular selepas itu malah sehingga ke hari ini pun. Apapun, Guru Yahya bukanlah guru yang wajar kita ikut dan ucapkan “Selamat Hari Guru” kepadanya.

Guru-guru yang masih saya ingat kebanyakannya adalah guru-guru yang garang. Bagi saya, guru wajar garang. Tapi “garang” itu tidaklah pula mewajarkan kerusi dibaling ke dinding atau kepala murid diketuk dengan kasut bertumit tinggi. Garang itu hanya berkesan jika ia bertempat, diletakkan di ruang dan masa yang tepat. Garang itu, malangnya, tidak ada pada semua orang, tidak boleh dibuat-buat atau cuba dilakon-lakonkan. Saya pernah menjadi guru sandaran selama dua tahun dan selalu cuba menjadi garang. Tidak menjadi, selalunya. Maka saya mencuba pendekatan lain terhadap murid-murid saya pada waktu itu - bermain psikologi, untuk menangani mereka. Tetapi itu cerita lain yang tidak mahu saya panjangkan di sini.

Garang pada saya adalah satu kualiti yang jarang ada. Ganas, bengis bukanlah garang secara objektif. Garang itu…, entahlah! Ia terlihat sendiri secara lahiriah dan batiniah dari seorang guru yang garang. Menjadi garang adalah memilih untuk menjadi tidak popular. Guru garang mandapat hadiah yang kurang semasa Hari Guru berbanding guru tidak garang, lebih-lebih lagi guru tidak garang yang cantik jelita dan kacak bergaya. Dua tahun saya menyambut Hari Guru di sekolah sebagai guru, saya antara guru yang paling banyak mendapat hadiah dari murid-murid. Bukan kerana saya tidak garang tetapi kerana saya kacak bergaya. Ha! Ha! Ha!

Selamat Hari Guru kepada semua guru. Baik yang garang atau tidak.

No comments: