Duduk sahaja di depan kaunter sambil melihat orang lalu-lalang boleh sahaja menjadi kegiatan masa senggang yang paling membunuh pemikiran. Kecuali kamu menulis sesuatu di depan komputer secara curi-curi seperti yang sedang saya lakukan sekarang, tanpa kamu sedari, kamu sebenarnya sedang perlahan-lahan menjerumuskan diri kamu ke lembah kebosanan yang paling dalam dengan hanya memakukan punggung kamu ke kerusi sebegitu tanpa berbuat apa-apa atau berfikir apa-apa.
Di sini, pada julat masa tertentu, saya akan berkawan rapat dengan kebosanan dan pada julat masa yang lain, memusuhinya, kerana bercinta pula dengan kesibukan. Kebosanan dan kesibukan sudah menjadi seperti malam dan siang bagi saya, bergulir dan mengambil gilir untuk bercinta dan bermusuh dengan saya secara vice-versa. Mujurlah ia; bosan dan sibuk itu, tidak mempunyai perasaan seperti manusia. Jika ia punya, maka kami; iaitu saya, bosan dan sibuk itu, akan menghadapi kompleksiti jiwa setiap hari dan bakal menjadi gila dengan cepat.
Menjadi bosan pada satu masa dan menjadi sibuk pada masa yang lain dalam jarak masa yang relatif singkat dan berulang-ulang boleh jadi satu penyeksaan kecil buat kamu. Seeloknya kita punya masa tertentu untuk menjadi sibuk dan masa tertentu untuk menjadi bosan. (Ha! Ha!) Kalau kita sekejap bosan sekejap sibuk, perubahan "mode" yang kerap ini boleh membuatkan kita sendiri keliru, di kategori pekerja manakah kita berada; pekerja makan gaji buta atau pekerja contoh? (Ha! Ha! Ha!)
Saya ingin menambah beberapa baris lagi, tetapi saya juga ingin berhenti melalut lebih jauh.
No comments:
Post a Comment