Saya selesai membaca karya kedua Khaled Hosseini, A Thousand Splendid Suns selepas kira-kira tiga bulan agaknya. Bahasa Inggeris saya begitu dhaif. Saya bernasib malang tidak sempat belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti kanak-kanak sekarang, maka seperti bayi, saya terpaksa merangkak-rangkak menghabiskan novel setebal 400 muka surat itu.
Agak mengejutkan dan membanggakan juga apabila saya dapat membaca sebuah novel Inggeris setebal itu. Bolehlah saya berlagak kepada sesiapa bahawa saya telah membaca kesemua karya Khaled Hosseini. (Untuk nota, Khaled Hosseini setakat ini hanya ada dua novel. Yang pertama, The Kite Runner juga telah saya baca. Sila kagum kepada saya).
Secara jujur, banyak yang saya tidak faham pun apabila membaca novel ini sehingga ke muka surat terakhir. Terlalu banyak perkataan kompleks yang tidak mesra-saya. Ketidakfahaman saya terhadap perkataan-perkataan tertentu dalam novel ini mungkin telah menghalang saya daripada menikmati karya ini sepuas-puasnya seperti pembaca lain. Walaubagaimanapun, ini tidak menghalang saya daripada membuat ulasan buku seperti pembaca lain. Saya pun mahu merasa pengalaman mengulas buku juga.
Kelainan buku ini daripada buku-buku lain yang pernah saya baca (oh, bacaan saya tidak banyak maka perbandingan yang boleh dibuat mungkin tidak begitu ketara) ialah ia mempunyai dua sudut pandang dari dua watak utamanya. Mariam dan Laila, dan di penghujung-penghujung cerita, sudut pandang itu sangat kerap bertukar-tukar antara Mariam dengan Laila. Pertukaran kerap ini walaubagaimanapun tidak sampai mengganggu pembacaan bahkan menjadikannya bertambah menarik.
Permulaan pembacaan agak melelahkan untuk sampai ke pertengahan cerita tetapi apabila telah sampai, bacaan menjadi makin pantas seolah-olah mendapat tenaga baru. (Pantas-pantas pun, tiga bulan juga).
Buku ini menceritakan kehidupan wanita Afghanistan yang melalui zaman perang yang panjang dan berfasa-fasa. Bermula dengan perang Mujahidin Afghanistan menentang komunis Russia, kemudian perang saudara antara puak-puak Mujahidin yang bersengketa selepas Russia berundur, kemunculan golongan muda dari puak Taliban yang sepertinya mahu jadi penyelesai sengketa, dan akhirnya pengusiran Taliban ke kaki-kaki gunung oleh Pakatan Utara yang mendapat bantuan Amerika Syarikat, semuanya melukiskan wajah yang sama kepada mereka, wanita Afghan: sengsara. Dan perang yang mereka lalui itu, ironisnya, lebih sengit dan lebih sengsara di dalam rumah mereka sendiri berbanding di luar. Pegawai-pegawai Taliban yang bermuka ganas di luar sebagai contoh tidak lebih ditakuti oleh Mariam berbanding suaminya sendiri, Rasheed.
Tetapi perang yang paling sengit tidak akan menumpaskan kasih-sayang antara manusia melainkan menjadikan ia semakin kuat. Begitulah yang berlaku kepada Mariam dan Laila, ikatan kasih-sayang antara mereka bertambah kuat sekuat sengketa peperangan itu sendiri.
Kelahiran anak Laila, Aziza menambahkan kasih-sayang sesama mereka dan sedikit demi sedikit kisah silam Laila turut terjengah. Tetapi kelahiran Zalmai lebih derita apabila disebabkan tiada hospital untuk wanita yang mampu beroperasi dengan sempurna di bawah rejim Taliban, Laila terpaksa dipotong dan dijahit hidup-hidup untuk melahirkan anak keduanya itu.
Satu babak yang menarik ialah apabila Taliban mula berkuasa di Afghanistan, rejim itu serta-merta mewartakan satu dikri panjang kepada semua. Dalam dikri itu, arahan larangan ternyata lebih banyak dan lebih panjang daripada yang lain-lain. Antaranya ialah larangan menyanyi, menari, bermain kad, catur dan layang-layang, menulis buku, menonton filem dan melukis gambar. Senarai larangan untuk wanita lebih panjang. Selain larangan keluar rumah tanpa mahram, mereka diwajibkan berburqa, dilarang bersolek, berbarang kemas, berpakaian menarik perhatian, bercakap kecuali diminta, melihat mata lelaki, ketawa di khalayak umum dan mewarna kuku. Lebih malang, mereka dilarang ke sekolah dan bekerja. Semua sekolah perempuan akan ditutup.
Sewaktu arahan ini berkuatkuasa, Laila menggali satu lubang besar dan menanam televisyennya yang dibungkus dengan plastik ke dalam tanah. Harapannya satu masa nanti keadaan akan menjadi lebih terbuka dan peti TVnya boleh dikeluarkan semula. Pada satu malam Laila bermimpi dia dan Mariam menggali satu lagi lubang besar tanpa pengetahuan sesiapa. Kali ini yang ditanam bukanlah televisyen atau barang-barang lain, tetapi Laila, anak perempuannya sendiri. Dia berjanji kepada Laila apabila suasana telah menjadi kembali aman, dia akan mengeluarkannya semula.
Sejarah getir Afghanistan selama tiga puluh tahun diceritakan dengan penuh perasaan dalam buku ini melalui pelukisan watak-wataknya, Mariam dan Laila. Sebab itulah di kulit belakang buku ini tertera ulasan “Hanya hati yang paling keras yang akan gagal digerakkan (oleh buku ini)”. Seperti dalam The Kite Runner, Khaled Hosseini terlalu banyak bermain emosi secara terlalu halus, tidak ketara dan memasukkan ironis dalam karya ini. Pembaca yang tidak lancar bahasa Inggeris seperti saya pun masih mampu digerakkan apatah lagi jika anda sejak dari rahim ibu sudah bercakap Inggeris, maka barang tentu anda akan mampu digerakkan lebih jauh oleh buku ini, mungkin sehingga ke Afghanistan.
2 comments:
nk pinjam ye nnti:)
Kejap, kejap! Aaa...., Lina!
Op! Alin, Alin!
Post a Comment