Monday, December 15, 2008

Bahasa Bangkit Dari Kubur

Sewaktu negara haram Israel dibina dahulu, mereka membincangkan bahasa apakah yang mahu mereka jadikan sebagai bahasa kebangsaan negara mereka. Bangsa Yahudi pada waktu itu bercempera di serata dunia. Mereka ada di Perancis, Amerika, Jerman, Arab Saudi dan di mana-mana sahaja. Apabila Israel dilahirkan dari rahim Deklarasi Balfour orang-orang Yahudi berbondong-bondong datang menghuni negara yang baru mereka peroleh, hasil daripada pemerdayaan mereka terhadap Palestin dan sokongan negara-negera kuasa besar dunia. Mereka mencari satu bahasa negara yang boleh dijadikan sebagai satu lambang, simbol, identiti yang mewakili keberadaan mereka di dalam muka dunia.

Timbullah beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan bahasa Inggeris. Ada yang mencadangkan bahasa Jerman. Ada yang mencadangkan bahasa entah apa lagi. Setiap daripada mereka punya hujah yang tersendiri. Tetapi pada akhirnya, mereka memilih satu bahasa yang sudah pupus sejak seribu tahun lalu sebagai bahasa kebangsaan mereka. Bahasa yang sudah tidak ditutur orang, yang sudah tidak diketahui lagi rupa bentuknya, tulisannya, sistemnya, sebutannya, huruf dan ejaannya. Bahasa yang hanya diketahui pernah wujud dalam catatan sejarah tetapi sudah tidak dapat dibaca lagi. Mereka memilih bahasa Hebrew, bahasa akar bangsa Yahudi sejak kewujudan mereka di dalam dunia ini.

Untuk itu, mereka terpaksa bermula daripada kosong, membina semula bahasa itu dengan menggali segala khazanah sejarah yang mereka ada, mencari material-material yang perlu, guna memberi nyawa kepada bahasa yang telah mati itu. Demi maruah dan kehormatan, mereka sanggup memilih jalan semustahil mana pun, walau terpaksa menghidupkan semula dinosaur. Hari ini, dalam tempoh tidak sampai seratus tahun, Hebrew telah bangkit dari kubur; hidup kembali dan bertumbuh dewasa walau pernah mati sekali seribu tahun yang lampau, seperti Steven Spielberg menghidupkan semula T-Rex dalam Jurassic Park agar binatang itu boleh mengganas semula di muka bumi.

Selepas beberapa tahun, kita perlu bersedia. Pada satu hari nanti, Sains dan Matematik kita mungkin mahu diajar dalam bahasa Hebrew.

No comments: