
Meletakkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang ada pada hari ini bukanlah satu kerja yang memakan masa sehari dua. Selepas Bahasa Melayu dilemahkan pada zaman penjajahan, kita berpeluang menguatkannya semula selepas merdeka. Pemimpin-pemimpin kita pada masa itu, antaranya Tun Abdul Razak berusaha sedaya-upaya menyediakan landasan kepada Bahasa Melayu agar mampu merangkak, bertatih, berjalan dan berlari pantas pada satu hari nanti di dalam negara sendiri. Kita tidak punya apa yang dinamakan sebagai “bahasa kebangsaan” dan “bahasa rasmi” sebelum merdeka. Hanya selepas merdeka, melalui proses yang panjang, antaranya persepakatan politik antara kaum-kaum lewat kontrak sosial, Bahasa Melayu diiktiraf menjadi bahasa kebangsaan, dipaterikan dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia.
Bagi negara yang baru merdeka, kita memerlukan satu bahasa kebangsaan sebagai satu identiti negara. Bahasa ini juga akan menjadi faktor pemersatu, menjadi elemen penting perpaduan rakyat. Berbanding elemen-elemen lain seperti agama dan kebudayaan, bahasa lebih mudah diterima sebagai faktor pemersatu dan kurang tebal sensitivitinya. Ah, ada sahaja negara-negara yang baru merdeka yang tidak mengambil bahasa yang datang dari lingkungan wilayahnya sebagai bahasa rasmi sebaliknya langsung mengambil bahasa turunan penjajah untuk “dibahasa kebangsaankan”. Tetapi, kita tidak. Selepas dijajah selama lebih empat ratus tahun, kita tidak lupa kepada bahasa akar kita, Bahasa Melayu walaupun lidah kita semakin petah berbahasa Inggeris lantaran dilentur British sejak sekian lama.
Selepas terpateri sebagai bahasa kebangsaan, perjalanan Bahasa Melayu tidak terus menjadi mudah. Ia baru diprestijkan, tetapi belum diinstitusi dan dibudayakan. Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 bertanggungjawab mengangkat Bahasa Melayu perlahan-lahan ke papan-papan hitam sekolah dan meja-meja pejabat kerajaan. Sedikit demi sedikit bahasa Inggeris mengengsot ke tepi. Dari tahun 1957 hingga 1970-an, proses peralihan ini berjalan perlahan-lahan. Bahasa Melayu baru hendak merangkak memanjat sistem pentadbiran negara, yang baru menghirup udara segar sebagai sebuah negara yang tidak lagi dijajah orang.
Dari tahun ke tahun, Bahasa Melayu diberi peluang berjalan sehingga hampir-hampir sudah pandai berlari pantas. Sehinggalah Tun Dr. Mahathir sudah berasa tidak sabar mahu meletakkan Malaysia semaju negara maju sebelum tarikh akhir 2020, lalu tanpa pertimbangan wajar telah memotong kaki Bahasa Melayu yang tidak pun sakit kencing manis dengan pembedahan yang dinamakan PPSMI. Bahasa Melayu bagi Tun melambatkan proses kemajuan Malaysia. Kita mahu cepat. Tidak boleh berjalan kaki. Kena naik Concorde, atau Soyuz.
Nama Tun walaupun mekar dalam sejarah kemajuan negara, akan dibenci dan ditohmah pencinta bahasa sepanjang zaman akibat tindakannya yang satu ini. Tindakan zalimnya meletakkan Bahasa Melayu di lereng peradaban mungkin boleh menjadi sebab bahasa yang sudah berusia ribuan tahun ini pupus, tidak ditutur orang lagi beberapa tahun mendatang. Tetapi sebelum ia pupus, kesan-kesan akibat kehancuran bahasa itu akan lebih dahulu kita rasai. Antaranya, lantaran peranan yang dimainkan bahasa sebagai faktor pemersatu, kehancurannya terlebih dahulu boleh menjadi sebab kehancuran perpaduan yang telah kita bina dengan susah-payah sejak sekian lama.
No comments:
Post a Comment