Friday, March 06, 2009

Sampai Syurga

Dalam gerabak kereta api pada waktu puncak, pada waktu kamu berasa tidak selesa untuk berbuat apa sahaja melainkan diam membatu, hari telah senja udara jadi lembap dan kamu dapat menghidu bau masam dari peluh yang melekat di badan orang sebelah yang jaraknya dari kamu tak sampai satu kuku, penyaman udara bagaikan malu untuk berfungsi selain gegar-goyang kereta api seperti kamu menaiki kapal laut sahaja maka kamu perlu kuat menahan diri daripada jatuh dengan menekan tiang yang dapat kamu capai hanya dengan dua jari –

...............................

Pada waktu itu bagi kamu, dapat sampai cepat ke rumah adalah syurga.

Kamu tidak mahu mengeluh. Kamu tidak mahu bising-bising. Mental kamu telah penat, kamu tidak mahu memenatkan sisi diri kamu yang lain. Kamu akan terus menjalani hari-hari dengan menaiki kereta api. Tambang letak kereta di Stesen KTMB Klang telah naik daripada dua ringgit kepada tiga ringgit. Kamu masih tidak mahu mengeluh. Kadangkala apabila penjaga tempat letak kereta terlelap, kamu cepat-cepat masuk diam-diam. Sekurang-kurangnya untuk hari itu, kamu telah dapat jimat tiga ringgit. Dan kamu ada taktik lain untuk berjimat yang tidak mahu kamu tuliskan di sini.

Pada waktu itu, kamu berharap kamu memiliki kereta api sendiri.

No comments: