Wednesday, March 11, 2009

7 Mac 2009

Sewaktu para pejuang bahasa sedang basah disiram air gatal dan perit ditembak gas pemedih mata, saya hanya mampu duduk di pejabat di depan komputer mencari kalau-kalau ada liputan secara langsung apa yang sedang berlaku di sekitar Masjid Negara, Sogo sehingga ke Istana Negara. Saya cuba Malaysiakini yang sering terkedepan dalam membuat liputan berita. Tiada.

Maka duduklah saya di situ mengenang nasib diri yang terpaksa bekerja pada waktu sejarah sedang dilakar di kanvas negara, dilakar dengan darah dan air mata panglima-panglima bahasa.

PPSMI selain menjadi polemik, isu (dan mungkin selepas ini, krisis), ia menjadi pembeza antara dua golongan yang mempunyai dua sekolah pemikiran yang berbeza. Penyokongnya sama ada mempunyai krisis keyakinan terhadap bahasa sendiri, berjiwa kecil lantaran minda terjajah oleh dunia globalisasi, tidak memahami tuntutan sebenar gerakan anti-PPSMI, berniat tidak baik terhadap bahasa Melayu, mempunyai kepentingan peribadi yang tidak sanggup digadaikan jika PPSMI dimansuhkan, atau sengaja memilih bebal tidak mahu membaca keresahan bangsa yang prihatin terhadap negaranya sendiri.

Penentangnya pula, sama ada pedih mata ditembak gas, perit tekak, muntah, tetapi puas hati, berasa penuh jiwanya, berasa satu semangat solidariti yang tinggi berkumpul bersama rakan-rakan seperjuangan, atau seperti saya yang hanya mampu melihat dari jauh, berasa malu sendiri dan kecewa kerana tidak dapat ke ke sana, ikut berjuang bersama-sama.

No comments: