Cikgu Rima tulis tentang BTN. Saya lalu teringat nak cerita tentang subjek yang sama. Tentang pengalaman BTN saya dulu pada tahun 1998.
Kami para peserta datang dari sekolah-sekolah dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Selepas BTN selama lima hari itu, kami akan ke program Perkampungan Menara Gading pula yang dianjurkan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa, untuk lima hari lagi. Antara yang ikut sama berkursus dengan kami pada waktu itu adalah Abdullah Abdul Karim, kini kalau tak silap saya, Ketua Pemuda PAS Pahang.
Kalaulah matlamat BTN itu salah satunya untuk mengindoktrinasi kami dengan fahaman pro-pemerintah, saya rasa program itu gagal teruk, terutama dalam ruang lingkup kursus yang saya hadiri itu. Rata-rata kami, berusia sekitar 17-18 tahun waktu itu sama sekali tidak terpesona dengan agenda tersebut lewat kisah-kisah yang mereka sampaikan. Saya masih ingat, Prof. Dr. Sidek Baba diasak teruk dengan soalan-soalan kami usai ceramahnya yang panjang, antaranya oleh Abdullah yang petah bercakap itu.
Penceramah-pencaramah yang lain tidak terlepas dari soalan-soalan maut kami. Barangkali mereka ingin “menyekolahkan” kami kerana berfikir kami budak sekolah, tetapi saya takut mereka pula yang “tersekolah”. Kami pada waktu itu muda, darah panas, pantang diperbudak dan kaya retorik.
Selain dari itu, kami tidak kisah ber-LDK, kembara, abseiling, didenda pumping atau membawa telur ayam ke mana sahaja.
Sebab itu saya fikir buatlah LDK banyak mana pun, ia hanya mampu memerangkap minda yang lemah dan tidak mahu berfikir panjang. Walaubagaimanapun, saya tidak marah jika kerajaan negeri Selangor mahu mengharamkan BTN untuk kakitangan di bawahnya. Boleh jimat duit kerajaan Persekutuan juga.
Yang saya marah ialah menjadikan BTN sebagai syarat untuk kenaikan gaji atau pangkat kakitangan kerajaan Persekutuan walaupun dah lulus PTK. Ini bagi saya, zalim. Pemaksaan. Kalau tak mampu menang berhujah, jangan guna kuasa pemerintahan yang ada. Bagi para penentang BTN selapas ia menjadi polemik, saya fikir mereka perlu menggunakan hujah ini berbanding mengatakan BTN itu "cuci otak".
2 comments:
pernah tertanya, "demokrasikah ini?"
Zuraima, demokrasi la kot.
Post a Comment