Wednesday, December 02, 2009

Aishah Kahwin

Ahad lalu, 29 November 2009 bersamaan 12 Dzulhijjah 1430 Hijrah selamatlah anak saudara saya, Aishah Zainal melangsungkan pernikahannya dengan jejaka pilihan hati, Aidil. Aidil telah saya kenali secara peribadi sewaktu saya duduk menumpang di rumah Kak Lang saya, Habibah (ibu Aishah) semasa saya bujang dulu. Boleh saya katakan dia seorang anak muda yang baik. Ke surau setiap waktu solat. Selalu juga kadang-kala terdengar suaranya membaca Al-Quran. Rumah Aidil sebelah sahaja dengan rumah Kak Lang. Petang-petang, kadang-kadang kami berbual kosong jika masing-masing sudah balik kerja. Dulu kami ber “kau-aku” sahaja. Sekarang, sejak dua hari lepas, dia memanggil saya “Pak Busu”. Hahaha.

Majlis di rumah Kak Lang, Alhamdulillah berjalan sangat lancar. Cuaca diizinkan Tuhan untuk menyebelahi kami. Lauk-pauk lumayan sangat sedap. Kredit perlu diberi kepada Makcik Som yang dibawa khas dari Kesang untuk majlis ini, selain ibu saya sendiri, Ramlah, Mak Ngah Sa’abah dan lain-lain. Urusan kemas meja, basuh pinggan mangkuk, ganti lauk juga licin. Boleh dikatakan tiada komplen. Cuma, apabila lagu-lagu pop dimainkan, saya agak tidak senang.

Makcik Som dan Makcik sedang masak daging masak asam.


Ada beberapa perkara berlaku semasa majlis tempoh hari:

1) Hilmi, anak bang Hashim, jatuh longkang besar sewaktu cuba melompat ke seberang menghantar dua gelas kaca untuk dibasuh. Alhamdulillah, tiada sebarang luka. Cuma, lengannya sedikit calar dan pakaiannya habis kotor terkena air longkang hitam. Saya mengeluarkannya dari longkang. Dia memberitahu Umminya, “Pak Busu penyelamat”.

Hilmi (kanan), "senyap-sunyi" setelah jatuh longkang. Baju gelobos yang dipakainya adalah kepunyaan Kak Chik.


2) Sebaliknya, abang Hilmi, Husni pula yang luka di jarinya akibat terkena gelas kaca yang pecah. Husni sedang mencuci gelas yang direndam dalam besen. Tanpa pengetahuannya, dalam besen tersebut ada gelas yang pecah. Jarinya kemudian ditampal dengan Plaster sahaja.

3) Yang lebih sadis ialah Ibrahim yang jatuh dari atas tilam yang ditegakkan Hilmi di dalam rumah (apabila majlis telah berakhir). Mereka bermain di bilik atas rumah Kak Lang. Dahinya pecah. Babahnya, bang Yahaya, kemudian membawanya ke klinik dan lukanya ditampal. Tetapi, sebelum itu darah dari lukanya telah hampir membuatkan jantung kami berhenti.

4) Bakal suami Kak Iza, Junaidi turut datang dari Kuala Selangor, membawa bersama anak saudaranya yang comel.

Junaidi menunjukkan isyarat "bagus". Makcik memanggilnya "Didi".


5) Buat pertama kali, saya menyiang ikan keli. Bersama-sama Hairol, Bang Zahari dan Bang Chik, kami berpanas di luar rumah. Ikan keli sungguh liat nyawanya. Walaupun isi perut sudah keluar, masih mampu mengeletis.

Menyiang di siang hari, memalam di malam hari.


6) Semua orang barangkali tidak dapat menandingi ketenangan bang Zainal, ayah Aisyah. Sewaktu semua risau dengan bermacam-macam perkara yang belum selesai sebelum majlis terutama rumah yang belum siap, bang Zainal begitu tenang dan langsung tidak tertekan.

Sewaktu sedang "kerja bahaya" cuci cermin tingkap yang baru sampai.


7) Hujan turun gerimis pada awal pagi sebelum majlis makan bermula, berhenti kira-kira orang sudah mula datang, dan turun lebat selepas majlis selesai kira-kira selepas cabutan bertuah.

Dua dah lepas, enam lagi!


8) Sewaktu Kak Lang dan bang Zainal terutamanya, sedang sibuk melayan tetamu, Makcik mengambil kesempatan menjemput mereka terutama saudara-mara dan yang datang dari Melaka untuk hadir ke majlis pernikahan Kak Izah pula pada 19 Disember nanti di Kesang Tua.

9) Kipas di khemah pengantin tidak berfungsi semasa majlis makan beradat. Mujur ada kipas besar (walaupun bunnyinya bising). Berlari saya ke kedai Acheh membeli extension plug.

Bersyukur..


10) Pengantin berjalan terlalu laju (tak macam pengantin) sewaktu berjalan menuju ke khemah. Tak tahu sama ada sebab sudah lapar atau terlalu gementar.



Team Cuci Pinggan feat. Aminah. (Rose among the thorns)


Team Bunga Telur.


Okey, kalau ada perkara-perkara yang dirasakan menarik, sila tambah di ruangan komen. :)

Bang Zainal dan cucunya, Akmal.


4 comments:

zuraima said...

tahniah buat pengantin baru. jodohnya dengan orang dekat-dekat juga ya. hehe =)

Haizir said...

Zuraima, terima kasih. Saya dapat anak buah baru.

Anonymous said...

Pak Busu,

Terima Kasih atas gambar dan berita yang sensasi....Ternyata anak Pak Chim la hero hari tu..siap 2 orang sekaligus....

Memang pening kepala bila semua orang sibuk tanya macamana boleh jatuh cinta dengan jiran sebelah...Bukan setakat sedara je pelik, semua jiran lama (Kampung Tepi Sungai)pun macam tak percaya...
Tapi, apapun, Tuhan yang menentukan jodoh seseorang...

Satu lagi, tentang ketenangan Ayah (Bang Zainal) tu memang 120% betul....Ayah punya tahap tawakal tu memang tak ditandingi....Orang lain tengah panik, dia masih boleh gelak2 lagi...Tu yang Mak pening kepala lebih sebab masalah ayah tu,mak yang tolong fikirkan sekali...:-P

Rumusan, saya amat berterima kasih kepada semua ahli keluarga Othman dan Bujang yang bertungkus lumus bagi membantu perjalanan majlis kenduri kahwin Aishah & Aidil pada 29/11/2009.Jasa kalian semua tak akan dilupakan...:-)

Aishah Dan Aidil

Haizir said...

Oo.., Aishah dah komen rupanya. Terima kasih. Selamat Pengantin Baru.