Tuesday, March 09, 2010

Laporan Program Dialog Orang Muda (DOM)

Rumah Pena yang saban waktu menjadi medan bicara pelbagai isu sastera dan seputarnya sekali lagi menjalankan “tugasnya” pada 6 Mac lalu apabila satu lagi acara diskusi ilmiah dijalankan di situ. Dialog Orang Muda (DOM) adalah acara pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh Sekretariat Perhimpunan Penulis Muda menjelang acara Perhimpunan Penulis Muda (PPM) tahun depan. Menurut hebahan acara tersebut dalam laman web sosial Facebook, penggeraknya, Mohd Nazmi Yaakub menjelaskan bahawa DOM adalah satu daripada acara yang dilakukan sekretariat tersebut sebagai persediaan menghadapi program PPM. Acara DOM pada pagi itu membariskan tiga orang ahli panel iaitu Mohamad Ali Atan, Ariff Mohamad dan Jimadie Shah Othman. Moderatornya ialah Muhammad Lutfi Ishak. Tajuk yang dipilih untuk siri pertama DOM pada pagi itu ialah “Kebebasan: Penulis Tercekik?”

Dari kiri: Ariff Mohamad, Mohd. Ali Atan, Muhammad Lutfi Ishak, Jimadie Shah Othman. (Gambar diambil dari Facebook Nazmi Yaakub.)


Ali Atan dalam pembentangan hujahnya memetik ungkapan SM Zakir, “Manusia Unggul” yang juga disebut sebagai “Over Man” dan “Super Man” di Barat. Satu ciri “Manusia Unggul” ialah mengenal diri. Proses mengenal diri ini malah dilalui oleh Nietzsche, seorang tokoh pemikir Jerman yang terkenal. Nietzsche pada asalnya adalah seorang penganut Injil yang taat bertukar atheis selepas pengasingan dirinya selama sepuluh tahun di Pergunungan Alps. Selama itu, beliau mendapati perjalanan manusia dalam kehidupan itu perlu melalui satu proses lonjakan diri setinggi-tingginya sehingga mencapai satu tahap menemui dosa-dosa dalam diri. Di sinilah bermulanya perubahan nilai dalam diri Nietzsche apabila beliau berpremis untuk menghapuskan dosa, maka perlu menghapuskan Tuhan. Ungkapan popularnya, “Tuhan sudah mati” adalah lambang kegagalan pemikirannya bahkan hidupnya apabila beliau mati dalam pegangan salahnya itu dan mengalami gangguan jiwa.

Proses mengenal diri yang menjadi ciri Manusia Unggul itu walaubagaimanapun bukanlah seperti mana yang dilalui Nietzsche. Menurut Ali Atan, mengenal diri bukannya bermaksud memusatkan diri tetapi menafikan diri. Ini terkandung dalam ilmu tasauf dalam pemahaman terhadap makna kalimah “La” dalam kalimah “La Ilaha Illallah”. Tujuan kebebasan tambah Ali, adalah untuk mencari kebenaran, sementelah ia adalah fitrah manusia. Ali turut menyentuh pandangan Syed Naquib Al-Attas tentang sesebuah karya. Naquib, menurut Ali, menyatakan bahawa sesebuah karya iu tidak sepatutnya menimbulkan syaqawah (resah gelisah) kepada orang yang membacanya, malah sebaliknya ia perlu menimbulkan sa’adah (ketenangan).

Sebagai pengamal media, Jimadie menyentuh kebebasan dari perspektif itu. Kebebasan menurut media lewat iklan-iklan televisyen dan internet digambarkan sebagai merokok, minum minuman beralkohol dan pergaulan bebas. Pemaparan berulang-ulang kali sebegini seolah-olah mahu menunjukkan bahawa budaya tersebutlah bebas dan mewakili kebebasan. Penyataan ini kemudiannya disentuh oleh Ali Atan sebagai satu penyimpangan dan bertentangan sama sekali dengan kebebasan yang terdapat dalam Islam. Ali Atan menambah, konsep pengabdian diri kepada Allah dalam Islam itu malah adalah kebebasan yang mutlak dan muktamad, sedangkan Baratlah yang memenjara manusia melalui nama kebebasan yang mereka momokkan.

Secara sinis, Jimadie menaruh rasa syak kepada golongan penulis : adakah mereka sudah yakin dengan kebebasan. Beliau menyebut kebebasan itu dijamin Perlembagaan Persekutuan dan kecuali melalui beberapa kongkongan, penulis sebenarnya bebas menulis dengan syarat mereka mampu mengungkapkan kebebasan itu dalam konteks yang lebih luas. Kongkongan-kongkongan yang dimaksudkan Jimadie itu disebut sebagai penapisan, undang-undang dan kawalan. Penapisan adalah langkah tidak menyiarkan tulisan seseorang penulis. Undang-undang pula berbentuk akta-akta yang boleh mendakwa penulis seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak dan sebagainya. Manakala kawalan adalah langkah membantut atau menggendala aktiviti penulisan seseorang penulis menerusi gangguan berbentuk ancaman, psikologi dan lain-lain. Kebiasaannya, langkah kawalan berbentuk gangguan ini dilakukan oleh anggota polis Cawangan Khas.

Ahli panel seterusnya, Ariff Mohamad, seorang pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula mengatakan bahawa penulis itu sememangnya bebas. Beliau meminta penulis agar jangan menyalahkan sesiapa jika sesuatu karya tidak tersiar, sebaliknya melihat ke dalam karyanya sendiri adakah ia mematuhi konteks, budaya, agama dan sosial sesebuah masyarakat yang dihuninya. Penulis menurut Ariff, perlu kreatif dalam menangani halangan-halangan yang boleh menyebabkan karya mereka tidak tersiar.

Sebahagian khalayak yang hadir. (Gambar diambil dari Facebook Nazmi Yaakub.)


Moderator dialog, Lutfi Ishak kemudiannya menyerahkan kepada khalayak untuk menghadam inti pati hujah yang diberikan ahli-ahli panel. Beliau membuka perbincangan dengan satu pertanyaan terhadap satu isu yang berlaku baru-baru ini apabila satu pementasan teater arahan Nam Ron bertajuk “Tanda” dihentikan pementasannya di Aswara selepas hari ketiga. Lutfi menimbulkan persoalan adakah pemberhentian pementasan teater itu bersangkut aspek kebebasan, birokrasi atau moral?

Saleeh Rahamad menyahut pertanyaan Lutfi dengan memberikan empat faktor yang perlu diambil kira sebelum mempersembahkan karya iaitu: medium, subjek, persekitaran dan nilai. Sesuatu yang dianggap taboo dalam sesebuah masyarakat terkandung dalam nilai yang dianuti masyarakat tersebut. Maka, jika nilai itu dilanggar, pelanggar tersebut akan dihukum masyarakat empunya nilai tersebut. Undang-undang tidak rasmi ini telah disebut Emile Durkheim dalam tesis solidariti organik dan solidariti mekanikalnya.

Shamsudin Othman kemudiannya turut menyumbang buah fikiran dengan memberi dua penyataan. Penyataan pertamanya ialah “kebebasan ada pada setiap penulis, kecuali penulis yang diupah (ghost writer).” Kedua : Tuhan beri kita kebebasan untuk memilih syurga atau neraka. Terpulang kepada seseorang penulis itu untuk menggerakkan pena dan penulisannya ke arah dua pilihan tersebut.

Penyataan kedua Shamsudin itu walaubagaimanapun diberi respon pembetulan oleh Lutfi dengan menjelaskan bahawa “kebebasan” itu sangat berkait dengan perkataan Arab ikhtiyaar yang berakar dari perkataan khair yang bermaksud “memillih yang baik”. Tiada sebenarnya pilihan untuk memilih kejahatan kerana jika itu berlaku (iaitu memilih jahat), pelakuan itu adalah zalim.

Pandangan seterusnya datang dari Fadhli Al-Akiti sebagai memberi respon terhadap isu teater Nam Ron. Menurut Fadhli, dalam tradisi dan budaya teater Barat, apa yang paling dipentingkan ialah reaksi. Maka, apabila Nam Ron memaparkan adegan seks dalam pementasannya dan mengundang reaksi besar khalayak, itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan dalam konteks dan perspektif Barat. Cuma, apabila ia dipersembahkan di masyarakat ini, ia perlu berdepan dan bertembung dengan aliran dari school of thought yang berbeza.

Program DOM itu kemudiannya menjadi semakin hangat menjelang tengah hari dengan pertambahan bahang hawa dan pandangan-pandangan berbara peserta dialog. Antara khalayak yang turut memberi kata-kata permata mereka termasuklah Puan Ainon Muhammad dari penerbitan PTS, Razali Endun, Azelan Hussain (Sinaganaga) dari Sindiket Sol-jah, Hazwin dari UPSI dan lain-lain lagi. Jika mahu dikatakan program tersebut berjaya, bolehlah dikatakan ia berjaya menarik bilangan khalayak yang relatif besar dalam konteks program-program bicara sastera. Persediaan pro-aktif Sekretariat PPM dan Pena menyiapkan program ini untuk menghadapi PPM beberapa bulan lagi wajar dipuji. Selain itu, ia menjadi manfaat kepada para peserta dialog lain yang dapat mengutip ilmu dan pengalaman berguna guna menyiapkan diri menjadi penulis dan sebagai hamba kepada-Nya.

No comments: