
Judul : Gadis Oren
Judul asal : Appelsinpiken
Pengarang : Jostein Gaarder
Penterjemah : Zaitul Azma Zainon Hamzah
Penerbit : Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur
Tahun : 2009
Bilangan halaman : 178 muka surat
Harga : RM 20.00
ISBN : 9789830683997
Ulasan :
Sewaktu Georg Roed mengetahui pemergian ayahnya buat selama-lamanya sebelas tahun lalu hanya untuk meninggalkan sepucuk surat panjang yang penuh misteri kepadanya, hidup Georg barangkali sudah berubah, atau sekurang-kurangnya mendapat perspektif baru yang lebih segar daripada dulu. Helaian-helaian surat dari Jan Olav, mendiang ayahnya itu kemudiannya menjadi sebahagian besar daripada cerita yang disampaikan oleh Georg, seorang anak muda berusia lima belas tahun dari Humleveian, lewat buku Gadis Oren ini.
Menerima dan membaca surat dari orang yang telah lama tiada pasti sahaja menimbulkan pengalaman yang berbagai-bagai. Seram adalah salah satu daripadanya. Georg tidak terlepas daripada merasai pengalaman tersebut terutama pada babak-babak awal pembacaan. Walaubagaimanapun, perlahan-lahan pengalaman itu bertukar menjadi rasa ingin tahu, teruja, simpati seterusnya kasih dan sayang apabila surat itu semakin lama dan semakin dalam dibaca.
Pertemuan pertama ayahnya dengan Gadis Oren di dalam trem, cerita-cerita rekaan ayahnya berkisar anggapan terhadap gadis tersebut, sehinggalah kepada perkenalan mereka berdua adalah latar utama surat tersebut. Di sekitarnya, ayah Georg turut menyelitkan dengan penuh rasa cinta akan kegilaannya kepada Teleskop Angkasa Hubble, rahsia bintang dan galaksi, kisah dan dunia dongeng yang dihuni manusia, falsafah hidup tentang pilihan yang kita ada (atau tidak ada) di muka bumi ini, juga kasih sayangnya kepada Georg selain rasa takutnya untuk meninggalkan dunia ini dan orang-orang yang dicintainya.
Seorang bapa akan sering sahaja mahu menasihati anaknya dengan pesanan berguna tetapi cara Jan Olav melakukannya dalam kisah ini adalah agak terlalu berbeza, kreatif dan mengesankan. Kita hampir-hampir tidak dapat mengesan nasihat daripadanya kerana ia terpencar di mana-mana dan dilindungi cerita-cerita. Tahu-tahu sahaja kita sudah pun dinasihati. Apabila Jan Olav menceritakan kisah pada satu malam apabila dia memangku Georg yang masih terlalu kecil, yang terjaga dari tidur dan menemaninya melihat bintang di langit, momen itu barangkali adalah yang paling menyentuh daripada keseluruhan buku ini.
"Dan kamu membiarkan sahaja ayah bercakap, Georg. Kamu seronok mendengar ayah bercakap walaupun kamu tidak faham sepatah kata pun. Mungkin kamu faham lebih daripada apa yang ayah sangkakan. Kamu ternyata tidak mencelah atau tertidur. Kamu seolah-olah menyedari bahawa kamu harus menggembirakan ayah pada malam itu. Mungkin kamu merasakan bukan ayah yang duduk berjaga bersama kamu. Kamulah yang duduk berjaga bersama ayah. Kamulah yang menjaga ayah."
(Gadis Oren, hlm. 143 – 144.)
Malam itu adalah malam terakhir Jan Olav bersama Georg, sebelum dia dimasukkan ke hospital, dan tidak pulang ke Humleveien buat selama-lamanya.
Penceritaan tentang kehidupan yang akan berakhir, perbandingan masa yang kita ada untuk hidup di dunia dengan lama masanya usia dunia, dengan berbobot falsafah kehidupan seperti yang dikisahkan dalam Gadis Oren ini, hampir sahaja memasuki dimensi kerohanian yang menepuk elemen sedar dalam diri kita, walaupun pengarangnya memetik Jan Olav sebagai seorang yang tidak percaya kepada kehidupan selepas mati.
Selainnya, bahasanya yang lincah, segar dan memikat nyata membuatkan buku ini cepat habis dibaca walaupun aliran ceritanya perlahan. Pada kebanyakan bahagian cerita, pengarang memperlihatkan kehebatannya dalam penulisan kreatif dengan kepelbagaian teknik penceritaan, penceritaan latar dan plot yang mendalam dan penukaran kata ganti nama "aku" dan "kamu" yang cekap. Walaubagaimanapun, kedapatan latar yang diceritakan terlalu mendalam sehingga sedikit mengganggu dan kelihatan seperti hanya mahu memanjang-manjangkan cerita.
Gadis Oren menjanjikan pengalaman baru yang menarik kepada pembacanya. Dengan ketebalan sederhana, ia tidak mengambil banyak masa untuk selesai membacanya. Ada banyak buku yang memberi kita pengalaman dan kepuasan estetika. Pada masa yang sama mampu mengetuk pintu hati dan akal budi untuk lebih sedar akan tujuan hidup. Gadis Oren agaknya termasuk dalam kategori buku seperti itu.
No comments:
Post a Comment