Dalam mengharungi saat-saat yang penuh menduga ini, ibu saya, Makcik, saya fikir adalah orang yang paling menunjukkan kasih sayangnya kepada Kak Iza selain suaminya, Junaidi dan seorang lagi kakak saya, Kak Ina. Makcik datang ke Kelantan menjaga Kak Iza selepas pembedahan di Hospital USM, Kubang Kerian. Dan malam semalam, Makcik menjamu warga surau kampung kami dengan kenduri kesyukuran atas nikmat keselamatan yang telah Allah limpahkan kepada kami sekeluarga.
Saya hanya sampai ke kampung beberapa minit sebelum azan Maghrib. Bekerja pada hari Sabtu tidak mengizinkan saya pulang lebih awal sementelah isteri pun bertugas di sekolah. Kami hanya bergerak pulang kira-kira jam 3.20 petang, dan lebuhraya Senawang –Seremban tidak akan pernah mahu mengizinkan pengguna-penggunanya sampai cepat ke destinasi. Kampung saya walaubagaimanapun bukanlah destinasi pertama kami kerana kami mahu menghadiri majlis perkahwinan kawan isteri saya terlebih dahulu di Kampung Seri Makmur, Tangkak.
Sampai di sana setelah lewat petang, kami terus berjumpa pasangan pengantin dan kedua ibu bapa mereka tanpa mahu menjamu diri dengan lauk-pauk yang sudah tinggal saki-baki. Yang uniknya di sana ialah kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan, Ghazali (Bob) dan Balqis adalah anak hasil perkahwinan campur Melayu dan Cina. Maka, dapatlah saya lihat pakcik-pakcik, makcik-makcik dan sepupu mereka dari kedua-dua belah pihak yang berbangsa Cina beramai-ramai memeriahkan suasana majlis itu dengan suara riuh-rendah mereka.
Setelah singgah sebentar di rumah ibu mertua dan solat Asar, kami ke kampung Kesang Tua, ke rumah ibu saya (Makcik) pula. Hari sudah hampir Maghrib, Makcik sudah siap hendak ke surau. Kak Iza dan Junaidi telah sampai sejak semalam lagi. Mereka bertiga akan ke surau terlebih dahulu. Bekas-bekas makanan yang tidak muat diisi di kereta Kak Iza, akan saya bawa kemudian.
Di surau, selepas solat Maghrib, ada pengajian yang dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin. Jemaah agak ramai juga. Kira-kira tiga puluh orang, agak saya. Selesai pengajian dan solat Isya’, Ustaz Jamaluddin mengetuai bacaan tahlil arwah dan doa selamat. Jemaah dihidangkan dengan jamuan makan selepas itu. Makcik telah pun menyiapkan ikan parang masak asam pedas, daging masak kurma, sayur campur, rojak dan ikan masin. Tapai pulut sebagai pencuci mulut. Airnya, air mata kucing.
Saya terlepas daripada membawa Makcik ke pasar pagi itu kerana sampai lewat. Mujur tugas itu diambil Junaidi dan Kak Iza. Esoknya selepas Asar, kami berangkat kembali semula ke kota. Menurut Makcik, dia mahu ke Kelantan mengikut Kak Iza pulang pada hujung minggu ini.
2 comments:
Terima kasih Pak Busu dan Mak Usu sebab balik kampung :D. Huhu sedapnya air mata kucing..
Alin, kedatangan ialah 3/9. Hehe. Tapi Mama takpe pasal dah telefon Nenek lebih awal beritahu nak ke Langkawi.
Post a Comment