
Dalam Kamus Linguistik terbitan DBP tiada istilah bahasa rojak. Yang ada ialah bahasa campuran. Samalah tu. Ia membawa maksud campuran bahasa-bahasa berbeza dalam satu set pertuturan. Ia lazim berlaku dalam sebarang bentuk komunikasi di Malaysia. Kita semua berkomunikasi baik di alam nyata atau alam maya dalam bahasa rojak. Tidak menggunakan bahasa rojak barangkali sudah jadi semustahil Malaysia memenangi Piala Dunia FIFA, misalnya.
Semua orang menggunakan bahasa rojak, itu semua orang tahu. Membersihkan bahasa Melayu daripada bahasa rojak adalah hampir mustahil, juga semua orang sudah tahu. Persoalannya di sini adalah bagaimana kita menanggapi bahasa rojak ini? Positif atau negatif, bahasa rojak sudah menjadi satu ragam kebahasaan dalam kita berbahasa. Apa sikap kita dalam hal ini? Mahu biarkan atau mahu buat sesuatu?
Prof. Abdullah Hassan berkata, orang yang menggunakan bahasa rojak adalah orang yang mengalami sindrom rendah diri. Sesuatu telah berlaku dalam dirinya secara psikologi yang menyebabkan dia tidak menggunakan bahasa Melayu baku. Kenyataan Prof. Abdullah ini adalah satu latar belakang yang boleh kita lihat.
Pengkayaan kosa kata bahasa Melayu daripada bahasa asing adalah respon kita terhadap bahasa rojak. Jika proses pemelayuan bahasa (istilah ini saya cipta sendiri) tidak berlaku, maka kita akan terus berbahasa rojak dalam banyak situasi. Hanya membuang huruf “c” dan menggantikannya dengan huruf “k” dalam perkataan bahasa Inggeris “computer”, kita telah pun memelayukan perkataan tersebut kepada “komputer”, sekaligus membolehkan kita menghindari bahasa rojak apabila mahu menggunakan perkataan tersebut.
(Terdapat banyak pihak yang tidak bersetuju dengan cara mudah memelayukan perkataan-perkataan asing seperti dalam contoh di atas, mereka mahu kita cari istilah yang kita ada dalam khazanah kata kita yang luas, contohnya mereka mahu kita guna perkataan “gerek” untuk perkataan asing “bicycle”, bukannya “basikal”, tetapi isu ini memerlukan perdebatan yang lebih lanjut dan tidak akan kita bicarakan panjang lebar di sini.)
Ada juga pendapat yang mengatakan adalah lebih baik seseorang itu berbahasa Inggeris secara tuntas berbanding menceduk beberapa perkataan Inggeris dan menampalkannya dalam bahasa Melayu. Benarkah pendapat ini? Jika benar, siapa mahu bertanggungjawab jika survival bahasa Melayu terancam? Apakah pula keutamaan kita dalam menimbang hal ini? Mana yang lebih penting? Mana yang lebih memelihara bahasa Melayu? Menggunakan bahasa Melayu separa dan bahasa Inggeris separa, atau membuang langsung bahasa Melayu lalu menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris demi memelihara bahasa daripada tercemar dengan bahasa rojak?
Lanjutan daripada ini, timbul pula isu setinggi mana darjah kerosakan bahasa seseorang yang berbahasa rojak. Ada orang yang hanya mengambil perkataan-perkataan asing dalam ayat bahasa Melayu, manakala ada pula yang terus menggunakan ayat-ayat asing secara berselang seli dengan ayat-ayat bahasa Melayu. Berbanding orang yang berbahasa asing secara mutlak tanpa secebis bahasa Melayu pun, golongan mana yang lebih baik?
Berbahasa asing (contohnya, bahasa Inggeris) secara mutlak, menurut saya, bukan penyelesaian kepada masalah bahasa rojak (jika benar ia dianggap masalah) dalam konteks dan maslahah bahasa Melayu. Ia hanya memberi keuntungan kepada bahasa asing tersebut dengan cara tidak mencampur adukkannya dengan bahasa Melayu. Penyelesaian muktamad kepada hal ini ialah dengan berbahasa Melayu secara baku walaupun hakikatnya, pelaksanaannya adalah amat perit.
(Nota: catatan ini sebenarnya ialah senaman minda saya sebelum membuat tugasan tentang topik ini.)
4 comments:
Haikatnya ialah "orang bahasa" seharusnya memikirkan tentang halatuju bahasa tersebut. Jika tidak, akan hilang keperluan ujudnya (justification for existence) bidang yang beliau ceburi dan mungkin beliau sendiri.
Untuk mereka yang bukan "orang bahasa", bahasa cuma satu media untuk berkomunikasi dan mencari ilmu. Saya tidak berasa kurang Melayu jika saya tidak berbahasa Melayu. Pada saya, yang lebih penting ialah saya mempunyai ilmu yang boleh dimanafaatkan untuk orang ramai. Untuk mencari ilmu mungkin saya perlu menguasai bahasa selain bahasa Melayu dan untuk menyampaikan kepada orang Melayu saya mungkin perlu menguasi bahasa Melayu.
Salam, Along. Terima kasih atas komen.
Ya, "orang bahasa" sememangnya dari dulu lembab dan lembik dalam memikirkan hala tuju bahasa Melayu. DBP walaupun diberi kuasa untuk bertindak, tidak pernah menegur kesalahan bahasa di mana-mana selain dari di majalah terbitan mereka, apatah lagi mahu bertindak lebih tegas, seperti denda, saman dan sebagainya.
Tetapi, menyerahkan isu bahasa bulat-bulat kepada "orang bahasa" adalah sikap lepas tangan penutur asal bahasa tersebut. Bukan "orang bahasa" juga boleh beri idea dan perlu bertindak setakat mana kemampuan mereka.
"Saya tidak berasa kurang Melayu jika saya tidak berbahasa Melayu." Kenyataan ini agak berbahaya dalam konteks survival bahasa Melayu seratus tahun akan datang, misalnya. Ia tidak boleh di"umum"kan, iaitu tidak boleh dipakai dalam setiap keadaan. Jika semua orang Melayu berpendapat begini, bahasa Melayu akan pupus sebelum bangsa Melayu pula pupus.
Penguasaan bahasa asing untuk tujuan ilmu tidak pernah menjadi alasan untuk mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini. Di sekolah, seorang Profesor pun tidak akan dapat menyampaikan ilmunya yang banyak itu kepada murid-murid Melayu jika tidak berbahasa Melayu dalam pengajarannya. Tidak kisahlah Profesor itu mendapat ilmunya dalam apa bahasa pun, dia perlu mengajar muridnya dalam bahasa Melayu demi penyampaian ilmu secara maksima.
Salam.
Oleh kerana catatan asal adalah sebagai "pemanas badan" untuk tugasan yang lebih mendalam sifatnya maka saya cuba menjadi alat pantulan pendapat.
Sesiapa yang mempunyai produk yang ingin dipersembahkan kepada pelanggan perlu memastikan produk mereka dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh pelanggan yang disasarkan. Untuk jangka panjang, pelanggan tidak boleh dipaksa untuk mengguna sesuatu produk jika produk tersebut tidak menepati citarasa mereka.
Begitu juga dengan bahasa. Pembela bahasa tidak akan berjaya memastikan bahasa yang diperjuanagkan akan terus berkembang hanya dengan kuasa undang-undang. Mungkin ia berjaya dilakukan untuk jangka pendek. Mereka mesti memastikan bahasa tersebut terus memberi menafaat kepada penggunanya. Bahasa tersebut mesti terus berkembang selaras dengan perkembangan dunia penggunanya. Tidak cukup hanya dengan mengenang kembali zaman kegemilangan yang telah lama berlalu.
Wallahua'lam.
Salam, Along.
Terima kasih. Ya, produk yang baik perlu persembahan yang baik juga. Dalam konteks bahasa sebagai produk, pengiklananannya agak sukar. Dalam dunia hari ini di mana media sangat mampu mempengaruhi manusia, bahasa Melayu baku masih terlalu jauh ketinggalan untuk menempatkan diri di ruang media. Di sinilah BM baku memerlukan sedikit suntikan kuasa dari kerajaan (Kementerian Penerangan, misalnya) untuk campur tangan bagi memastikan sekurang-kurangnya istilah seperti "Sure Heboh" (isu ini walaubagaimanapun sudah pun ditangani, walaupun masih boleh diperbaiki) tidak lagi digunakan. BM baku perlu dipromosikan lebih giat bagi mengatasi BM rojak (ini belum lagi disentuh isu mahu mengatasi BI).
Selain itu, langkah pihak media menggunakan BM baku dan bertenaga seperti dalam Majalah 3 dan 999 perlu dialu-alukan dan digiatkan bagi melawan BM rojak yang lebih agresif seperti di Melodi, Galaksi dan lain-lain
Post a Comment