Wednesday, May 19, 2010

Iblis Mana Pilihanmu


Sewaktu berbual-bual dengan rakan-rakan sambil menjamu selera tempoh hari, kami berpendapat kumpulan Baju Merah secara sedar dibiayai sepenuhnya oleh Thaksin. Thaksin mahu kembali ke negara Gajah Putih dengan membawa cokmar kuasa. Selaku bekas pemilik kelab liga perdana Inggeris, Manchester City, dan taikun syarikat komunikasi, hampir tiada perkara mustahil yang tidak mampu dilakukannya dengan kuasa wang yang ada padanya, termasuklah membeli sebuah negara.

Krisis politik di Thailand yang semakin meruncing, seruncing buluh kumpulan Bendera Indonesia agaknya, kini menuju kancah perang saudara. Abhisit sudah tidak mahu mengalah dan kelihatan kalah lagi. Peluru hidup (seperti yang digunakan polis Shah Alam, agaknya) sudah menggantikan gas pemedih mata. Jika kamu melawan, maaf, penamatmu adalah lubang kubur.

Cuma yang agak menghairankan ialah satu perkara ini. Kebiasaan bagi negara-negara di seluruh dunia yang tercebur dalam sebarang sengketa, pasti nanti akan ada di sana sang “adiwira” dari Amerika Syarikat yang memakai tanda nama tentera pengaman PBB, muncul bersama tongkat sakti, datang mahu mengaman negeri. Lalu, referendum dilancar dan dengan beberapa kilas tanda tangan, tanah, air dan udara negara bertukar tangan.

Tetapi, mana AS di Thailand? Adakah penggubal-penggubal dasar AS, segala Yahudi-Yahudi di sana sudah insaf tidak mahu lagi mengambil tanah orang? Atau sejarah bangsa Siam dan negara Thailand yang panjang menjadi kata kunci kepada kehairanan ini?

Seteruk-teruk krisis di Thailand, sekurang-kurangnya sehingga kini, belum ada kuasa asing yang berani menjengah muka. Walaupun kejahatan Thaksin tidak dapat ditolak-ansur, membunuh Muslim Selatan Thai dan sebagainya, dia masih orang tempatan. Ada pepatah Inggeris yang kira-kira maksudnya begini : Iblis yang dikenali lebih baik daripada iblis yang tidak dikenali.

Di sinilah letaknya satu perkara yang boleh kita pelajari dari bangsa Thailand. Kalau tak mahu belajar, jangan risau, kita tetap punya satu pilihan lain : jangan bergaduh teruk sangat. Akibat yang muncul daripada bergaduhnya kita itu, tak tertanggung. Akibat bergaduh itu satu hal. Akibat yang muncul selepas bergaduh itu, satu hal lagi.

2 comments:

Fadzlin said...

Rasanya dalam situasi ini 'better the devil you know..' But its a lose-lose situation.

Haizir said...

Janji jangan red devil. :)