Wednesday, February 02, 2011

Laporan Forum Isu Semasa : Analisis Perkembangan Terkini di Timur Tengah.


Kajang, 1 Feb – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menganjurkan satu program berbentuk wacana membincangkan perkembangan semasa yang sedang berlaku di Timur Tengah. Program yang berlangsung di Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal Dalam itu membariskan Prof. Dr. Muhammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dan Tuan Haji Ahmad Azzam Abd. Rahman, bekas Presiden ABIM sebagai ahli panel untuk mengupas isu kebangkitan rakyat yang ketika ini sedang berlaku di Tunisia dan Mesir.


Dr. Redzuan yang juga seorang pensyarah pelawat di Universiti Kaherah, dalam pembentangannya telah menyatakan bahawa kebanyakan penganalisis telah mengambil jalan mudah dengan mengambil segala sumber dari Internet tanpa merujuk silang dengan sumber lain. Ini menjadikan pandangan mereka tidak banyak bezanya dengan apa yang disiarkan oleh BBC dan CNN. Dr. Redzuan menceritakan pengalaman beliau apabila diwawancara dalam satu program RTM, pengacara rancangan tersebut tidak mengenali Rashid Ghanoushi (yang pulang ke Tunisia selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan di Eropah) dan peranan beliau dalam kancah politik Tunisia. Ini disebabkan nama pemimpin gerakan Islam itu sengaja digelapkan oleh penguasa media yang tidak mahu memberi sebarang kredit kepada gerakan Islam lantaran sifat permusuhan mereka yang tebal kepada Islam.

Dr. Redzuan telah mengimbau sejarah gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir sebagai latar belakang pembentangannya. Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) yang ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, sebagai sebuah gerakan Islam moden telah menjadi ikutan kepada gerakan Islam di seluruh dunia. Ikhwan memainkan peranan sangat penting dalam Perang Enam Hari antara Arab dengan Israel pada tahun 1967. Walaupun demikian, Ikhwan kemudiannya ditindas kerajaan Mesir sendiri dengan penahanan beramai-ramai anggotanya ke dalam penjara termasuk pembunuhan pemimpin-pemimpin utamanya. Namun, Ikhwan sebenarnya berjaya menyebarkan pengaruhnya kepada rakyat Mesir melalui kerja-kerja khidmat masyarakat yang mereka jalankan melalui penubuhan sekolah, hospital, farmasi dan sebagainya.

Apabila kebangkitan berlaku di Tunisia, ianya adalah satu perkara yang sangat tidak dijangka. Rakyat Tunisia digambarkan sebagai masyarakat kelas tengah (middle class) yang negaranya terletak berhampiran Laut Mediterranean yang tenang. Sebilangan masyarakat bandarnya malah bertutur dalam bahasa Perancis dan bukannya bahasa Arab. Maka, apabila rakyat mereka bangkit sehingga mendorong Zainal Abidin Ben Ali lari keluar negara pada 14 Januari, perkara yang paling tidak disangka itu telah pun berlaku dan ia menjadikan kejatuhan rejim diktator di negara Arab yang lain lebih nescaya.

Dr. Redzuan menyatakan kebangkitan turut berpunca dari pemikiran masyarakat Arab yang semakin terbuka terutamanya sejak sepuluh tahun yang lalu. Ia turut ditandai dengan perkembangan teknologi maklumat termasuklah ledakan Facebook dan Twitter. Tetapi, yang lebih utama adalah kezaliman pemerintah itu sendiri yang mendorong berlakunya kebangkitan. Seperti yang disebut Dr. Redzuan, proses perubahan berlaku dengan lebih cepat di negara-negara diktator. Semakin zalim kerajaan itu, semakin cepat ia akan jatuh. Menyorot sedikit sejarah Ben Ali, beliau memperoleh kuasanya pada tahun 1987 dengan menggulingkan Habib Bourgiba, pemimpin yang bertanggungjawab mengemudi kemerdekaan Tunisia. Ben Ali tidak mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan kukunya sebaik berkuasa apabila mengharamkan Parti Nahdah pimpinan Rashid Ganoushi sekaligus menghalangnya daripada menyertai pilihan raya, membunuh 35 ribu anggota Ikhwan (sumber: Abdur Rahman Al-Shihab, warga Palestin yang turut berucap pada malam itu). Ben Ali juga menutup Universiti Zaytuna, universiti yang dikatakan lebih tua daripada Universiti Al-Azhar, dan telah melahirkan sekian banyak tokoh-tokoh Islam.

Di Mesir, Hosni Mubarak menjadi Presiden selepas Anwar Sadat mati dibunuh pada tahun 1981. Hosni Mubarak turut cedera dalam peristiwa yang menyaksikan Anwar Sadat ditembak mati itu. Dalam menerangkan kekejaman Hosni Mubarak, Dr. Redzuan memetik Surah Az-Zukhruf ayat 51 yang menceritakan bagaimana proses pembodohan rakyat Mesir dilakukan oleh Firaun yang menganggap batang-batang sungai yang mengalir di Mesir adalah miliknya. Pemerintah Mesir, menurut Dr. Redzuan sejak dari zaman Firaun lagi mahu membodohkan rakyat.

Selain mahu rakyatnya bodoh, Hosni Mubarak mempunyai 300 ribu anggota polis untuk merealisasikan kekejamannya. Tetapi apabila sejuta orang berhimpun di Dataran Tahrir, polis paling ganas pun tidak mampu menyuruh rakyat mematuhi perintah berkurung. Apa yang menarik dilihat di sini ialah Kaherah sunyi sepi semasa seluruh dunia berteriak membantah serangan Israel ke atas Lubnan pada tahun 2006. Pada tahun 2003 pula, sudah ada gerakan Kifayah (bermaksud “Cukuplah”) oleh Aiman Nur yang mendesak pengunduran Hosni Mubarak. Gagal. Kuku Hosni sangat kuat mencengkam. Tetapi kini, selepas seorang penjual buah jalanan, seorang anak muda Tunisia, Muhammad Bouazizi membakar dirinya di luar pejabar Gabenor, nyalaan apinya tersinar sehingga ke Mesir sehingga rakyat Mesir tidak teragak-agak turun ke jalan raya.

Apa sikap Hosni Mubarak? Berundur? Melihat kepada peletakan individu-individu tertentu di pos-pos penting, sikap Hosni dapat dibaca. Dia akan mengambil pendekatan konfrontasi. Dia akan membunuh rakyatnya sendiri (atau mungkin juga rakyat asing) demi memanjangkan jangka hayat kekuasaannya. Omar Sulaiman, Ahmad Syafiq dan Mahmud Wajdi yang dilantik selepas pemecatan semua anggota kabinet Mesir adalah orang-orang kanan Hosni yang sanggup berbuat apa sahaja demi Hosni. Malah, dipercayai bertahannya Hosni di kerusinya adalah disebabkan belum tibanya isyarat dari Washington dan Tel Aviv tentang apakah formula paling sesuai digunakan jika masanya sudah tiba untuk dia benar-benar berundur.

Menyebut hal ini, Dr. Redzuan menyuarakan kekesalannya dengan kegagalan kerajaan Malaysia untuk berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang ada di Mesir kerana menjangkakan huru-hara bakal berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

Dalam melihat pilihan yang ada pada Hosni, Tuan Haji Ahmad Azzam membawa tiga kemungkinan. Pertama, Hosni benar-benar berundur dan menjalankan pilihan raya bebas seperti yang diminta rakyat. Kedua, gunakan kekerasan seperti yang dilakukan Iran dalam mematahkan Green Revolution. Ketiga, pegang jawatan sehingga September, jadualkan pilihan raya Presiden dan bersedia membentuk kerajaan campuran dengan pembangkang.

Dalam konteks ini, kita diperkenalkan pula dengan seorang tokoh yang muncul entah dari mana, Mohammed Al-Baradaei yang bakal tampil penting selepas Hosni Mubarak. Ia mengingatkan kita kepada kemunculan tiba-tiba Hamid Karzai yang tampil “anggun” dan “comel” selepas kejatuhan Taliban di Afghanistan. Namun, Al-Baradei dilihat hanya akan dijadikan Ketua Pembangkang dalam Parlimen Mesir.

Kesan kepada Barat dan Zionis jika Hosni berundur adalah mereka bakal kehilangan sekutu kuat mereka di Mesir. Jika pilihan raya bebas diadakan, Mesir dijangka jatuh kepada Ikhwan yang mendapat sokongan 40 peratus rakyatnya. Ikhwan akan merombak Perjanjian Kem David, sempadan Rafah akan dibuka, Palestin akan dibela dan Israel bakal terancam. Menurut Abdur Rahman Al-Shihab, warga Palestin yang turut berucap dalam program itu, akhbar-akhbar Israel saban hari melaporkan kerisauan mereka dengan perkembangan di Mesir. Pejabat Benjamin Netanyahu sentiasa berhubung dengan Mesir, Eropah dan Amerika Syarikat bagi mencari jalan penyelesaian membendung kebangkitan rakyat sehingga Israel sanggup menawarkan tentera mereka untuk membantu polis Mesir.

Program berakhir kira-kira jam 11.15 malam.

5 comments:

dahrie said...

Agak-agak siapa dibelakang mereka? Siapa Ahmad Maher, yang barangkali perlu juga dikupas lanjut agar kita semua tahu siapa disisi kiri dan kanan setiap gerakan-gerakan seperti ini.

Haizir said...

Terima kasih, Dahrie. Ahmad Maher yang dah mati tu ke? Tentang siapa di belakang mereka, forum malam tadi tak memberikan jawapan yang jelas. Kecuali wakil Palestin, Shihab memberitahu peranan Ikhwanul Muslimin Mesir sejak dari dulu cukup penting dalam menyemai kesedaran di kalangan rakyat supaya sedar akan kezaliman Hosni Mubarak.

dahrie said...

Siapa dibelakang Ikhwanul Muslimin pula? Wow menarik tu kalau kita semua dapat tau tu.

Kadang-kadang ada yang mereka tau tapi mereka tak mahu beritahu (sembunyikan). Lebih malang lagi apabila mereka memang tak tahu. Dan dua-dua itu adalah perangkap untuk kita semua, bukan pemain dan orang awam ni.

Saya percaya gerakan di Mesir ini ada kaitan dengan Revolusi Jasmin di Tunisia, atau beberapa revolusi lain seperti Revolusi Oren di Ukraine, Revolusi Rose di Goergia, Revolusi Tulip di Kyrgyzstan, dan Revolusi Hijau di Iran (gagal).

Yang meninggal terbakar tu, Muhammad Bouazizi hanya kebetulan. Tetapi gerakan terancangnya barangkali lebih dari itu.

Haizir said...

Ikhwanul Muslimin sebagai gerakan Islam yang mempunyai pengaruh besar di seluruh dunia, terutama di negara Arab, barangkali ada kaitan dengan semua kebangkitan ini. Jika betul, ia pasti menimbulkan keresahan kepada gerakan Zionis dan Barat kerana pergerakan mereka di mana-mana di seluruh dunia sukar dibaca ejen Zionis dan Barat.

dahrie said...

Kalau benar begitu oh alangkah aman dunia ini nanti.

Tetapi bagaimana kalau ada juga tangan-tangan hitam dibelakang Ikhwanul Muslimin ini?

Gerakan di Mesir bukan dijana oleh Ikhwanul Muslimin. Mereka hanya dijadikan kambing hitam. Saya percaya masih ada gorgon dibelakang mereka.