Friday, June 03, 2011

Penyejuk Mata

Jika saya pulang kerja awal, petang-petang beberapa jam sebelum Maghrib begitu adalah waktu kadangkala Aiman dan adiknya datang ke rumah kami. Mereka berdua adalah anak jiran sebelah rumah saya, pasangan Sabri dan Anis. Aiman dan Adik sudah rapat dengan kami suami-isteri. Malah, bolehlah dikatakan rumah kami adalah rumah kedua Aiman dan Adik. Keluar-masuk rumah kami sudah seperti keluar-masuk rumahnya sendiri. Jika datang ke rumah, Aiman biasanya akan membawa sama beg sekolah PASTInya dan pada satu hari saya akan disuruhnya melukis gambar seorang anggota polis. Polis yang Aiman suruh saya lukis rupa-rupanya bukanlah hanya seorang anggota polis biasa, tetapi sebaliknya mestilah lengkap dengan pistol, lencana, cota, malah kereta dan ibu pejabatnya sekali. Untuk menjadikan gambar itu lebih lengkap dan bermakna, saya disuruh melukis "orang jahat" pula. Tetapi nyata Aiman berjiwa lembut. "Orang jahat" yang saya lukis ditakutinya dan dipadamkannya sendiri kemudiannya.

Si Adik pula agak berbeza. Dia lebih suka saya membawanya bersiar-siar sekeliling taman dengan motosikal. Adik berusia empat tahun dan hanya muda setahun daripada abangnya. Dia akan "mengendeng-ngendeng" beberapa ketika sebelum mengucapkan, "Acik, nak naik boto," kepada saya. Maka, saya pun menghidupkan enjin motosikal, mengangkatnya masuk ke dalam bakul dan kemudian membawanya bersiar-siar sudah jadi tugas sampingan saya setiap kali pulang awal ke rumah. Jika saya melalui taman permainan, Adik barangkali akan mahu turun dan bermain buaian, jongkang-jongket atau apa sahaja permainan yang ada di sana. Dan saya, seperti seorang bapa, akan duduk di sana, meneman dan memperhatikan Adik, atau sekali-sekala bermain sekali dengannya. Dengan semua ini, adakah saya berasa berat dan penat? Tidak, bahkan itu semua adalah kegembiraan juga kepuasan yang tidak dapat ditukar dengan nikmatnya minum air sejuk pada hari yang panas.

Pada satu sisi lain, saya tidak mahu mengeluh. Ya, saya sudah lebih empat tahun mendirikan rumah tangga. Kata seorang kawan saya, "rumah sudah bertangga". Tapi, "mata belum bercahaya". Dengan ujian yang kami hadapi ini, sudah tentu mengalah bukanlah satu langkah yang betul. Malah, Allah sebenarnya memanjakan kami dengan meminjamkan Aiman dan Adik sebagai penyejuk mata sementara.


Aiman sedang leka mewarna gambar.

Gambar polis, kereta dan balai.

Aiman sedang leka melukis, pada hari yang lain.

Bersiap untuk bawa Adik jalan-jalan.

Dua beradik yang suka datang rumah kami :)

Adik, atau nama sebenarnya Sumayyah.

Lagi gambar Adik. (siapa suruh comel sangat.)

Isteri saya melayan Adik dan seorang lagi anak jiran bermain basikal.


3 comments:

Fadzlin said...

Adik sangat comel!

Haizir said...

Alin, tu yang Mak Usu tak boleh terima tu, bila Pak Busu kata Adik comel. Hahaha..

nadiah said...

Mak Usu pun comel jugak!!:)