Thursday, June 30, 2011

Lina


Sudah lama saya ingin menulis tentang perkahwinan anak saudara saya, Nurlina Hussin, tapi baru sekarang peluang itu datang. Nurlina adalah anak sulung Along saya, Hussin. Kami agak rapat dan kurang lebih berkongsi zaman kanak-kanak yang sama sementelah saya hanya tiga tahun lebih tua daripadanya. Sebagai seorang kanak-kanak yang agak nakal yang suka mengusik orang termasuklah kakak-kakak saya, Kak Ina, Kak Iza dan anak-anak saudara saya yang lain seperti Alin, saya walaubagaimanapun agaknya tidak pernah mengusik Lina dan adik-adiknya. Saya barangkali akan segera teringat kepada ayahnya yang selalu saya geruni sewaktu kecil dulu dan akan cuba untuk tidak membuatkan Lina tidak gembira. Seingat saya, kami menjadi lebih rapat apabila Lina melanjutkan pelajarannya di UiTM, Jengka apabila dia mula berjinak-jinak dengan persatuan pelajar Islam di sana dan saya selalu dijadikan tempat untuknya berbincang sekitar idealisme gerakan pelajar dan seputar gerakan Islam. Komitmen dan keterlibatan Lina dengan aktiviti berpersatuan adalah antara kualiti yang ada dalam dirinya dan itulah yang saya lihat telah banyak membentuk cara berfikir Lina sehingga hari ini.

Saya mendirikan rumah tangga pada tahun 2007. Ayah Lina adalah abang saya yang paling banyak membantu dalam memudahkan urusan perkahwinan saya. Tanpa saya duga, Lina menjadi rapat dengan isteri saya dengan begitu mudah. Dan itu sangat menyenangkan saya. Malah, Lina menjadi lebih rapat dengan isteri saya berbanding dengan saya sendiri. Sensitiviti, perasaan Lina sedikit sebanyak dapat saya fahami melalui perkongsian Lina dengan isteri saya, satu perkara yang bagi saya merupakan satu penghargaan dari Lina kepada kami berdua.

Jumaat lalu, Lina selamat bergelar isteri kepada teman sekerjanya, Zarizi Ismail. Saya percaya mereka berdua telah menempuh banyak cabaran sebelum dapat bergelar suami-isteri. Dan ada di antara cabaran tersebut akan terus mereka depani di hari-hari mendatang. Doa dan harapan saya agar Lina dan Zarizi dapat menghadapinya bersama dengan baik. Lina dan Zarizi telah datang ke rumah saya pada hari Ahad yang lalu bersama adik-adiknya, Afiq dan Hani. Daripada pertemuan ringkas itu, saya dapat lihat kematangan dan pengalaman yang ada pada Zarizi. Semoga elemen itu dapat digunakannya untuk membimbing keluarganya menuju mardhatillah. Kepada Lina dan Zarizi, Pak Busu dan Mak Usu doakan kalian bahagia hingga ke syurga.

No comments: