
Kelmarin, 25 September 2011 bersamaan 28 Syawal 1432 Hijrah adalah tarikh saya berkonvokesyen sebagai tanda tamat pengajian jarak jauh saya selama empat tahun di UKM, Bangi. Walaupun pada asalnya saya menimbang-nimbang untuk tidak menghadiri majlis itu, kemudiannya saya mula berasakan idea tersebut bukanlah satu idea yang baik, terutamanya selepas saya selesai menghabiskan majlis, berjumpa kawan-kawan dan melihat sendiri kegembiraan orang di sekitar saya. Ianya adalah majlis yang tidak rugi untuk dihadiri selepas empat tahun berulang-alik dari Kelang ke Bangi dan berpenat-penat fizikal dan mental.
Melihat ke belakang, ini adalah ijazah pertama saya setelah dua kali mencuba. Saya gagal dalam percubaan pertama mendapatkan segulung ijazah di UTM, Skudai. Kejuruteraan Elektronik tidak tercapai dek tangan saya, dan tidak mahu mengasihani saya memberi saya ijazahnya walaupun selama empat tahun setengah telah saya bercokol di sana menumpahkan daya usaha dan fikiran saya untuk memilikinya. Kami – saya dan Kejuruteraan Elektronik, barangkali tidak berjodoh. Mana tahu rezeki saya adalah dengan Sastera-Bahasa Melayu. Dan kami memerlukan empat tahun pula untuk bertemu selepas "putus kasih" di UTM pada tahun 2003.
2003 – 2007 adalah empat tahun yang sukar. Terutama pada dua tahun awal. Gagal pengajian di universiti bukanlah satu perkara yang digemari ramai orang. Saya mengambil masa dan ruang yang banyak untuk keluar dari kesukaran itu. Antaranya termasuklah dengan tidak keluar rumah, walaupun pada Hari Raya. Saya juga terpaksa bermain helah akibat tidak berani mendedahkan perkara sebenar kepada orang. Malu adalah satu perkara. Rendah diri, terpukul adalah perkara-perkara yang lain.
Dalam tempoh tersebut juga sebenarnya, hal menebus kembali kegagalan itu sentiasa bermain di fikiran. Cuma, bagaimana? Pelbagai pilihan yang ada terhidang di depan mata pada ketika itu. Gagal dalam satu bidang rupa-rupanya membuka peluang kepada ribuan bidang yang lain untuk dimenangi. Saya ke Kolej Yayasan Melaka melihat Sijil wireman, dihujani tawaran kolej-kolej swasta yang pada waktu itu tumbuh bagai cendawan selepas hujan, hampir-hampir ke Kolej Amal Aimy Dzalifah menjadi hafiz, diajak Yunus, sepupu saya bersama dengannya mengikuti kursus untuk menjadi seorang radiographer, malah pada tahun 2005 menduduki temuduga dan ujian kelayakan ke kursus TESL di UiTM sehingga berjaya mendapat tempat hanya untuk saya tolak kemudiannya walaupun yuran kemasukan ke sana telah pun dilunaskan oleh Along saya.
Sukar. Tidak mudah menjadi saya pada waktu itu.
Walaupun demikian, sebenarnya tempoh tersebut adalah yang paling bahagia. Terutama pada dua tahun awal. Ironis. Ya, ironis memang gemar muncul pada waktu-waktu begini. Menjadi guru sandaran di kampung adalah pengalaman mahal yang tidak dapat ditukar dengan emas jongkong. Dan periode itu juga seperti sengaja memilih saya untuk berada di dalamnya agar saya boleh duduk di kampung sepenuh masa melihat Ayah yang sering tidak sihat. Dalam periode itu juga saya bertemu dengan gadis yang akan menemankan saya untuk tempoh empat tahun akan datang memburu ijazah dan untuk tahun-tahun berikutnya sehingga akhir hayat.
Semua itu menampakkan kepada saya wajah-wajah takdir yang berbeza, yang muncul dari waktu ke waktu secara tekal. Telah saya tanggapinya semua, harap-harapnya dengan cukup wajar. Menerima ijazah di UKM adalah satu detik penting yang saya perlukan dalam hidup – bukan semata-mata sebagai tiket untuk ke mana-mana, tetapi lebih sebagai pembina semula semangat dan keyakinan saya yang satu waktu dulu pernah tertanam enam kaki di bawah tanah.
8 comments:
steady-lah, cikgu!
tahniah haizir...dengan kejayaan yang diperoleh.. nampak gaya macam banyak pengajaran yang hang dapat dan org lain xdapat.. share lah lagi... So, skrg ada dimana?
Tahniah..berjiwa besar dapat azam kuat mencapai cita-cita.
Tahniah Pak Busu! Dannn COMELNYER NENEK SAYA NI!
Percayalah pada setiap kesukaran akan ada kemudahan cuma kadang kala kita yang tidak dapat melihatnya.
Tahniah kerana bangun sesudah jatuh. Along masih ingat menghantar kamu ke UTM bersama ayah dan makcik satu masa lalu.
Kalam, terima kasih. :)
Yus, terima kasih. Aku sekarang duduk Klang. Hang duduk mana?
Firdaus, antara kebaikan di UTM ialah dapat mengenal PKPIM dan rakan-rakan seperti kamu. Teruskan dengan idealisme dan perjuangan, syeikh!
Alin, nenek kata: "Lepas ni nak tengok konvo Alin pulak!" :)
Along, terima kasih banyak atas pertolongan sejak dari dulu sampai sekarang. Semuanya tak dapat dibalas. Semoga Allah sahaja yang membalas segala jasa baik Along sekeluarga.
Haizir,
Tahniah sekali lagi. I am so proud of you :)
Syukur alhamdulilah, dapat makcik menyarung jubah hijau walaupun arwah ayah gagal berbuat demikian. Tahniah kepada Jiha kerana menyokong adik akak sehingga dapat membanggakan semua orang. Terima kasih dik. Sujud syukur Zir kerana nikmat Allah yang terlalu banyak. Tahniah.
Post a Comment