Tuesday, September 06, 2011

Antara Wira dengan Pengkhianat

Dalam bulan kemerdekaan dan lebaran ini, kita dihidangkan dengan isu ucapan Muhammad Sabu tentang Mat Indera dan sekitarnya. Ia menjadi antara juadah Raya yang turut kita cicipi selain ketupat, rendang dan kuih samperit di rumah-rumah yang kita kunjungi. Apalah ertinya Hari Raya tanpa juadah-juadah tambahan seperti ini. Ia boleh jadi hambar seperti makan nasi himpit tanpa kuah masak lodeh.

Isu yang dibangkitkan Mat Sabu bukanlah satu isu baru. Pada tahun 2007, Fahmi Reza telah pun menerbitkan filem dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka yang membuka mata. Betapa pejuang kemerdekaan bukanlah milik mutlak golongan Tunku, Dato’ Onn dan UMNO. Betapa sejarah yang diajarkan kepada kita sangat sempit lorongnya dan menyembunyikan sekian banyak fakta penting tentang bangsa ini. Betapa pejuang-pejuang lain telah dikhianati apabila tidak diiktiraf sejarah. Sangat menyedarkan kita bahawa sejarah bukan sahaja ditulis oleh orang yang menang, malah oleh orang menang yang jahat.

Cuma isu yang ditimbulkan Mat Sabu kini membuka satu polemik baru yang tidak mudah dicerna. Ianya tentang wira. Siapakah wira? Mat Inderakah? Jika Mat Indera wira, adakah pegawai polis Bukit Kepong yang berkhidmat dengan British adalah pengkhianat?

Saya cuba membayangkan hidup pada zaman sebelum merdeka. Kerajaan saya adalah penjajah, iaitu British. Apakah sikap saya pada masa itu? Jika dilihat secara mudah, ya, saya perlu menentang penjajah untuk memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi, saya percaya isunya tidak semudah yang dijangka. Pasti di sana akan ada yang bekerja dengan British sebagai pegawai kerajaan sebagai sumber pendapatan mereka. Adakah mereka ini pengkhianat bangsa? Saya percaya ramai di kalangan ahli keluarga kita sendiri termasuklah mungkin datuk, bapa atau bapa saudara kita berkhidmat dengan British sebagai polis, tentera atau apa jua pekerjaan pada zaman itu untuk menyara keluarga. Apakah status mereka ini? Pengkhianatkah? Tali barut penjajahkah?

Berdepan zaman gawat pada masa itu, masyarakat kita sebenarnya tersepit. Antara tuntutan kemerdekaan dengan tuntutan hidup. Dan kemerdekaan adalah hadiah paling besar yang dirasai oleh semua orang, baik yang memperjuangkannya atau tidak. Dan pada hari ini, sebagai generasi yang tidak merasai getirnya hidup pada zaman itu, saya fikir kefahaman kita terhadap isu ini adalah untuk menjadikan kita sebagai seorang manusia yang lebih insaf, bukan sebaliknya.

No comments: