Wednesday, November 30, 2011

Padi Hampa


Cadangan pindaan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman oleh BN telah pun diluluskan di Dewan Rakyat semalam. Undang-undang baru ini lebih ketat antaranya dengan keperluan memberi notis 30 hari sebelum berhimpun selain dari denda sebesar RM 20,000 kepada peserta perhimpunan yang ditangkap. Mana-mana rakyat yang prihatin akan membantah cadangan ini, dan ia disuarakan antaranya oleh ABIM. Majlis Peguam lebih agresif dengan menganjurkan perarakan ke Parlimen bagi membawa suara bantahan. Perarakan tersebut yang dihadiri ahli-ahli Majlis Peguam dan orang ramai berbaju kuning, adalah perhimpunan yang berjaya kerana secara terang-terang berjaya mencabar Bil Perhimpunan Aman yang dengan jelas mengharamkan sebarang protes jalanan.

Jelasnya, undang-undang baru ini merupakan ancaman kepada kebebasan. Saya tidak percaya kepada kebebasan mutlak dan menolak perjuangan hak asasi manusia ala liberal yang sedang popular kini, tetapi sebagai seorang yang waras, sudah tentu undang-undang ini tidak dapat kita terima. Dan saya sedia sekapal dengan Majlis Peguam dalam menentang undang-undang ini, walaupun dalam isu LGBT, saya akan sedia bermusuhan dengan mereka. Perarakan yang dibuat oleh Majlis Peguam semalam wajar dipuji dan adalah satu langkah ke arah Malaysia yang lebih baik.

Cuma, yang menjengkelkan saya adalah satu perkara ini, apabila membaca berita dari portal Malaysiakini yang melaporkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dari Dewan Rakyat sebagai menunjukkan bantahan. Itulah Pakatan Rakyat yang tipikal. Seperti sudah tidak ada cara lain yang lebih baik bagi menonjolkan perjuangan mereka. Bagi saya, sepatutnya mereka duduk sehingga tiba masa mengundi untuk meluluskan Bil tersebut. Majlis Peguam sehingga telah berjumpa dengan beberapa MP baik dari BN mahupun PR, memujuk mereka supaya memberi undi tidak menyokong Bil tersebut. Tetapi, dengan tindakan keluar dewan (yang agaknya dianggap cool oleh mereka), usaha-usaha Majlis Peguam seperti telah dibuang ke longkang Parlimen.

Kenapa perlu keluar Dewan? Bukankah tugas seorang Ahli Parlimen yang telah dipilih ialah duduk di sana membawa suara rakyat yang mereka wakili? Tidak kiralah sama ada kamu akan kalah atau menang dalam proses pengundian tersebut, kamu perlu berada di dalam Dewan dan mengundi. Kamu diundi oleh rakyat untuk berada di dalam Dewan, bukannya di luar. Tidakkah kamu tahu betapa besarnya kesan undang-undang ini kepada rakyat? Nanti apabila Bersih 3.0 berlangsung dan ada peserta yang berhimpun demi memperjuangkan pilihan raya yang adil (yang manfaatnya untuk Pakatan juga), lalu tertangkap dan didenda sehingga RM 20,000, siapa yang mahu membela mereka?

Apabila perkara ini berlaku, saya sudah sampai ke satu tahap sehingga mengesyaki Pakatan sengaja membiarkan Bil itu diluluskan tanpa dicabar supaya BN akan terlihat semakin zalim di mata rakyat, sekaligus memberi kredit kepada Pakatan. Jika buruk sangka saya ini betul, Pakatan bukanlah mahu membela rakyat. Mereka hanya berkenan dengan kerusi-kerusi di Putrajaya.

No comments: