Thursday, January 19, 2012

Pecah

Masyarakat kita pada hari ini terkelompok kepada sekurang-kurangnya dua sekolah pemikiran yang berbeza – aliran pendidikan Melayu dan aliran Inggeris. Polemik yang timbul dari isu PPSMI telah menampakkan perbezaan yang jelas antara dua kelompok ini. Kumpulan dari aliran pendidikan Melayu yang antaranya diwakili Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah pelaksanaan PPSMI, manakala aliran Inggeris yang antaranya diwakili Parent Action Group for Education (PAGE) seliaan Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula menyokongnya. Kedua-dua kumpulan ini mendakwa mereka berada di pihak yang benar dan mendapat sokongan dari rakyat terbanyak. Sebagai rekod, GMP pernah menganjurkan demonstrasi jalanan besar-besaran membantah PPSMI pada 7 Mac 2009 di Kuala Lumpur manakala PAGE pula pernah mengugut kerajaan Barisan Nasional supaya meneruskan dasar PPSMI jika tidak mahu kehilangan undi.

Menyorot isu ini dari aspek sosiopolitik bakal menampakkan kepada kita akan cabaran-cabaran yang wujud dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini; betapa pecahan yang wujud dalam masyarakat kita bukan semata-mata akibat kepercayaan politik kepartian yang berbeza. Jika parti-parti politik di negara kita mendakwa mereka mempromosikan perpaduan kaum baik melalui slogan 1 Malaysia atau Malaysian Malaysia, sebenarnya cabaran masa depan yang wujud dalam masyarakat kita melangkaui batas perkauman. Potensi perpecahan di negara ini adalah di kalangan dua kelompok ini – golongan dari aliran Melayu, dengan golongan berpendidikan Inggeris.

Di manakah letaknya kedudukan parti-parti politik dalam pertembungan antara dua kelompok ini? Jika fikiran kita sejak dari mula telah dicorakkan oleh ideologi politik kepartian, di mana setiap perkara mahu dilihat dari kaca mata parti politik, kita bakal berdepan kesukaran menjawab soalan di atas. Ini disebabkan parti-parti politik kita tidak berorientasi pendidikan, mereka lebih berorientasi kaum, kebajikan dan pilihan raya. Maka, oleh sebab itu kelibat mereka boleh dilihat di mana-mana di antara dua golongan ini. Sebagai contoh, kita boleh lihat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaafar, pemimpin AMK PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan lain-lan pemimpin Pakatan Rakyat berada dalam demonstrasi anti PPSMI pada 7 Mac 2009, manakala dalam laporan Selangor Times isu 57 pula memaparkan Loh Gwo-Burne, Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR dan Hannah Yeoh, Adun Subang Jaya dari DAP menyokong tindakan sekumpulan ibu bapa yang mahu PPSMI dilaksanakan di sekolah.

Perbezaan pendekatan yang dibawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan perbezaan kepentingan yang mereka wakili. Ditakdirkan Pakatan Rakyat menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, isu PPSMI masih jauh daripada jalan penyelesaian kerana dua kelompok yang berbeza tadi masih belum mampu disatukan pemikiran mereka. Malah, pendirian Pakatan Rakyat tentang isu ini sendiri tidak dapat dipastikan; adakah mereka pro atau anti PPSMI?

No comments: