Sunday, March 18, 2012

Sedikit tentang Pendidikan

Apakah matlamat akhir pendidikan? Jawapan kepada soalan ini bakal ditentukan oleh sekolah pemikiran yang kita huni; tentang bagaimana kita melihat pendidikan itu sendiri. Bagi golongan berfahaman materialistik yang sentiasa mengejar habuan keduniaan dan menjadikan seluruh kehidupannya, mengurus sumber yang ada di sekitarnya untuk memuaskan tembolok nafsu materialnya, maka pendidikan juga tidak akan terlepas daripada dijadikan sumber dan alat untuk mencapai tujuan tersebut. Pendidikan bagi mereka akan berperanan membolehkan mereka mengetahui bagaimana mendapatkan harta dengan lebih banyak dan dengan lebih cepat. Pencarian ilmu, teknologi dan pengetahuan diarahkan kepada pencarian materi, bukan kebenaran. Metodologi mencari ilmu disesuaikan untuk mencapai tujuan tersebut. Pandangan alam materialisme secara total akan digunakan dalam pendidikan orientasi sebegini termasuklah dalam memilih bahasa pengantar dalam sistem pendidikan tersebut.

Gantikan "materialisme" dengan "hedonisme". Pencarian "harta" akan digantikan dengan "keseronokan".

Tetapi jika kita bermatlamat mencari kebenaran lewat pendidikan, sepanjang jalan pendidikan itu akan kita pastikan berada dalam landasan kebenaran. Berkaitan hal ini, Imam Al-Ghazali telah menggariskan sepuluh adab dalam menuntut ilmu antaranya menuntut supaya pencari ilmu membersihkan hati dari segala sifat buruk kerana ilmu itu bersifat ibadah. Ibadah dengan maksiat tidak boleh beriringan melainkan bercanggahan antara keduanya.

No comments: