Thursday, August 16, 2012

Adik



Entah apa mimpinya, petang itu Adik mahu mengikut kami keluar. Pada asalnya, dia mengajak saya menemankannya bermain di taman permainan. Permintaan itu tidak dapat saya penuhi kerana saya dan isteri sudah pun merancang untuk berbuka puasa di Restoran Shid. Kami perlu datang awal membuat tempahan kerana jika lewat, alamatnya berbuka dengan air sahajalah kami. Restoran Shid memang selalu penuh pada waktu berbuka puasa.
“Pakcik nak keluar,” kata saya kepada Adik. Dia sedikit menjengkel.
“Adik nak ikut?” sebenarnya saya hanya bermain-main. Ajak-ajak ayam, kerana sebelum ini dia tidak pernah mengikut ajakan kami keluar ke mana-mana.
Tapi, di luar sangkaan saya dan isteri, Adik telah pun berlari kembali ke rumahnya, bersiap-siap. Abangnya, Aiman rupa-rupanya, bagi pihak si Adik, telah pun meminta izin dari Abahnya, Sabri yang sedang menyiram pokok bunga. Seketika kemudian, Adik berlari lagi masuk ke rumah kami dengan lengkap bertudung.
Maka tahulah saya, kami perlu membawa Adik ikut sama. Setelah bercakap dengan Sabri, kami keluar ke Restoran Shid untuk membuat tempahan terlebih dahulu sebelum ke pasar raya Carrefour seketika untuk membeli sedikit makanan ringan buat Aiman. Aiman tidak mengikut kami kerana dia berpuasa. Hari ini masuk hari kelima baginya.
Di Carrefour, Adik mahu naik troli, turun, naik lagi, tolak troli sendiri, berlari ke sana ke mari dan pilih sendiri aiskrim untuk dirinya dan abangnya, Aiman. Adik juga akan mahu pergi ke semua tempat dan mahu semua benda. Selain itu, dia mahu berjalan senget seperti mahu jatuh apabila kita memimpin tangannya. Di bahagian pakaian, dia akan berlari mendahului kami dan menyorok di sebalik baju-baju untuk membuat kami risau.
Di Restoran Shid, Adik duduk di kerusi biasa sebelum mahu duduk di kerusi khas bayi. Adik menggunakan sudu dan garfu, walaupun versinya sedikit berbeza daripada kebiasaan apabila garfu di tangan kanan dan digunakan untuk menyua makanan ke dalam mulut, sementara sudu di tangan kiri. Walaubagaimanapun, Adik tidak cerewet urusan makanan. Dia makan sampai habis nasi di pinggan dan tidak kisah berkongsi minuman dengan isteri saya. Walaupun selalu merungut meminta kuah dibubuh di pinggan nasinya, dia tidak mahu pekerjaan itu dilakukan oleh saya, melainkan isteri saya sahaja. Selepas itu, dia akan makan aiskrim yang dibeli di Carrefour tadi dan apabila saya mahu membuat bayaran, dia mahu lihat urusan itu dilakukan dan minta diangkat ke atas kaunter supaya pandangannya lebih jelas. Dia juga mahu didukung sehingga sampai ke kereta.
Sehingga saya menghantar Adik pulang ke rumahnya yang hanya bersebelahan rumah saya, hati kami telah pun diisi kegembiraan dengan masa yang dapat diluangkan bersama Adik. Adik, yang sentiasa menghiburkan di sebalik keletah dan tingkah laku lasaknya. Kegembiraan itu agaknya bercampur dengan kegembiraan berbuka bagi orang yang berpuasa, seperti yang pernah disabdakan Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Syukur kepada Allah Ta’ala yang memberi peluang kepada kami merasai rasa itu dan terima kasih kepada pasangan Sabri dan Anis yang sudi meminjamkan Adik kepada kami, sementelahan kami belum mempunyai “Aiman” dan “Adik” sendiri.






1 comment:

siti khadijah said...

Tumpang bahagia membaca coretan ini, benarlah janji Allah, jikalau kita bersabar Allah akan beri berbagai kebaikan dan rahmat Nya.