Apabila Hasmi Hashim mengkritik Pakatan Rakyat tentang pendirian
Pakatan terhadap seni dan budaya, dalam satu forum bertajuk
“Artis berpolitik: Sekadar glamor atau prinsip”, ia mengundang banyak
reaksi negatif berbanding positif, seperti yang dapat diperhatikan dalam
ruangan komen di Malaysiakini. Hasmi, penulis lirik Awan Nano adalah antara
beberapa individu dalam Pakatan yang paling banyak bercakap soal budaya dengan
cukup tuntas, seperti yang boleh kita lihat dari tulisan-tulisan beliau di
laman web Jalan Telawi. Selain beliau, ada beberapa orang lagi dalam Pakatan
yang menyinggung persoalan budaya seperti Pak Dinsman. Walaubagaimanapun,
wacana ini masih belum disuburkan dengan cukup baik. Kelemahan Pakatan dalam
isu ini tidak perlu dipertahankan oleh para pendukungnya, bahkan perlu diakui
sebelum diperbaiki.
Apakah kepentingan kebudayaan dalam sesebuah peradaban? Ia
mengajar dan mengajak kita menjadi manusia. Inilah intinya yang akan menjadi
penahan manusia daripada melakukan kerosakan demi kerosakan atas nama kemajuan
dan pemodenan. Tanpanya kita barangkali adalah sebaris sintaks dalam bahasa
program komputer. Atau robot pembantu rumah yang bekerja mengikut arahan yang
ditetapkan. Atau jentera berat, atau kilang yang membuang sisa toksik ke dalam
longkang. Kita menjadi kering jiwa sebelum menunggu giliran dipanggil ke alam
baqa’.
Persoalan seni, budaya termasuk bahasa telah disorot secara
salah oleh kita, menyebabkan ia dilihat tidak sepenting memansuhkan PTPTN atau
menurunkan harga minyak. Seni, budaya, bahasa telah diasosiasikan dengan
persembahan pentas dan segala yang berbentuk visual semata-mata, dan peranannya
terhenti setakat memberi hiburan kepada para penontonnya. Bahkan ia sepatutnya
mampu jadi wahana paling ampuh menyampaikan, katalah, ideologi politik atau
silibus dakwah dengan cara yang paling menarik dan tidak terfikirkan. W.S. Rendra
mengkritik golongan kapitalis, menjulang suara hati rakyat miskin lewat deklamasi
puisinya Sajak Pertemuan Mahasiswa di depan siswa-siswi Universiti Indonesia
yang baru daftar masuk pada tahun 1977 dari atas bangunan, berjalan turun
tangga dan berlari. Bukankah ini lebih segar berbanding berceramah di atas
pentas?
Sebahagian reaksi terhadap kritikan Hasmi itu kemudiannya
menjadi semakin melarat-larat apabila beliau dituduh sebagai orang yang kecewa
dalam perjuangan, terhutang budi dengan BN atas kejayaan dalam Juara Lagu,
malah diminta meletak jawatan dalam parti dan menyertai Umno. Lebih jauh, nama
pena Hasmi iaitu Buddhi Hekayat dipersenda sebagai Buddha. Saya memberi komen
positif kepada kritikan Hasmi. Akibatnya, saya turut dilabel sebagai geng
ketuanan Melayu dan dihina sebagai bodoh. Sifat dangkal, tidak meraikan
perbezaan pendapat (malah mengecamnya) yang ditunjukkan begini bukanlah sifat
yang diharapkan ada pada para penyokong Pakatan. Sifat sebegini tiada bezanya
dengan sifat penyokong BN yang mereka kritik, kalau pun tidak lebih teruk.

No comments:
Post a Comment