Pernah pada satu pagi, dia datang ke kaunter pada waktu saya bertugas, dengan membawa belon buih di telapak tangannya. Seperti seorang anak kecil dia menceritakan betapa dia suka sekali bermain belon buih dan mengagumi kecantikan warna-warni yang terhasil daripada pantulan cahaya ke arahnya. Katanya, dia datang ke mari hanya untuk bercerita tentang belon buihnya itu. Saya hanya mendengar dan menghiburkan diri dengan ceritanya sebelum dia beralih mod perbualan kepada sesuatu yang lebih serius. Katanya,
“You know what? Our
life is like bubbles.”
“Why’d you say that?”
tanya saya.
Katanya, usia hidup kita semakin menguncup seperti belon
buih yang semakin mengecil akibat kehilangan udara dari dalam ke luar. Proses
kehilangan itu berlaku dengan sangat perlahan dan hampir-hampir tidak diketahui
oleh kita. Akibat terpesona dengan warna-warna yang terbias, yang hakikatnya
bukan datang dari buih itu sendiri, kita terlupa yang buih semakin mengecil
sebelum hilang terus.
“Whoosh!”
Pelajar itu bukan lagi seperti seorang anak kecil di depan
saya. Dia telah berubah menjadi seorang ahli falsafah.
Tengah hari ini, sewaktu saya masuk kerja dan belum pun
sempat meletak beg di atas meja, saya ditanya rakan sama ada sudah mengetahui
satu berita yang mengejutkan berlaku semalam. Sangka saya ia pasti berkaitan
audit kami yang dijadualkan hujung minggu ini tetapi perkiraan saya silap.
Berita yang mengejutkan itu ada kaitan dengan belon buih seperti yang
diceritakan pelajar perempuan Cina tadi. Ianya adalah tentang kematian seorang
rakan sekerja kami, seorang pensyarah berbangsa Kanada. Dalam satu tragedi
bunuh diri.
“Haaahh...!” saya membeliakkan mata. Belon buih telah pecah.
Beliau yang saya kenali adalah seorang yang lasak. Susuk
tubuhnya tegap walaupun tidak berapa tinggi. Dalam program lawatan syarikat ke
Rompin pada tahun 2009, kami semua mahu mengelak daripada bertemu kumpulan yang
dianggotainya dalam perlawanan Paintball. Di kolej, beliau seorang pensyarah
yang disenangi semua, baik pelajar mahupun kakitangan lain. Beliau malah
menulis buku, satu kualiti yang tidak ramai pensyarah di sini miliki.
Perpustakaan kami menganjurkan program upacara tanda tangan dan pelancaran
bukunya pada tahun lepas. Melihat profil dan pembawaan dirinya yang sering
positif, tiada siapa sangka dia akan mati membunuh diri. Cahaya yang terbias
pada belon buih sememangnya bukan datang dari belon buih itu sendiri.

No comments:
Post a Comment