Pandangan awal apabila mula
membaca novel ini ialah ia persis Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad.
Persamaannya adalah pada gaya penulisan, pelukisan alamnya yang terperinci dan
memikat selain latar desa permai dan kehidupan sukar penghuninya. Kedua-dua
novel ini berhasil meraih emosi pembaca dengan jalan ceritanya yang tragis. Ya,
tragedi adalah genre kesusasteraan bawaan Barat sejak dari zaman Greek kuno
lagi dan meleret-leret sehingga ke era Shakespeare lewat Hamlet dan Macbethnya.
Genre ini mengajak orang meratapi nasib malang dan larut dalam duka nestapa
akibat kesengsaraan yang tidak kunjung padam. Di rantau sebelah sini, di alam
Melayu, penerokaan genre ini seharusnya tidak sebegitu dalam kerana Islam
melarang kita terlalu bersedih sehingga memudaratkan diri sendiri atau lebih
jauh, putus asa dari rahmat Tuhan.
Dalam Seorang Tua di Kaki
Gunung tulisan sasterawan kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah, Allahyarham Azizi
Haji Abdullah, walaupun sisi tragisnya agak kuat dirasai, ia tidak berbumbukan
tragedi ala zaman Greek kuno, tidak seperti novel-novel Melayu lain yang
berkonsepkan popular dan bermatlamatkan penjualan laris. Ia barangkali lebih
tepat jika digelar sebagai melankoli yang mendamaikan. Kehidupan Tukya dan isterinya,
Besah di kaki Gunung Bongsu dilihat begitu sayu, berjuang meneruskan kehidupan
di huma dan di rimba sambil dibayangi kenang-kenangan juga kerinduan terhadap
anak cucu mereka, Fikri, Lamin dan Farid yang sudah lepas ke Kuala Lumpur –
satu kehidupan yang kita agak-agak sebagai pernah dirasai oleh datuk dan nenek
kita pada satu masa dahulu.
Pelukisan alam rimba dengan
pengenalan kepada segala jenis pokok kayu, rotan, daun, akar kayu dan
sebagainya begitu kuat, membawa kita menjelajah sehingga ke ceruk rimba puncak
Gunung Bongsu – menunjukkan pengarangnya begitu kaya dengan pengalaman,
pengetahuan dan perbendaharaan kata tentang hutan rimba. Hutan rimba, puncak
gunung adalah sumber mata pencarian orang kita sejak dari dulu. Ilmu tentang
hutan, pantang larang dan petua-petua sekitarnya adalah rahsia di sebalik
kejayaan kita mengekalkan kelestarian hutan walaupun sejak zaman-berzaman
mengambil segala hasil mahsul daripadanya. Berkaitan itu, novel ini
menceritakan perancangan Tukya membina rumah dengan berpandukan kitab tua
Melayu yang mengandungi rajah (atau pelan) kedudukan serambi, bilik tidur,
pintu, ukuran-ukuran panjang tiang, bilangan anak tangga, arah pandangan rumah
(atau feng shui dalam tradisi Cina), dan waktu-waktu yang sesuai menebang kayu.
“…begitu kotak fikir Tukya terbuka luas. Semuanya diingat.“Dan lagi tempat tidur itu dari serambi matahari jatuh itu dan tempat tempayan itu disusur tiang tengah serambi itu jangan tiada, inilah salasilah orang tua-tua dahulukala sampai pada masa ini itulah adanya bohongnya juga, wallahuaklam.”
(hlm. 181, Seorang
Tua di Kaki Gunung)
Selebihnya adalah emosi dan
kedegilan Tukya menongkah arus usia tua yang kuat mahu menghanyutkannya ke
muara hidup. Adalah inspirasi dalam novel ini, semangat melawan Tukya, sikap
tidak mahu mengaku kalah dan tekal menewaskan kemustahilan. Ia terlihat dalam
babak Tukya selepas diserang sekumpulan lebah apabila dia tidak mahu
menunjukkan rasa sakitnya kepada Lamin walau dengan riak wajah sekalipun. (Membaca
babak ini sebenarnya mengingatkan saya kepada almarhum Ayah sewaktu ditimpa
sakit dulu yang tidak merungut sedikit pun, hatta menunjuk wajah sakit pun
tidak mahu, walaupun ia terpapar juga pada kerutan dahi dan kejipan matanya.)
Sikap acuh tak acuh Fikri,
sinis isterinya, ejekan Farid walaupun mengguris jiwa Tukya tetapi ia lalu
menjadi semacam cabaran untuk membuktikan sesuatu kepada mereka – membina rumah
baru yang lebih kukuh. Fikri adalah watak tipikal anak kampung berhijrah ke
kota selepas kejayaan cemerlang di universiti hasil biasiswa kerajaan, menjadi lupa
diri selepas berkerjaya dan berkeluarga. Tukya dan Tuk Besah sudah jadi asing
baginya, baik kehidupannya, pemikiran dan cara berbual. Keengganan Tukya dan
Tuk Besah mengikut mereka tinggal di bandar tidak dapat lagi difahami Fikri
sebaliknya dianggap sebagai satu kedegilan. Dan Fikri gagal menyelaraskan
kepentingan diri dan keluarganya dengan kehendak orang tuanya mengakibatkan dia
menanggung penyesalan hidup di kemudian hari.

No comments:
Post a Comment