![]() |
| Kredit gambar: bigdogdotcom |
Secara keseluruhan, saya
melihat filem Tanda Putera sebagai "tidak menarik". Tidak pernah meminati karya
Shuhaimi Baba, saya walaubagaimanapun mahu memberi peluang untuk menonton filem
yang ini, yang telah ditunda tayangannya beberapa kali ekoran kontroversi yang
kononnya ia timbulkan. Kontroversi yang ditimbulkan dalam filem ini walaubagaimanapun
tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan lewat laman sosial di internet. Saya fikir,
orang Melayu tidak akan membenci orang Cina sebegitu rupa, begitu juga
sebaliknya hanya dengan menonton filem ini. Malah, jika itu pun tujuan filem
ini dibikin, saya fikir ia tidak berjaya kerana Tanda Putera terlalu
sentimental, melankoli selain terlalu perlahan. Babak-babak rusuhan yang
dikatakan terlalu memberi gambaran negatif kepada orang Cina dan DAP pada saya
tidaklah keterlaluan. Parti Gerakan turut disorot dalam filem ini sebagai
pembangkang yang mengadakan tunjuk perasaan, bukan DAP sahaja. Malah, orang
Melayu turut digambarkan sebagai tidak rasional dalam suasana tidak menentu
pada masa itu. Maka, kenyataan bahawa Tanda Putera menghina kaum Cina adalah kenyataan
yang berat sebelah dan mengandungi falasi retorikal.
Ia mahu menonjolkan Tun
Razak dan Tun Dr. Ismail, saya tidak ada masalah dengan itu, tetapi pada saya kehebatan
gandingan dua tokoh itu perlu ditonjolkan bukan hanya dari sudut emosi yang
mahu menarik-narik keluar air mata penonton. Jasa mereka perlu dinyatakan
secara jelas. Sebagai contoh, alangkah baiknya jika dinyatakan bahawa alasan
Tun Dr. Ismail menangguhkan pembedahannya adalah kerana beliau sedang dalam
proses merangka undang-undang membanteras rasuah pada masa itu, dan juga tunjukkanlah
bagaimana kepintaran beliau menghadapi cabaran PAP Singapura yang pragmatik itu
hanya melalui beberapa set permainan golf dengan Lee Kuan Yew. Dan kalau pun Tun
Razak ingin digambarkan sebagai seorang yang lembut, ia tidak harus dibuat
sehingga menampakkan beliau sebagai seorang yang lemah. Adegan Tun Razak
menangis, selain Tunku menangis, Tun Hussein Onn menangis, Tun Rahah menangis,
Neno menangis, pembantu peribadi Tun menangis mengambil terlalu banyak ruang dalam
Tanda Putera. Malah, Ketua Polis Negara turut menangis!
Selain itu, saya tidak pasti
dengan babak dalam pawagam apabila tiba-tiba tayangan dihentikan sebelum
terpapar sebaris ayat dalam tulisan Cina, sebelum orang Cina semuanya keluar
dari pawagam agar orang Melayu boleh dibunuh. Saya fikir ini hanya propaganda yang
sering dimainkan dalam program BTN. Dan seperti yang ditanya Razak, "dari mana
datangnya kebencian ini?", saya fikir soalan ini masih tidak dapat dijawab
sehingga ke hari ini.
Tanda Putera sepenuhnya
adalah tentang Tun Razak dan Tun Dr. Ismail. Tindakan kedua-duanya merahsiakan
penyakit masing-masing daripada pengetahuan umum demi masa depan negara adalah
pelakuan terpuji yang mengharukan. Memang wajar kisah sebegini diangkat untuk
diceritakan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa pada satu masa dahulu memang
wujud watak pemimpin kerajaan yang sanggup mengutamakan kepentingan negara
berbanding dirinya sendiri, tidak seperti sekarang. Dan berbanding mencari
kelemahan filem ini secara berlebih-lebihan walaupun tanpa menontonnya sendiri,
sebenarnya kita tetap punya sesuatu yang boleh diinsafi dan dipelajari
daripadanya iaitu apabila kematian itu datang, negara yang kita cintai ini pun
akan kita tinggalkan. Tetapi, jika kita telah meninggalkan jasa yang besar
kepada negara, harap-harap jasa itu akan dikira sebagai kebaikan oleh Allah Ta’ala
dan mampu menyelamatkan kita daripada azab kubur.

No comments:
Post a Comment