![]() |
| Kredit gambar: Wikipedia |
Pada tahun 2011 dulu sewaktu
novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain baru disedari sebagai mencetuskan
polemik sensitiviti kaum, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP telah bertindak menarik
keluar semua keluaran buku tersebut dari perpustakaan negeri Pulau Pinang, satu
tindakan yang tidak bersifat akademik sebaliknya lebih berbaur emosi dan buru-buru.
Interlok sebagai satu novel sejarah punya signifikannya sendiri sebagai alat
perakam waktu, merekod peristiwa yang berlaku pada zaman itu. Sebarang kecenderungan
atau bias di tangan penulisnya, maka terserah kepada kebijaksanaan pembacalah
untuk menapisnya, menerima atau menolak mana-mana isi yang berkenaan. Malah, bagi
orang yang percaya kepada istilah "pengarang sudah mati" (istilah The Death of
the Author disebut oleh pengarang Perancis, Roland Barthes sebagai tajuk
eseinya yang ditulis pada tahun 1967), segala masukan dari bahan bacaan tidak
lebih dari sekadar maklumat yang tidak akan berupaya mengubah pembaca. Pembaca punya
kayu ukur sendiri yang dibentuk lewat pengalaman hidup, pendirian, kedegilan,
lingkungan sosial dan lain-lainnya. Di akhir pembacaan, pembaca akan menentukan
sendiri sikapnya terhadap perkara yang dibangkitkan si penulis. Penulis tidak
ada apa-apa peranan lagi. Penulis "sudah mati".
Maka, tindakan mengharamkan
Interlok tidak akan menampakkan sebarang kebijakan kepada Pulau Pinang dan DAP.
Apa yang lebih ternampak ialah betapa mereka punya kuasa untuk melakukan itu semua dan tiada siapa mampu menghalang.
Mengulangi sikap tersebut,
hari ini DAP Pulau Pinang bertindak mengharamkan pula penayangan filem Tanda
Putera arahan Shuhaimi Baba atas alasan yang sama: sensitiviti kaum. DAP
mungkin terlalu tidak yakin kepada kemampuan intelektual penduduk negeri itu
untuk menilai mana yang intan, mana yang kaca lalu bertindak mahu melindungi
kelemahan mereka dengan mengelakkan terus warga Pulau Pinang daripada menonton
filem tersebut. Sekali lagi wacana kekuasaan tampil di muka, mengambil alih
wacana intelektual dan dialog. Saya teringatkan Umno. Apakah lagi yang tinggal
kepada kita selain para penghukum ini?

No comments:
Post a Comment