Friday, November 29, 2013

Ulasan Buku: Mustafa Kamal Ataturk: Penegak Agenda Yahudi

(Kredit: Goodreads)


Judul: Mustafa Kamal Ataturk: Penegak Agenda Yahudi
Pengarang: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd
Tahun: 2011
Bilangan halaman: 403 muka surat
Harga: RM 25

Walaupun masih agak keliru dengan terma novel sejarah, saya fikir masih boleh mengambil manfaat yang ada darinya. Kekeliruan tentang terma mungkin seputar disiplin ilmu sejarah yang bersandarkan fakta yang benar; yang sama sekali berbeza dengan novel yang berbentuk penceritaan (naratif) berbentuk rekaan (fiksyen). Fakta dengan fiksyen tidak mungkin boleh bersatu, tetapi demi mengambil manfaat yang ada atas semangat "hikmah adalah barang kaum Muslimin yang telah hilang, di mana saja ia menemukannya, maka ambillah", marilah kita raikan penghasilan karya berbentuk sebegini dengan tindakan cermat dan fikiran waras.

Dilihat dari aspek positif, sekurang-kurangnya PTS telah merintis jalan kepada pembacanya untuk mempelajari ilmu sejarah, bermula dari peringkat awal. Adalah lebih mudah dan ringan belajar sejarah dengan novel ini, ia boleh mencetus minat dan merangsang daya usaha untuk belajar lebih tinggi dengan merujuk buku-buku sejarah yang lebih besar dan berwibawa. Buku ini sesuai dibaca kanak-kanak, remaja malah orang dewasa yang berminat dengan sejarah dan cerita, peristiwa besar yang pernah berlaku di dunia ini satu ketika dulu. Ia bercerita dengan gaya buku cerita; lengkap dengan urutan peristiwanya dan dialog-dialog yang dituturkan oleh watak-watak dalam cerita tersebut. Untuk menghasilkannya, penulisnya, Abdul Latip Talib (Pak Latip) tidak semberono malah merujuk buku-buku tertentu selain pergi sendiri ke Turki demi mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan. Selain menceritakan kejahatan Mustafa Kamal Ataturk, buku ini turut memasukkan sedikit cerita Abu Ayyub Al-Ansari Radhiallahu 'anhu, sahabat Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi wa Sallam yang panjang umurnya dan dapat berkhidmat kepada Khalifah Muawiyah dan anaknya Yazid dalam perang untuk membuka Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya yang berjaya membuka Konstantinopel 800 tahun selepas kesyahidan Abu Ayyub, dan Sultan Abdul Hamid yang disingkirkan dari istana oleh Ataturk.

Dari sudut yang lebih besar, buku-buku Pak Latip dilihat berperanan sebagai pengimbang kepada lambakan novel cinta picisan di pasaran yang menghancurkan pemikiran pembacanya. Genre novel Pak Latip nyata ada peminatnya sendiri dan mewujudkan satu riak budaya baru yang sihat. Seharusnya ia disokong dan ditambah baik di mana-mana yang perlu dengan harapan akan lahir dari kita golongan pembaca yang mencintai sejarah bangsanya, mengukuh jati diri seterusnya menjadi umat yang kuat dan tidak mudah tewas oleh gelombang pemikiran yang menyesatkan.

No comments: