Thursday, December 12, 2013

Menziarahi Makam Dato' Dol Said


Makam Dato' Dol Said di Taboh Naning, Alor Gajah.


Saya dan isteri dalam perjalanan pulang ke Klang selepas bercuti selama beberapa hari di Jasin dan Tangkak. Kami turut bermalam untuk satu malam di Shah’s Beach Resort di Tanjung Keling untuk menghabiskan cuti. Dari sana, kami perlu melalui Plaza Tol Alor Gajah untuk ke Lebuhraya Persekutuan sehingga pandangan saya tertumpu kepada satu papan tanda "Makam Dato’ Dol Said" beberapa kilometer di hadapan. Saya terus membuat keputusan untuk singgah sebentar di sana dan tidak mengambil arah pukul tiga bulatan untuk ke Plaza Tol Alor Gajah. Jam menunjukkan kira-kira kurang lima minit jam satu. Saya memasuki kawasan Masjid Dato’ Dol Said terus ke kawasan perkuburannya di mana Makam Dato’ Dol Said terletak. Menaiki tangga binaan makam, saya menghadiahi bacaan Surah Al-Fatihah dan doa kepada roh pejuang Melayu ini. Sewaktu merakam beberapa gambar, azan Zuhur dikumandangkan dari dalam masjid. Saya kembali ke kereta mengambil kopiah dan masuk ke masjid, menunaikan solat fardhu Zuhur dan jamak Asar di sana.

Menziarahi Makam Dato’ Dol Said membuatkan saya mencari semula sejarah perjuangan bekas penghulu Naning ini. Beliau dikatakan enggan menurut perintah British untuk membayar cukai atas kepercayaannya bahawa Naning adalah wilayah yang merdeka dari kekuasaan Melaka yang dikuasai British. Bukan sekadar cukai, beliau juga menentang pelaksanaan Undang-undang Penghulu yang diperkenalkan British ke atas Naning. Atas sikap enggan mengalahnya itu, British telah menghantar tenteranya untuk menakluk Naning pada tahun 1831 namun Dato’ Dol Said lebih bersedia dengan ketumbukan pejuang seramai seribu orang dari sekitar daerah Seri Menanti, Johol, Sungai Ujong, Rembau sehingga ke Muar. British dimalukan apabila tewas di tangan Dato’ Dol Said. Namun, mereka mencuba lagi setahun berikutnya kali ini dengan mengacum Yamtuan Raja Muda Ali dari Rembau agar menyebelahi mereka. Raja Ali bukan sahaja bertindak meninggalkan perjuangan Dato’ Dol Said malah telah menghantar 600 orang hulubalangnya menyerang Naning. Dato’ Dol Said yang kehilangan sokongan akhirnya berundur ke Seri Menanti sebelum tewas. Naning jatuh ke tangan British dan kekal berada di dalam Melaka sehingga sekarang.


Keteguhan ‘aqidah, perjuangan menentang penjajahan, jiwa merdeka, kesatuan hati, persaudaraan atas nama agama, pengkhianatan adalah pelajaran-pelajaran yang boleh kita ambil dari peristiwa Perang Naning. Jihad melawan kuffar pernah berjalan di bumi Malaysia dan kita pernah memenanginya sebelum tewas. Sehingga penjajah yang bersilih ganti meninggalkan kita, satu demi satu sistem nilai kita telah terlerai; undang-undang tempatan, sistem cukai, sistem tanah, pembahagian wilayah, ukhuwwah Islamiyyah dan semangat jihad. Sejarah ada di sana untuk kita pelajari dan ambil iktibar darinya, berulang dan berulang dalam bentuk-bentuk berbeza. Hanya terserah kepada kita untuk menyedarinya atau tidak.


Kawasan perkuburan Masjid Dato' Dol Said.
Papan tanda melarang upacara syirik dan khurafat.

Masjid Dato' Dol Said dari depan.

Sebahagian jemaah Zuhur. Agak ramai kerana ada jemaah Tabligh.

No comments: