Monday, March 24, 2014

Ulasan filem: The Journey (2014)



Filem ini mula menarik perhatian umum setelah berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM 17 juta, mengatasi filem KL Gangster yang sebelum ini nombor satu dari segi penjualan tiket. Tanpa promosi besar-besaran di kaca TV, billboard, surat khabar dan sebagainya, satu-satunya cara berita tentang wujudnya filem ini sampai ke khalayak adalah apabila ia berjaya memecah rekod kutipan di pawagam. The Journey adalah filem ringkas dan mudah yang berjalan di atas satu garisan linear. Ia sama sekali tidak mengambil sifir filem-filem popular dan box-office yang memerlukan gangster, hantu, mat rempit, artis lelaki berwajah jambu, artis baru wanita berwajah suci dan pelawak polos sebagai pendukung utamanya. Sebaliknya, majoriti pelakonnya adalah orang kebanyakan yang sama sekali tidak pernah beraksi di depan kamera sebelum ini, terdiri daripada penjual mi di Seremban, pengumpul barang antik, pemerhati burung, pengusaha sekolah tadika, bekas polis dan lain-lain – hampir kesemuanya pesara yang telah melepasi umur 60 tahun.

The Journey adalah satu kisah keluarga Hokkien yang tinggal di kabin di lereng tanah tinggi Cameron Highland. Pakcik Chuan setelah kematian isterinya telah membuat keputusan menghantar anak perempuannya, Bee yang berusia lapan tahun ke England demi pendidikan yang lebih baik walaupun Bee tidak berfikir sedemikian. Hanya apabila Bee dewasa dia kembali ke Cameron Highland menjenguk ayahnya di rumah walaupun mungkin tujuannya sudah bercampur dan berkait dengan lelaki Eropah yang dibawanya sama ke sana. Drama yang berlaku dalam keluarga ini ialah sekitar pertentangan antara tradisi Cina yang cuba dipertahankan si ayah dengan budaya baru yang dibawa Bee dan kekasihnya, Benji. Mungkin akibat masih terpelihara dalam ciri-ciri Timur, pertentangan tersebut tidaklah berlaku terlalu dramatik malah di mana-mana pengarah masih sempat menyelitkan beberapa adegan lucu sebagai memberi warna kepada filem ini.

Namun warna yang paling nyata dalam filem ini bagi saya ialah warna suram kelabu kesedihan yang dibayangkan dengan jelas melalui watak Pakcik Chuan lakonan Frankie Lee yang berusia 73 tahun. Beliau membawa watak seorang bapa kampung tipikal yang tidak suka perubahan dan benda-benda baru termasuklah idea bermenantukan orang putih. Namun, atas sikap seorang bapa, dia tetap mahukan perkara terbaik untuk anak gadisnya. Sikap tersebut terpapar melalui kesungguhannya menjemput kesemua bekas rakan sekelasnya di sekolah rendah dan kedegilannya mahukan mereka semua hadir. Dalam satu babak, rakannya yang menangis apabila melihat kad jemputan kerana teringatkan anaknya yang telah mati, tetap diingatkan Pakcik Chuan agar jangan lupa hadir majlisnya. Pakcik Chuan pergi sehingga ke Pulau Pinang membonceng Benji demi berjumpa rakan-rakannya mengedar kad jemputan. Pada satu malam apabila mereka terpaksa berhenti di bawah jambatan akibat hujan lebat, Pakcik Chuan memaksa Benji meneruskan perjalanan walau dalam kebasahan kerana mengejar masa.

Sepanjang perjalanan, mereka berdua berkomunikasi seperti ayam dengan itik akibat tidak memahami bahasa masing-masing. Walaupun begitu, perjalanan tersebut tetap berhasil sehingga Pakcik Chuan membuat keputusan untuk patah balik ke rumah untuk menyambut hari jadi Bee, hanya untuk mendapati Bee tiada di sana kerana tidak sempat pulang dari kunjungan ringkasnya ke Sabah – satu lagi babak yang mengundang air mata. Namun, di sebalik halangan bahasa antara Pakcik Chuan dan Benji, perbualan mereka berdua pada satu malam sewaktu Benji membuat pemeriksaan terakhir belon udara, dapat difahami kedua-dua mereka apabila Pakcik Chuan berpesan kepada Benji dengan ikhlas agar menjaga anaknya, Bee dengan bersungguh-sungguh. Di sini, pengarah barangkali mahu berpesan bahawa bahasa kemanusiaan boleh menjadi jambatan menghubung kefahaman melangkaui bahasa ciptaan manusia.

Sebagai satu naskhah, filem ini berjaya menyampaikan pesan-pesan manusiawi yang menyentuh hati. Latar pemandangan yang indah, plot yang lancar, klimaks yang mengejutkan tetapi dibina perlahan-lahan mengindahkan lagi keseluruhan filem ini. Cuma pesan moral yang dibawanya jadi ironi apabila digambarkan Bee hamil anak Benji tanpa nikah. Ia jadi satu titik nila yang boleh merosakkan sebelanga susu putih yang mewakili kemurnian filem ini. Pengarahnya, pada saya tidak perlu memakai premis hal tersebut sudah menjadi realiti masyarakat kerana karya tidak terikat dengan apa-apa malah bersifat bebas. Tetapi, ia juga tidaklah lebih buruk daripada selonggok drama-drama Melayu yang mengangkat watak perogol yang baik hati sebelum jatuh cinta dengan gadis yang dirogolnya itu.

Sebelum The Journey, saya pernah menonton dua lagi filem Cina tempatan lain, Nasi Lemak 2.0 dan Kepong Gangster. Harus saya katakan kesemua filem ini jauh lebih baik daripada filem-filem Melayu yang berselera rendah dan mahu wang segera seperti Hantu Dalam Botol Kicap, Satu Malam Kubur Berasap, Bini-biniku Gangster, Bro, Nampak Motor Gua?, Wawa Semput, dan ah, senarainya tidak akan habis. Barangkali sudah tiba masanya filem Cina mengambil tempatnya dalam landasan perfileman Malaysia dan menghasilkan filem-filem bermutu berwajah Malaysia seraya mengetuk kepala pengusaha filem Melayu agar sedar dari lamunan mereka yang sangat panjang.


Satu babak dari filem The Journey, diambil dari sini

2 comments:

Haslina Othman said...

Haizir,

Satu ulasan yang sangat menarik. Hmm...sayang Kak Ina tak sempat nak menontonnya.
Teruskan berkarya adikku. :)

Haizir said...

Terima kasih, Kak Ina. Hmm.. tengok kat Astro First je. :)