Wednesday, March 19, 2014

Ulasan buku: Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang



Judul: Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang
Pengarang: Zul Fikri Zamir Mohamad Munir
Penerbit: Dubook Press & Publication Malaysia
Tahun: 2013
Bilangan halaman: 210 muka surat
Harga: RM 20

Buku ini sebenarnya merupakan himpunan esei Zul Fikri Zamir yang kebanyakannya tersiar di laman sesawang The Malaysian Insider, kebanyakannya berkisar isu pendidikan dan berkait pula dengan perkara-perkara lain seperti kemandulan idealisme mahasiswa, hilangnya peranan sebenar sekolah dan universiti, peluang golongan marjinal mendapat peluang pendidikan dan lain-lain lagi. Zul Fikri nyata kecewa dengan apa yang berlaku apabila sekolah dan universiti terlihat gagal melahirkan insan kamil seperti yang tertera dalam Falsafah Pendidikan Negara sebaliknya hanya menghasilkan robot-robot bernyawa yang fungsinya tidak lebih daripada memenuhi tuntutan kapitalisme dan konsumerisme. Kekecewaan itu tersebar merata-rata dan dapat dilihat dengan jelas dalam buku ini. Kekecewaan itu bukan sahaja kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (selepas ditukar semula dari Kementerian Pelajaran; keseluruhannya tiga kali tukar), malah kepada mahasiswa universiti, Institut Perguruan, AUKU, PTPTN, Jakim, rausyanfikir jadi-jadian, dan Rafizi Ramli. Zul Fikri menyelar mahasiswa jurusan ekonomi yang tidak mahu respon kepada fenomena kegawatan ekonomi yang melanda negara ini khasnya dan dunia amnya sebaliknya menyerahkan urusan tersebut bulat-bulat kepada idea-idea Najibnomics dan Model Rafizi. Yang selebihnya, duduk di dalam bilik bermain Dota atau sedang mencuba-cuba tudung baru sebagai persediaan menjadi calon model tudung Fareeda.

Zul Fikri nyata berminat dengan idea "pendidikan untuk semua". Idea ini malah telah tergaris dalam penyataan Unesco bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan. Idea-idea Paulo Freire lewat karyanya Pedagogy of the Opressed (ada terjemahahan dalam bahasa Melayunya, Pedagogi Kaum Tertindas) berlegar-legar di lembar-lembar halaman buku ini. Apa yang lebih menarik ialah Zul Fikri tidak memperjuangkan idea tersebut hanya dalam teks, malah menubuhkan Teach For The Needs (TFTN) bersama rakan-rakannya yang berjuang memberi pendidikan kepada kanak-kanak yang sebahagiannya mungkin telah pun "dihukum tembak" oleh guru-guru mereka. (Istilah "hukum tembak" saya dengar sendiri dari seorang guru Bahasa Melayu sewaktu menjadi Guru Sandaran pada tahun 2004, merujuk kepada murid-murid yang terlalu lemah dan dianggap tidak dapat diselamatkan lagi.)

Saya teringat pernah membaca dialog di FB antara sama ada Zul Fikri atau Anas Alam Faizli, rakan rapat Zul dalam TFTN, dengan seorang penganut ideologi malam Sabtu berkisar perjuangan TFTN. Mungkin ada disebutkan beberapa terma falsafah, petikan dari Al-Ghazali, dan lain-lain dalam dialog itu mempersoalkan kewajaran idea yang diangkat TFTN. Tetapi berselirat dan berbelit seteruk mana pun aliran pemikiran yang mereka keluarkan, kanak-kanak marjinal akan tetap terpinggir jika tiada anak-anak muda seperti dari TFTN yang mahu melaburkan sebahagian dari diri mereka untuk pendidikan dan sejalur harapan buat kanak-kanak tersebut.


4 comments:

Fadzlin said...

Pak Busu,

Menarik kalau dapat baca perdebatan tu. Ada link lagi?

Haizir said...

Ada cari jugak tapi tak jumpaa... Lama dah baca.

siti khadijah said...

Apabila masih ada lagi anak muda seperti Zul Fikri itu, orang tua macam Kak Ngah ni terasa lega.

Haizir said...

Terima kasih, Kak Ngah. :)