Sunday, May 04, 2014

Ulasan Buku: Stereo Genmai


Judul: Stereo Genmai
Pengarang: Ridhwan Saidi
Penerbit: Moka Mocha Ink Trading
Tahun: 2012
Bilangan halaman: 147 muka surat
Harga: RM 22

Ini adalah novel keempat Ridhwan Saidi yang saya baca selepas Mautopia, Amerika dan Cekik, yang mewakili kesemua novel tulisannya setakat ini. Daripada kesemuanya, saya paling meminati Amerika dan paling terganggu dengan Mautopia. Ridhwan, graduan senibina universiti tempatan memiliki pandangan berbeza terhadap gaya penceritaan dan membenci konvensional. Beliau mewakili suara generasi baru penulis masa kini yang meneroka jalan baru penulisan, yang agak tidak biasa dilalui.

Stereo Genmai bagi saya adalah ruang imaginasi Ridhwan yang sangat luas. Plot berkisar seorang penulis novel yang bercinta dan bergaduh dengan watak novelnya sendiri adalah satu idea hebat, dibantu dengan gaya bahasa lincah yang memikat. Di dalamnya, pembaca dibawa ke dalam dan ke luar novel secara sekejap-sekejap; pada kebanyakan masa kita tidak mengetahui ke arah mana novel ini ingin dihalakan – tanda bermulanya masalah saya dengan novel ini. Selepas menyedari keadaan ini, saya mula membaca dengan laju dan kadangkala zig-zag dan akhirnya tidak menemui apa-apa di muka surat terakhir selain keupayaan penulis untuk menulis dengan panjang lebar. Bolehlah dikatakan saya agak kecewa dengan Stereo Genmai kerana jangkaan saya sebenarnya telah ditandakan oleh tiga novel awal Ridhwan. Namun, saya tetap puji kreativiti, keberanian dan menongkah arus Ridhwan dalam novel ini dan novel-novelnya yang lain. Tajuk "Stereo Genmai" itu sendiri sudah kreatif dan menarik hati selain kulitnya yang juga begitu.

Oh, ya! Semasa membaca novel ini juga, saya berharap ia dijadikan filem. Ridhwan sangat berbakat dalam menceritakan sesuatu secara terperinci. Semasa menceritakan babak Raslan terperangkap dalam Pavi sebelum bertemu Delia yang ingin membawanya keluar, saya dapat membayangkan bagaimana eskalator Pavi yang menyambungkan mereka ke BBGS mula menghilang secara perlahan-lahan sebelum malam bertukar siang. Bakat ini ditandai dengan minat mendalam Ridhwan terhadap filem di mana beliau turut menghasilkan filem-filem pendek dan menulis esei-esei filem di blognya binfilem.blogspot.com. Namun, jika Ridhwan menulis novel lagi, saya rasa saya akan beli juga nanti.


(kredit gambar: Goodreads)

No comments: