![]() |
| Kredit gambar: Goodreads |
Judul: Politik
Kandang
Pengarang: George
Orwell
Penterjemah:
Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Penerbit:
Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun:
2014
Bilangan halaman: 150 muka surat
Bilangan halaman: 150 muka surat
Nombor
ISBN: 978-967-430-424-9
Harga: RM 35.00 (Semenanjung Malaysia) / RM 40.00 (Sabah & Sarawak)
Harga: RM 35.00 (Semenanjung Malaysia) / RM 40.00 (Sabah & Sarawak)
Nombo
resit: ITBM02000264
Pengulas:
Haizir Othman
Politik Kandang,
terjemahan Animal Farm karya novelis
tersohor British, George Orwell adalah karya unggul yang bersifat merentas
zaman. Dihasilkan pada tahun 1943 – 1944 dan diterbitkan pada tahun 1945,
adalah sangat mudah bagi penulis untuk terpengaruh dengan keadaan sosiopolitik dunia
pada masa itu yang ditandai peristiwa besar Perang Dunia Kedua dan kelahiran
ideologi-ideologi baru yang mengubah dunia.
Buku ini menampakkan sisi yang diwakili dan diberikan simpati oleh
penulis iaitu golongan kelas pekerja dan sifat anti-establishment yang mereka tunjukkan. Perwakilan ini
ditunjukkan dengan cara yang sangat sinis, pada masa yang sama, cerdik, apabila
penulis memilih sekawan binatang di Ladang Binatang untuk memainkan watak-watak
golongan kelas pekerja yang berjaya mencetuskan revolusi dengan mengusir tuan
mereka yang bersifat diktator, Tuan Jones dari ladang mereka.
Pemberontakan para
binatang dipimpin sekumpulan babi yang diketuai Snowball dan Napoleon seakan-akan
membawa sinar baru harapan kepada Ladang Binatang, apabila kepimpinan bertukar dari
Tuan Jones kepada ketua di kalangan mereka sendiri. Namun, tiada siapa di
kalangan mereka mengetahui pada satu hari nanti babi-babi ini juga akan jatuh
korup dan mengkhianati revolusi yang dicetuskan mereka sendiri. Mereka menggubal
undang-undang yang dinamakan Rukun Tujuh sebegai perlembagan tertinggi Ladang
Binatang, hanya untuk diubah secara licik di kemudian hari demi memenuhi
cita-cita peribadi dan kepuasan sendiri. Apabila para babi mula mendiami rumah
ladang, tidur di atas katil, berpakaian seperti manusia dan berjalan dengan dua
kaki, itulah saatnya para binatang mula kehilangan harapan yang baru berputik
dan ironisnya, mereka disembelih dengan lebih kejam oleh kalangan mereka
sendiri berbanding oleh tuan lama mereka.
Bagi negara-negara
yang pernah berdepan dengan pengalaman revolusi, situasi sebegini mungkin ada
relevannya dengan mereka apabila pencetus revolusi yang berhasil menumbangkan
penguasa dan mengambil alih tampuk kepimpinan kemudiannya terjangkit dengan
penyakit gila kuasa dan akhirnya menjadi lebih zalim daripada penguasa yang dia
sendiri tumbangkan. Di sinilah terletaknya
kebijakan Orwell bermain dengan unsur satira, menyindir para politikus di
seluruh dunia dengan kelincahan mata penanya betapa perubahan bukanlah perlu
dilakukan semata-mata atas nama perubahan kerana tanpa persediaan yang rapi, perubahan
yang diharapkan membawa kebaikan itu akan mendatangkan hasil yang sebaliknya.
Jatuh-menjatuh, tikam
belakang, merampas jasa orang lain adalah sifat-sifat manusia dalam berpolitik
yang dipaparkan dalam novel ini dengan cukup jelas khususnya melalui watak
Napoleon dan Snowball. Seekor lagi babi, Squealer adalah watak opportunist, sang penjilat Napoleon khususnya
setelah Snowball berjaya disingkirkan dari persaingan merebut pengaruh di
Ladang Binatang, selain berperanan mewajarkan segala tindakan Napoleon, walau
seteruk mana pun ia. Fitnah, pengemukaan bukti palsu, ancaman kepada
bahaya-bahaya yang sebenarnya tidak wujud digunakan Squealer dalam
propagandanya dalam meraih kepercayaan para binatang kepada Napoleon. Anak-anak
anjing yang dibesarkan Napoleon digunakan sebagai polis apabila mereka besar
untuk menakut-nakutkan para binatang dan mengelak sebarang usaha pemberontakan
dalaman. Beberapa ekor binatang yang dipercayai berpihak kepada Snowball telah
dibunuh kejam demi mengekalkan status quo kepimpinan Napoleon. Malah, pekerja mereka
paling setia dan rajin, Boxer, seekor kuda tua yang masih gagah tetap
dijatuhkan hukuman dihantar ke rumah sembelihan hanya kerana mempunyai
pandangan yang berbeza dengan pemimpin agung mereka itu.
Babak akhir novel ini
memaparkan para binatang meninjau dari luar jendela rumah ladang akan
permuafakatan yang sedang berlaku antara babi-babi dengan Tuan Pilkington,
seteru Tuan Jones, bersama rakan-rakannya yang lain bahawa persengketaan selama
ini antara manusia dengan binatang telah pun ditamatkan. Manusia telah
mengiktiraf para binatang sebagai mempunyai kedudukan yang setara dengan
mereka. Apabila mereka masing-masing meraikan hari tersebut dengan minum ucap
selamat sebelum bermain permainan kad, kesemua mereka, para manusia dan babi,
dilihat oleh para binatang lain dari luar jendela sebagai sama sahaja sehingga
tidak dapat membezakan antara keduanya. Inilah penyataan paling tegas dari
Orwell yang diletakkannya pada ayat paling akhir novel ini, satu penyataan yang
mengkritik dengan sangat keras pelakuan sebahagian manusia politikus yang
saling tidak tumpah seperti haiwan. Maka, tidak salahlah ungkapan haiwan politik
yang telah pun dicapkan kepada manusia sejak sekian lama itu dan telah
terungkap dengan sangat baik oleh George Orwell dalam novel ini. Sekalung penghargaan
kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atas usaha menterjemahkan
karya yang hebat ini.
Nota: Ulasan buku ini dibuat sempena Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala
Lumpur 2014.

No comments:
Post a Comment