Sunday, December 14, 2014

Suara kecil dari hujung lorong



2014 sudah pun hampir berakhir tapi saya masih belum menulis tentang kelahiran “anak sulung” saya; kumpulan puisi yang diberi tajuk Espionaj yang mula terbit 1 November lalu. Sejak mula mencuba-cuba menulis puisi kira-kira sepuluh tahun lalu, saya tidak terfikir untuk menerbitkannya dalam bentuk buku. Tetapi lama-kelamaan apabila koleksi puisi sudah mula bertambah, saya perlu memikirkan satu cara untuk menghimpunkannya dalam satu peranti agar ia tidak tersepah merata-rata sebelum hilang begitu sahaja. Blog adalah satu cara paling mudah dan berkesan. Maka saya memulakan blog puisi, Tekan Butang pada tahun 2006 untuk menghimpun puisi-puisi saya  dalam satu arkib. Selain blog, puisi saya juga berada di laman esastera.com, komuniti puisi yang saya sertai sejak tahun 2005.

Membukukan puisi adalah impian yang timbul selepas itu. Saya fikir, mempunyai buku sendiri adalah impian semua penulis. Mujur saya bertemu sekumpulan rakan penyair yang cool dalam esastera, impian saya itu akhirnya dapat disalurkan ke jalan yang sepatutnya. Saya perlu berterima kasih kepada rakan baik saya, Fazallah Pit, bekas wartawan Berita Harian dan Ketua Editor Suara Keadilan sebelum kini menjadi Ketua Editor Selangor Kini, yang sering mendesak saya untuk menerbitkan kumpulan puisi persendirian. Tanpa desakannya, Espionaj mungkin tidak terterbit sehingga kini sebagai satu karya kecil di dunia kesusasteraan tanah air.

Kepuasan seterusnya adalah apabila Espionaj dibeli dan dibaca orang, terutama oleh orang yang berada di luar lingkungan rakan sendiri dan saudara-mara. Semoga ada manfaatnya kepada para pembaca buku ini dan kepada diri saya sendiri. 



No comments: