Tuesday, May 29, 2018

Kemenangan HARAPAN elak bencana

Oleh HAIZIR OTHMAN

Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu disifatkan sebagai satu perubahan yang dapat mengelak bencana kepada negara.

Bekas duta Malaysia, Dennis Ignatius berkata kita hampir menggadai kemerdekaan dan kedaulatan negara akibat dasar cuai bekas Perdana Menteri Najib Razak terhadap China.

"Empat perkara boleh berlaku jika Najib terus berkuasa," tulisnya dalam blog dennisignatius.com.

Katanya, projek-projek mega yang mengutamakan kepentingan China dan mempunyai agenda serantau negara itu akan giat dijalankan walaupun ia mengatasi kepentingan negara kita sendiri.

Dennis Ignatius

"Akhirnya kita hanya akan dipenuhi projek-projek infrastruktur yang tak berguna," kata penulis buku Diplomatically Speaking itu.

Tambahnya, projek-projek mega tersebut bakal mencetuskan rasuah ke tahap tertinggi. Beliau memetik contoh diberi seorang ahli Majlis Penasihat, Dr Jomo KS yang memberi amaran bahawa projek ECRL adalah 1MDB dalam pembikinan.

"Pembinaan pelabuhan (Kuantan) juga tidak masuk akal. Ia hanya jadi medan mengkayakan politikus korup dan kroni-kroni mereka. Wang kotor dialirkan dari projek-projek ini akan merosakkan sistem politik dan demokrasi negara kita," katanya.

Menurutnya lagi, Malaysia akan menanggung hutang besar kepada China sehingga mampu mengorbankan kemerdekaan dan integriti. Malah, kita mungkin terpaksa memajak pelabuhan dan tanah kepada negara itu seperti dilakukan Sri Lanka.

Yang terakhir katanya, bahang perkauman akan meningkat apabila kumpulan-kumpulan chauvinis Melayu akan berasa tidak senang dengan orang Cina di sini akibat pengaruh China yang semakin kuat angkara dasar Najib.

"Najib rapat dengan China untuk kepentingan dirinya, walaupun pada masa sama dia sendiri menakut-nakutkan orang Melayu dengan ancaman orang Cina akan berkuasa (jika Umno kalah)," katanya.

Namun menurutnya, kemenangan Pakatan Harapan berjaya mematahkan semua perancangan Najib untuk terus berkuasa demi kepentingan peribadinya.

"Rakyat Malaysia telah melepasi zaman sukar di bawah Najib. Era baru telah bermula," katanya.


*Disiarkan di Suara Keadilan 377

No comments: