Tuesday, May 29, 2018
Media antarabangsa puji kemenangan Pakatan Harapan
Oleh HAIZIR OTHMAN
Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU-14 lalu bukan sahaja diraikan rakyat negara ini malah turut mendapat pujian media antarabangsa.
Akhbar berpengaruh di Thailand, Bangkok Post misalnya, menyiarkan rencana bertajuk 'New Malaysia can be a catalyst for region' (Malaysia Baru mampu jadi pemangkin rantau ini) dalam ruangan eksklusifnya.
"Tsunami politik rakyat Malaysia baru-baru ini akan membuka peluang kepada lebih kesaksamaan antara kaum di negara itu, dan membawa impak positif kepada seluruh rantau ini malah lebih jauh daripada itu," jelas petikan itu.
Rencana yang ditulis wartawan veteran Kavi Chongkittavorn itu menyifatkan perubahan yang berlaku di Malaysia akan memberi kesan yang baik kepada keseluruhan rantau ini.
Akhbar berpusat di New York, Amerika Syarikat, Wall Street Journal turut memuji rakyat Malaysia melalui rencana bertajuk 'Malaysia's Big Win for Democracy' (Kemenangan Besar Malaysia untuk Demokrasi).
"Keputusan mengejutkan dalam pilihan raya negara itu menunjukkan sistem authoritarian (kuku besi) bukanlah tidak boleh dikalahkan (oleh rakyat)," kata penulisnya Yaroslav Trofimov.
Yaroslav turut memetik slogan 'Malaysia Boleh' yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990-an diberikan makna baru dengan kemenangan Pakatan Harapan yang disifatkannya sebagai 'pro-demokrasi'.
Sementara majalah mingguan popular Amerika Syarikat, Time menyifatkan keputusan rakyat Malaysia dalam pilihan raya lalu itu sebagai episod baru dalam sejarah negara.
Penulis 'A New Chapter in Malaysia's History: Voters React to Stunning Election Results" (Babak Baru dalam Sejarah Malaysia: Reaksi Pengundi Terhadap Keputusan Menakjubkan Pilihan Raya), Laigne Barron melaporkan peristiwa pada hari pengundian.
"Dapat dirasai getaran di seluruh Malaysia apabila negara itu melalui satu tempoh peralihan politik paling dramatik dalam sejarahnya," kata Barron.
*Disiarkan di Suara Keadilan 377
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment