Wednesday, May 08, 2019

Hidupkan PPSMI: PLM desak menteri letak jawatan

 


Oleh HAIZIR OTHMAN

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan menjadikan Sarawak sebagai negeri pertamanya mendapat bantahan badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Timbalan Presidennya, Kamal Shukri Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut bertentangan dengan hakikat bahawa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada kali pertama dulu telah menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar di seluruh negara bukan sahaja untuk mata pelajaran Sains dan Matematik, malah Bahasa Inggeris juga.

"Ironis sekali, semasa pelaksanaan PPSMI kali pertama dahulu pun Sarawak tidak mampu berbuat apa-apa sehingga keputusan Sains dan Matematik merudum malah Bahasa Inggeris juga tetap merosot seperti negeri lain di seluruh negara," katanya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan keputusan tersebut minggu lalu. Jelasnya, inisiatif kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa universiti di Sarawak akan memastikan guru-guru mendapatkan latihan menyeluruh dalam bahasa Inggeris.

Menurut Kamal, wakil-wakil NGO dalam pertemuan awal dengan Dr Maszlee sewaktu beliau baru menjadi Menteri Pendidikan, telah menyerahkan bukti kajian kegagalan serta kemudaratan PPSMI dan Dual Language Program (DLP). 

Kajian tersebut, jelasnya, ditulis para profesor dan pensyarah dari sembilan buah universiti, selain kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malah oleh KPM sendiri. 

Tegasnya, Kementerian sepatutnya mengutamakan kepentingan majoriti rakyat dan bukan segelintir golongan sahaja.

"Malang sekali sebagai menteri kanan berwibawa sanggup mengetepikan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan segala peraturan yang mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu hanya untuk memenuhi selera golongan 'anglophile' dan beberapa kerat pengundi yang belum pasti mengundinya," katanya.

Justeru, PLM meminta Menteri Pendidikan mengundur diri dan menyerahkan tugas kepada yang sanggup menggalas amanah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tanpa rasa takut atau berpihak kepada kebatilan. 

PLM juga mencadangkan keanggotaan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Negara dikaji semula kerana ada ahlinya yang dilihat bersikap berat sebelah, merupakan penyokong kuat PPSMI dan DLP, serta jelas memandang remeh upaya bahasa Melayu sebagai bahasa sains teknologi. 

Usaha Suara Keadilan untuk mendapatkan respon Dr Maszlee walau bagaimanapun masih belum berjaya sehingga berita ini ditulis.


Belanja RM5.2 bilion, meningkat cuma 4 peratus

Pelaksanaan PPSMI kali pertama selama tujuh tahun dari tahun 2003 hingga 2009 hanya berjaya meningkatkan pencapaian mata pelajaran Bahasa Inggeris sebanyak empat peratus, kata Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Menurut Timbalan Presidennya, Kamal Shukri Abdullah Sani dalam satu kenyataan, perbelanjaan berbilion-bilion tersebut sebagai "tidak berbaloi". 

"Rujuklah Tan Sri Muhyiddin yang masih ada dalam kabinet yang sama, perihal kesengsaraan ratusan ribu pelajar mangsa PPSMI terutama bumiputera yang telahpun dikaji kira-kira 10 buah universiti, DBP dan KPM sendiri," kata Kamal.


Kajian dibuat Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud tentang prestasi pelajar PPSMI dalam Sains dan Matematik dalam penaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan kemerosotan ketara sepanjang tempoh PPSMI dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan prestasi apabila program tersebut dibatalkan sepenuhnya pada tahun 2012.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata kos yang dibelanjakan sepanjang PPSMI dilaksanakan berjumlah RM5.2 bilion.

Raof sewaktu membentangkan dapatan kaji selidik cadangan pelaksanaan semula PPSMI di sekolah kebangsaan berkata, dari 2,844 responden kajian, 78.5 peratus bersetuju bahasa kebangsaan (iaitu bahasa Melayu) mesti dikekalkan sebagai bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran di sekolah arus perdana, manakala bahasa Inggeris kekal diajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris sahaja.

Kaji selidik yang dijalankan dari 4 April sehingga 18 April 2019 itu turut mendapati 82.9 peratus bersetuju penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui mata pelajaran Bahasa Inggeris sendiri selain aktiviti sokongan di sekolah.

Manakala 63.2 peratus bersetuju PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.


*Disiarkan di Suara Keadilan 417


No comments: