Wednesday, May 22, 2019

Selepas 48 tahun, gagalkah Dasar Kebudayaan Kebangsaan?

Dr Syed Husin Ali

Sejak sebelum merdeka sehingga kini, persoalan kebudayaan di negara ini masih belum mampu ditangani secara tuntas. Berdepan urusan ini, kita sudah melewati pelbagai peristiwa sepanjang sejarah, sesetengahnya cukup pedih sehingga tidak mahu diulangi.

Tragedi hitam 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur mencapai 'ulang tahun' ke lima puluhnya beberapa hari lalu, namun ia bukanlah satu peristiwa yang mahu diraikan. Namun, dalam era baru politik tanah air ditandai suasana Malaysia Baru ini, hubungan antara kaum masih berada di bawah satu tanda soal yang besar.

Awal tahun ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi mengumumkan kerajaan sedang dalam proses menggubal Dasar Kebudayaan Negara (DKN) baru dan draf akhirnya dijangka siap sepenuhnya September ini.

Mengambil kira saranan hasil kajian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971, jelasnya, DKN baru ini mempunyai visi untuk mencapai sebuah negara maju, rakyat berbudaya melalui misi memartabatkan seni, budaya dan warisan secara komprehensif.

DKK 1971 yang digubal dua tahun selepas peristiwa berdarah 1969 itu dikatakan tidak berjaya mencapai matlamatnya untuk membina identiti nasional. Sekurang-kurangnya kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Februari lalu mencadangkan sebegitu.

DKK 1971 tiada erti

Media melaporkan, dalam kajian UKM Pakarunding Sdn Bhd yang diketuai sarjana sosiologi pengurusan, Prof Madya Dr Abd Samad Kechot, DKK berhadapan cabaran hampir semua aspek membabitkan politik, urus tadbir dan kewangan, sosial, pendidikan serta pengkomersilan seni budaya.

DKK dilancarkan hasil dari resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya pada Ogos 1971 berdasarkan tiga prinsip: 1) Budaya kebangsaan berdasarkan budaya Melayu; 2) Unsur sesuai dari budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian budaya kebangsaan, 3) Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Apabila menteri mengumumkan satu dasar baru, ia membayangkan kegagalan dasar sebelumnya untuk difahami dan dilaksanakan para pihak berkepentingan. Menurut kajian tersebut, antara masalah utama adalah kurangnya penguatkuasaan selain terdapat sebilangan pentadbir kurang memahami dasar yang ada.

Bertempat di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam baru-baru ini, isu ini dibicarakan lagi, kali ini oleh tokoh veteran politik tanah air, Dr Syed Husin Ali. Bercakap dalam Bicara Cendekiawan Pra Kongres Budaya, beliau membentangkan kertas kerjanya bertajuk "Menjana Kemajuan Bangsa dan Budaya Malaysia".

Dalam program tersebut, tanpa berselindung beliau mempersoalkan keberkesanan DKK yang dakwanya tidak mempunyai erti apa-apa lantaran tidak diterima dan tidak dilaksanakan sesiapa.

Katanya, bagi golongan bukan Melayu, mereka menganggap dasar itu seolah-olah hanya untuk menaikkan budaya Melayu yang tidak mereka pandang tinggi, untuk menekan budaya orang bukan Melayu. Jadi selagi ada perasaan itu, katanya, tidak mudah untuk membentuk satu budaya kebangsaan.

"Sebab itu kita harus mengambil beberapa langkah agar budaya kebangsaan boleh dilaksanakan, antaranya dengan mengurangkan permainan isu melibatkan perkauman, cuba merapatkan hubungan bangsa agar tidak timbul cemburu atau salah faham antara kaum," katanya dalam program itu.

Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN itu berkata, untuk melaksanakannya harus melalui beberapa cara, antaranya melalui pembahagian kekayaan yang saksama antara rakyat di negara ini.

Jelasnya, pembinaan asas-asas harmoni akan lebih kuat dan mengatasi konflik apabila berlaku pengagihan ekonomi yang adil. Malah, katanya sebelum itu, pembinaan bangsa Malaysia selain bermatlamatkan perpaduan dan integrasi nasional, ia juga bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pembaratan kelas menengah Melayu

Penulis buku Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara (2008) itu turut mengungkitkan kepentingan satu sistem pendidikan yang menaungi semua murid dalam negara ini, dengan menggunakan satu bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu.

Langkah ini katanya penting untuk mewujudkan interaksi lewat aktiviti yang dilakukan bersama-sama dalam satu institusi sekaligus mengelakkan berlakunya pemisahan dari segi budaya di antara anak-anak ini.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui ia perlu dilakukan secara beransur-ansur kerana kecenderungan pendidikan di negara ini masih negatif apabila 93 peratus orang Cina pergi ke sekolah Cina, manakala 90 peratus orang Melayu ke sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan pertambahan saiz golongan kelas menengah yang berasakan mereka mengalami proses pemodenan, namun hakikatnya adalah pembaratan apabila menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium pertuturan, malah budaya Barat sebagai cara hidup.

Mengakui kegagalan DKK, Perunding Psikologi dan Kaunseling Komuniti, Bahrom Abu Bakar berkata, selepas 48 tahun digubal, masih wujud gejala yang merencatkan tercapainya perpaduan, pembentukan keperibadian dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Polarisasi politik, ekonomi, pendidikan dan bahasa berasaskan kaum dan wilayah masih ketara, berterusan menjadi barah yang boleh menggagalkan pencapaian matlamat dasar tersebut," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga mantan kaunselor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menyarankan Malaysia mempunyai visi yang dapat diukur, misalnya menetapkan berada di kelompok 20 negara paling sejahtera dalam tempoh 5 tahun.

Dengan cara ini, katanya, seni dan budaya kita lebih terarah dan pembinaan kebudayaan kebangsaan menjadi jelas dan saintifik.

Sementara itu, Presiden Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman berkata, sesebuah negara mesti ada satu dasar yang disepakati semua orang demi mengelakkan berlakunya konflik antara penduduknya.

"Ia perlu supaya negara kita ada ada satu identiti yang boleh dikenali negara-negara lain," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Syed Husin dalam program tersebut turut membangkitkan bahayanya permainan sentimen yang ditimbulkan pihak-pihak tertentu atas nama perkauman melulu dan faham agama yang disempitkan.

Katanya, tidak salah untuk menjuarai nasib bangsa sendiri dan membela kaum tertentu yang tertindas, namun ia tidak harus dilakukan atas nama perkauman sempit. Tambahnya, politik perkauman melemahkan asas pembentukan bangsa dan budaya yang bersatu.

Beliau turut membayangkan lemahnya identiti nasional ada kaitan dengan kelemahan identiti kaum yang membentuknya.


*Disiarkan di Suara Keadilan isu 418

No comments: