Oleh Haizir Othman
Temerloh. 1980-an. Nasir Jani sedang dalam petualangannya mencari satu kepuasan dalam hidup sebelum dia ditemukan dengan seorang tua yang aneh. Lelaki berusia lanjut itu punyai apa yang dicari-cari Nasir. Tapi sebelum apa-apa, dia mahu Nasir membaca sebuah buku.
"Nasir, ada satu buku ni, aku nak kau baca. Aku tak bagi kau pinjam, tapi kau baca," kata lelaki itu kepada Nasir Jani.
Nasir pada waktu itu, anak muda yang penuh dalam dada dengan pertanyaan-pertanyaan. Tambahan, pengarah di belakang kamera sepertinya tidak akan melepaskan sebarang cetusan idea besar yang fikirnya ada pada buku tersebut dan lelaki tua yang baru dikenalinya itu.
Minggu-minggu berikutnya diluangkan Nasir bersama-sama lelaki itu. Dia dibawa ke rumahnya untuk sesi-sesi sembang yang panjang.
Pada masa itulah Nasir mengambil masa menekuni karya itu yang dinukil seorang warga Scotland, William Guy Carr - lelaki kelahiran England yang kemudian dicop sebagai penyebar teori konspirasi dan anti-Semitik.
Buku yang dibaca Nasir adalah Pawns In The Game. Ia diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh satu penerbitan di Terengganu dengan judul Bidak-bidak Di Papan Catur Iblis.
"Aku pun tengah buat filem masa 'tu. Aku masukkanlah ideanya," kata Nasir.
Filem yang dimaksudkannya itu adalah Kembara Seniman Jalanan (1986), filem sulungnya yang bertaraf legenda. Untuk menyebut ia sarat dengan kritik sosial pun barangkali satu 'understatement' kerana kritik yang dibawanya melarat dari dalam sehinggalah ke luar filem.
Anti-Mahathir
Nasir Jani adalah watak penting dalam sejarah kepengarahan filem tanah air. Bagi khalayak umum yang mengikuti perkembangan filem negara, beliau mungkin akan sering dikenali sebagai tokoh pengarah yang suka memberontak, 'anti-establishment', malah jiwa kacau.
Tapi bagi mereka yang secara peribadinya rapat dengan anak kelahiran negeri Hang Jebat ini, beliau akan didapati sebagai seorang yang mesra lewat tutur katanya yang ramah dan ketawanya yang mudah pecah itu.
Perjumpaan kami petang itu di Damansara Damai sepatutnya berkisar perjalanan kisah hidupnya sebagai pengarah filem atau sekurang-kurangnya sebagai penggiat seni secara umum tetapi ia berubah menjadi sembang politik dengan begitu cepat - terima kasih kepada para politikus negara yang bergerak agak terlalu 'aktif' sejak kebelakangan ini.
Sebagai orang yang dikenali dengan gelar kaki lawan, rebel sejak Kembara Seniman Jalanan lagi, atau mungkin lebih awal daripada itu, tidak lama masa yang beliau ambil untuk menyatakan ketidak setujuannya kepada pemimpin negara; termasuklah (atau terutamanya kepada) bekas perdana menteri (PM), Dr Mahathir Mohamad.
Sebentar kemudian, menantunya datang menghidangkan secawan minuman buat menghapus dahaga. Ya, wawancara baru bermula. Tapi hangatnya sudah terasa!
Imej anti-Mahathir malah tidak pelik pada Nasir Jani. Jika anda ada membaca dua buah bukunya, Brader, Kita Mesti Terus Hidup! (2016) dan Pemberontak Filem (2019), anda akan segera faham. Bahawa pendekatan perdana menteri keempat dan ketujuh itu tidak cocok dengan Nasir. Sama sekali.
Beliau yang pernah aktif menyokong Pakatan Rakyat sebelum ini menjelaskan banyak perkara tentang pertentangannya dengan Mahathir, tapi antara yang paling memberi kesan kepada perkembangan filem, seni, budaya malah jati diri rakyat negara ini adalah: pelantikan Mohamed Rahmat sebagai Menteri Penerangan.
"Dua kali dia jadi Menteri Penerangan pada zaman Mahathir!" kata Nasir.
Untuk rekod, Mohamed Rahmat dilantik sebagai Menteri Penerangan pada 1978-1982 (era PM ketiga, Tun Hussein Onn dan PM keempat, Dr Mahathir) dan pada 1987-1999 (era Dr Mahathir sepenuhnya).
Kegagalan Menteri Penerangan
Nasir Jani mungkin ada pengalaman tidak menarik dengan Mohamed Rahmat (yang juga digelar Tok Mat Bulat dalam buku beliau). Paling tidak boleh diterimanya adalah satu peristiwa pada tahun 1992 apabila Tok Mat memotong rambut panjang anggota kumpulan rock Search dan Wings dan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Alasan Tok Mat dan kementerian adalah isu moral, tapi bagi Nasir, itu cuma taktik bagi menutup isu monopoli rancangan televisyen oleh syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Tok Mat.
Namun, walau bagaimanapun ia bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi kebencian pengarah yang rapat dengan kumpulan-kumpulan rock tanah air itu. Kesan lebih besar akibat pelantikan Tok Mat ialah bagaimana kegagalan individu ini memimpin antara kementerian paling penting dalam membentuk jati diri bangsa dan mencorak masa depan negara yang lebih gemilang.
Meletakkan orang yang silap di posisi ini adalah kesilapan fatal yang boleh 'membunuh' bangsa. Apatah lagi meletakkan orang tersebut dua kali.
Menteri Penerangan yang baik akan mendedahkan rakyat dengan filem-filem juga lagu-lagu bermutu tinggi dengan pemikiran-pemikiran hebat dari luar negeri. Walhal tahun-tahun 1970-an dan 1980-an merupakan era kegemilangan muzik dan filem termasuk dari Barat yang antaranya kuat dipengaruhi suasana Perang Dingin melibatkan Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet.
Tetapi ia tidak berlaku, seolah-olah takut kebijakan yang diperolehi darinya akan memandaikan rakyat sebelum mendatangkan ancaman kepada pemerintah pada kemudian hari.
Menyorotinya dari lampu sejarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ditubuhkan pada pertengahan tahun 1980, kira-kira setahun sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Sebagai perbandingan, Akademi Filem Korea (Korean Academy of Film Arts) ditubuh sedikit lebih lewat, kira-kira empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1984.
Namun, kurang empat puluh tahun selepas itu, dari tangan akademi ini lahir filem terbaik yang berjaya mengungguli hadiah filem paling berprestij, Anugerah Oscar di Hollywood lewat Parasite arahan Bong Joon-ho.
Jelas Nasir, Parasite tidak lahir dalam keadaan vakum. Sebaliknya, suasananya dibina cukup kondusif sejak sekian lama lewat penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan ahli politik negara itu yang ikhlas mahu mengangkat martabat bangsa mereka setanding dengan bangsa-bangsa besar di seluruh dunia.
Pelabur 'gila babi'
Di negara ini, jelasnya, kekangan terbesar bagi penggiat filem adalah dana, dan sumber dana tersebut datangnya dari FINAS.
"Hanya sesekali sahaja berlaku kalau ada pelabur yang 'gila babi' nak buat filem, kita tak perlu dana FINAS," katanya.
Malangnya, dakwa Nasir, di sana banyak berlaku 'hanky-panky' termasuklah melibatkan pembikin filem sendiri yang menggunakan sebilangan peruntukan FINAS yang sepatutnya sepenuhnya untuk pembikinan filem, untuk tujuan peribadi.
Selainnya adalah masalah birokrasi apabila penyaluran dana dari badan tersebut memerlukan 'syarat-syarat tambahan' seolah-olah kata Nasir, "duit itu bapak dia punya", yang menyukarkan para karyawan untuk berkarya.
Jelasnya, mentaliti sebegini jauh berbeza dengan negara kuasa besar seperti China yang melaburkan jumlah wang yang banyak untuk mengembangkan ideologi dan pemikiran mereka melalui filem.
Seterusnya, kata lulusan Komunikasi Massa, Institut Teknologi Mara, ITM (kini Universiti Teknologi Mara, UiTM) itu, kekangan penggiat filem adalah promosi. Memang kita 'out', katanya.
Namun jelasnya, di sebalik semua itu, apa yang lebih penting adalah jati diri. Menyebut urusan ini, beliau memetik beberapa nama pengarah muda termasuk Namron, Razaisyam Rashid, dan Shanjhey Kumar Perumal (pengarah Jagat) selain nama besar seperti Mamat Khalid.
Dan jati diri ini, katanya, tidak boleh dibuat-buat atau dicuba-cuba. "It's either you have it, or you don't!" Kali ini Nasir berbahasa Inggeris. Nampaknya dia marah!
No comments:
Post a Comment