Wednesday, December 18, 2019

Kelahiran 'selebriti agamawan' lebih bawa mudarat?


Oleh HAIZIR OTHMAN


Sejak 2010 apabila rancangan realiti Imam Muda musim pertama disiarkan Astro bagi mencari tokoh-tokoh pendakwah seluruh negara, syarikat-syarikat penyiaran lain mula mengambil langkah serupa - memadukan hiburan dengan elemen agama dan dakwah.

Bentuk rancangan sebegini adalah produk baru hiburan selepas rancangan realiti mencari penyanyi seperti Akademi Fantasia, AF (yang dimulakan sejak 2003), Mentor, One In A Million, dan lain-lain boleh dikatakan telah mencapai tahap 'tepu' dalam memenuhi selera penonton kontemporari.

Maka, sebagai syarikat berorientasi perniagaan, pendekatan baru dan segar perlu dicari bagi mencari segmen baru penonton. Imam Muda adalah idea bernas dalam mengatasi isu 'tepu' tersebut dan nyata percubaan mereka menjadi.

Satu strategi yang menimbulkan kesan adalah apabila produksi memakaikan gelaran Imam Muda (atau singkatannya, IM) di pangkal nama semua peserta. Jika para peserta rancangan realiti sebelum ini dikenali dengan dibubuh nama rancangan di hujung namanya, sebagai contoh Ali AF; Imam Muda menggunakan strategi berbeza.


Ada yang tak kena

Sebagai contoh, Imam Muda Ali, atau singkatannya, IM Ali. Apabila disebut begitu, kesannya jauh lebih kuat berbanding jika kita memanggil Ali dengan gelaran Ali Imam Muda, atau Ali IM. Kesan linguistik lewat Hukum D-M (Diterangkan-Menerangkan) ada peranan dalam hal ini.

Strategi meletak nama rancangan di pangkal nama berbanding di hujung ini membawa implikasi besar. Ia seolah-olah satu penganugerahan gelaran seperti lazim dilakukan Sultan dan Yang Dipertuan Agung kepada rakyat yang berjasa dengan pangkat Datuk, Tan Sri dan sebagainya.

Sistem penganugerahan gelaran di pangkal nama juga berlaku dalam dunia akademik lewat gelaran Dr. bagi pemegang ijazah doktor falsafah, juga anugerah-anugerah lain seperti Profesor, Profesor Madya, atau lewat pencapaian juga keahlian tertentu lewat gelar seperti Ir. (Insinyur), Ar. (Arkitek) dan lain-lain.

Disiplin tertentu diperlukan bagi memperolehi gelaran-gelaran di atas selain pelaburan masa, wang ringgit, tenaga dan lain-lain berbanding gelaran IM yang hanya mengambil masa beberapa minggu sebagai peserta rancangan tersebut. Tempohnya jadi lebih singkat bagi peserta yang tersingkir seawal minggu pertama.

Kejayaan rancangan ini dari segi jumlah bilangan penonton dan rating membolehkan ia diteruskan untuk beberapa musim lagi sebelum digantikan dengan rancangan baru bernama Pencetus Ummah. Mengambil kaedah yang sama, para pesertanya dianugerahkan gelaran PU, singkatan nama rancangan itu.

Lebih menarik, saluran televisyen lain tidak mahu ketinggalan dalam merebut pasaran baru bertaraf lautan biru ini. Maka muncullah Da'i (TV3), Ustazah Pilihan (juga produk Astro), Solehah (TV al-Hijrah), dan lain-lain sebelum muncul versi kanak-kanak pula seperti Ceria I-Star (Astro).

Apabila Ustaz Hasrizal Jamil menulis tentang hal ini pada tahun 2013 di blognya, beliau hanya menyebut "ada sesuatu yang tidak kena" dengan kemunculan fenomena ini. Apa yang mungkin tidak disangkanya adalah, sesuatu yang "tidak kena" itu berkembang menjadi gawat tahun demi tahun sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada kelahiran program-program sebegini.


Televangelis Muslim

Tulisannya pada 2014 yang tular semula baru-baru ini menyentuh kelahiran 'selebriti agamawan', antaranya dari program-program realiti televisyen. Beliau menegur para pelajar Pengajian Islam agar menjauhi dunia selebriti sebaliknya menyibukkan diri dengan pengajian.

Pada 2013 beliau menulis tentang kelahiran televangelis Muslim. Televangelis, berasal dari Barat, merujuk kepada penceramah Kristian yang sering muncul di televisyen juga media sosial bagi mengembangkan ajaran mereka selain merayu dana.

"Antara kritikan yang banyak dikemukakan adalah pada elemen komersil, populariti, mengidolakan diri yang kesemuanya itu mengkaburkan realiti sebenar bahawa yang bercakap itu sebenarnya bukan seorang yang berkelayakan, atau dalam bahasa mudahnya jahil yang petah berbicara," jelasnya yang merupakan anggota Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara.

Senada dengan beliau adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nurin Aina Abdullah yang melahirkan kebimbangannya apabila golongan selebriti agamawan ini kerap dinilai berdasarkan populariti, bukannya hujah dan ilmu. 

Katanya, adakalanya kesilapan selebriti agamawan dipertahankan para peminat. Lebih bahaya, katanya jika ia melibatkan pelanggaran hukum syarak.

Jelas Ahli Parlimen Merbok itu, agamawan dilihat masyarakat sebagai membawa imej agama Islam. Apabila agamawan menjadi selebriti, perkembangan setiap inci kehidupan mereka akan diikuti ribuan peminat.

Beliau yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN berkata, populariti, dan budaya tular yang melingkungi golongan ini adalah ujian, dan ia boleh membinasakan.


Caj RM40,000

"Dewasa ini, dengan pelbagai pendekatan atas nama membumikan dakwah kepada masyarakat melalui rancangan-rancangan realiti televisyen turut melahirkan ramai selebriti agamawan."

"(Namun) prinsip seorang agamawan (adalah) menyampaikan dakwah secara hikmah kepada semua dalam apa jua keadaan serta tidak menjauhi matlamat asal," katanya kepada Suara Keadilan.

Kemunculan golongan selebriti agamawan dari rancangan realiti TV yang pada asalnya memenuhi 'demand' penonton yang dahagakan program keagamaan kemudiannya beralih kepada dimensi materialistik apabila wujud tuntutan melampau caj dikenakan bagi slot ceramah mereka.

Berbekal populariti dan kekerapan muncul di kaca TV, sebahagiannya mengenakan bayaran tinggi bagi mengisi majlis ilmu. Media melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan berhubung caj sehingga RM40,000 diletakkan penceramah selebriti untuk program agama.

Manakala sebahagiannya mengenakan caj tidak kurang daripada RM3,000 bagi slot bertempoh kira-kira satu jam.


Tidak cukup dengan isu caj tinggi bagi sesi ceramah sehingga mengundang kecaman "penunggang agama" oleh sebahagian khalayak, golongan selebriti agamawan berdepan pandangan negatif seterusnya lewat isu rumah tangga segelintir mereka. 

Sifat "toksik" dalam budaya populis ini, seperti disebut Ustaz Hasrizal antara lain disebut dalam kajian Jonathan P. Berkey tentang sejarah umat Islam zaman silam yang ditimpa pelbagai fitnah dalam beragama ekoran kegiatan dakwah populis sebegini.


Cerai isteri, nikahi janda

"Paling musibah adalah implikasinya kepada kaum wanita umat ini," tulisnya lewat media sosial baru-baru ini.

Walaupun tidak menyatakan rujukan kepada mana-mana situasi, dipercayai statusnya bertarikh 4 Disember itu ada kaitan dengan kes tular seorang pendakwah selebriti baru-baru ini yang menceraikan isterinya yang hamil selepas menikahi seorang janda yang juga pemilik perniagaan.

Peristiwa melibatkan bekas peserta Da'i ini berlaku kira-kira lapan bulan selepas peristiwa serupa melibatkan bekas peserta Pencetus Ummah April lalu apabila beliau turut menceraikan isteri yang sarat mengandung dan mengahwini seorang ibu tunggal.

Dua peristiwa ini sekurang-kurangnya, harus menimbulkan pertanyaan tentang kewajaran membiarkan stesyen televisyen sewenang-wenang melahirkan golongan selebriti agama sebagai 'feeder' kepada program-program keagamaan longgar mereka yang diproduksikan semata-mata atas tujuan komersil.

Pada masa sama, masyarakat harus disedarkan bahawa ilmu agama harus dipelajari secara intensif dan bersistematik melalui guru-guru yang mursyid. Adapun yang sering disiar di kaca TV adalah motivasi ringan bersifat runcit-runcitan, tidak terlepas daripada kesilapan, dan boleh disalahfahami lewat pelbagai konteks dan cara.


*Disiarkan di Suara Keadilan 432


No comments: