Aku beli pen biru. Pen itu bernama Faber Castell Click Ball 1422 0.7mm Fine, baru kubeli selepas Jumaat tadi di bandar Pelabuhan Klang, bersama refill ink printer Canon BC 02 yang berharga RM 17.00. Pen itu berharga 80 sen. Pen biruku yang lama rupa-rupanya sudah pun dimiliki Sam. (Aku ternampak pen itu disemat kemas di poket kiri t-shirtnya.) Aku tak kisah. Macam Aiman. Aku niat sedekah aje pen tu pada Sam. Di sini, harta engkau, harta aku. Harta aku, harta engkau.
Tapi peraturan tak bertulis ni tidaklah dapat dipraktikkan kepada semua barang. Yelah, habis kalau baju engkau-baju aku, seluar dalam aku-seluar dalam engkau (bagi yang memakai seluar dalam) atau kain engkau-kain aku, apalah pulak rupanya nanti. Paling kuat pun yang boleh dikongsi ialah selipar ofis sajalah, dan selipar ofislah yang selalu bertukar-tukar pemilik. Sebagai contoh, aku kini memakai selipar ofis berwarna kuning yang sebelum ini dipakai oleh Along yang sebelum ini memakai selipar ofis berwarna hijau. Selipar ofis berwarna hijau kini diletakkan di luar surau perempuan untuk kegunaan staf perempuan kami mengambil wudhu' di bilik air. Selipar ofis berwarna kuning yang kupakai kini, sebelum ini juga diletak di surau. Surau lelaki di aras bawah. Alonglah yang mengambilnya dari sana untuk dipakai di dalam ofis dan akulah yang menyuruh Along berbuat demikian. Selipar ofis berwarna merah kekal dipakai Ana dari dulu sampai sekarang. Sam pula memakai seliparnya sendiri.
Bagaimana dengan Along? Dia kini tidak memakai apa-apa. Maksudku, tidak memakai selipar ofis, baik yang berwarna apa sekalipun. Dan dia tidak kisah. Macam Aiman. Dia jarang ada di ofis kerana sebagai dispatch, tugasnya lebih banyak di luar. Pertimbangan inilah yang aku gunakan sewaktu mengambil selipar ofis berwarna kuning itu dulu. Adakah aku kejam kerana mengambil selipar tersebut? Kalau ya, itu adalah kerana aku juga pernah dikejami apabila seliparku sendiri berwarna hitam yang kubawa dari rumah telah digunakan kerani-kerani operasi dan staf lain di aras bawah sehingga aku tidak tahu lagi di mana ia berada sekarang. Ah, alasan lagi! Tapi tak kisahlah sebab semua orang pun tak kisah!
No comments:
Post a Comment